SOKONGAN TERHADAP KEPUTUSAN MUFTI

 

KELANA JAYA. 3 buah persatuan, Persatuan Mahasiswa Islam UNITAR (PERMAI), Persatuan Dynamics Group UNITAR (DG) dan Islamic Knowledge & Science Society UNITAR (IKS) mengalu-alukan keputusan Persidangan Mufti Peringkat Kebangsaan yang meminta Kerajaan mengharamkan semua kegiatan hiburan dan penerbitan berunsur negatif dan lucah, termasuk yang beraliran Black Metal.

 

PERMA, DG & IKS berpendapat sudah sampai masa Kerajaan bertindak tegas terhadap kegiatan-kegiatan hiburan yang bersifat negatif dan lucah berkenaan daripada terus-menerus mempengaruhi remaja negara ini.

 

Keputusan Persidangan Mufti Kebangsaan yang diumumkan baru-baru ini oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad, yang mempengerusikan persidangan berkenaan juga menyatakan bahawa cadangan itu turut meliputi pengharaman lagu, majalah, gambar dan barang mempunyai unsur yang boleh memberi kesan negatif kepada anak muda.

 

Sebagai pertubuhan-pertubuhan dakwah Islamiah, PERMAI, DG & IKS mempunyai pendirian yang sama dengan keputusan yang di ambil oleh Persidangan Mufti Kebangsaan di mana seluruh umat Islam mesti menginsafi peristiwa buruk yang sedang berlaku di kalangan remaja dewasa ini.

 

Kita perlu sedar tentang betapa berbahayanya sebilangan keluarga Islam yang hidup dalam suasana masyarakat yang tidak berasaskan sistem Islam sementara mereka terpisah jauh dari ajaran Islam yang sebenar akibat daripada pengaruh negatif kegiatan hiburan lucah dan separa-lucah yang tidak mendapat perhatian setius daripada Kerajaan.

 

PERMAI ONLINE sebelum ini pernah menyiarkan tulisan Penasihat 1 PERMAI, Prof Madya Syed Omar Syed Agil, iaitu Pengajaran dari kes Nurul Hanis yang menyatakan bahawa Islam bukan sahaja mengharamkan perkara-perkara yang boleh menimbulkan kerosakan dalam masyarakat tetapi juga perkara–perkara yang boleh menjuruskan kepada kerosakan juga di haramkan.

 

Tambah beliau, “Kaedah fiqh berbunyi `Menutup pintu-pintu kerosakkan’ jelas menunjukkan matlamat Islam untuk menghalang daripada kecenderungan atau perbuatan yang boleh membawa kepada kejahatan dan maksiat walaupun pada awalnya ia tidak bertujuan demikian.”

 

Sementara itu, Sdra. Zulkiply Harun, Penasihat II PERMAI di dalam tulisannya BLACK METAL, Kembalilah Kepada Islam menyatakan bahawa kita perlu ikhlas untuk akur kepada kenyataan bahawa budaya yang dicanangkan sebagai budaya bebas dan demokrasi ini sebenarnya menyalahi nilai-nilai fitrah insaniah dan terlepas dari ikatan nlai-nilai luhur yang direstui oleh penghuni samawi.

 

“Kita perlu menghentikan prejudis kita kepada mereka yang membawa obor Islam dan menerima tanpa “reservation” anjuran agar Islam diterima sebagai “a way of life”  demi kesejahteraan ummah, ” demikian kenyataan beliau yang dipetik dari rencana berkenaan.

 

Justeru itu, PERMAI, DG & IKS berharap agar Kerajaan mengambil kira keputusan dan cadangan Persidangan Majlis Mufti Kebangsaan berkenaan dan  bertindak tegas terhadap isu-isu yang membawa implikasi besar terhadap kestabilan sosial masyarakat Malaysia terutama para remaja amnya dan keutuhan keimanan umat Islam khususnya.

 

 

PENASIHAT-PENASIHAT PERMAI, DYNAMICS GROUP & IKS UNITAR 

PRESIDEN PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNITAR

PRESIDEN PERSATUAN DYNAMICS GROUP UNITAR

PRESIDEN ISLAMIC KNOWLEDGE AND SCIENCE SOCIETY UNITAR.