BLACK METAL : 
KEMBALILAH KEPADA ISLAM

 

 

Negara tiba-tiba digemparkan dengan satu gejala baru – gejala yang kurang sihat melanda pelajar belasan tahun.

 

Isu BLACK METAL tiba-tiba muncul di persada beberapa minggu setelah berlaku satu kejadian pembunuhan  yang amat ngeri yang melibatkan golongan remaja (kes Nurul Hanis di Merlimau).

 

Aktiviti kumpulan BLACK METAL ini bersendikan kepada pemujaan syaitan dan Black Metal ini diasaskan di Barat yang terkenal dengan muzik berentak keras, bingit serta liriknya kasar, menjerit dan tidak jelas sebutannya. Mesej yang dibawa dalam setiap lagu ialah menolak kewujudan Tuhan, menggalakkan seks rambang dan keganasan. Kumpulan ini juga menggalakkan bunuh diri dan berfahaman bebas.

 

Lagu-lagu bawah tanah ini biasanya pelik. Kadangkala hanya berbunyi garau dan tidak jelas, bahkan ada yang tidak merdu langsung mengikut definisi muzik. Lirik lagu pula seperti yang dinyatakan tadi, kebanyakannya liar dan lucah. Sebab itu ada mengatakan inilah `bunyi syaitan' tetapi ia indah kepada pengikutnya. Inilah dikatakan kontemporer, lain dari yang lain. Mereka mahu bebas dan benci peraturan.

 

Kumpulan tersebut menggunakan pusat membeli-belah seperti Centre Square di Sungai Petani, Kedah; The Summit, di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan Pasar Budaya di Kuala Lumpur.

Beberapa buah akhbar perdana negara mendedahkan tentang wujudnya beberapa sekolah di ibu negara turut diresapi oleh pengaruh muzik Black Metal apabila ramai muridnya mempunyai tatu salib terbalik yang dibuat dengan gurisan duit syiling.

Mereka yang bersetuju untuk menyertai kumpulan itu dikenakan beberapa syarat antaranya memakai pakaian serba hitam, membakar duit syiling 50 sen lalu digariskan di dagu dan mengenakan tatu bintang berbucu lima.

Setiap bucu bintang itu mempunyai maksud seperti dewa, syaitan, manusia, tuhan serta alam ghaib dan alam nyata. Bucu bintang itu juga bermaksud api, air, angin, tanah dan udara.

Kumpulan ini juga diwajibkan menjalani upacara pemujaan syaitan, meminum darah kambing dan memakai salib yang diterbalikkan sepertimana yang dinyatakan awal tadi.

 

Logo yang menunjukkan pelbagai aksi syaitan dan tengkorak juga sudah menjadi barang perhiasan yang dipakai oleh pengikut Black Metal. Pengikut akan dianggap hebat jika mempamerkan unsur-unsur ini.

 

Kira-kira 40 murid Islam tahun empat, lima dan enam sebuah sekolah di Bangsar, turut dikesan mempunyai tanda salib, yang dikatakan dilakukan sekumpulan pengawas sekolah itu. 

 

Kegiatan-kegiatan mereka sudah sampai ke tahap menghina Al-Quran, Nabi Mohd malah ugama Islam sendiri bilamana mereka dikatakan tidak segan-silu dan tidak takut untuk memijak-mijak Al-Quran.

 

PERSOALAN KINI, apakah sebenarnya yang mendorong kewujudan serta perluasan pengaruh BLACK METAL di kalangan remaja kita? Di manakah silapnya sehingga gejala kemurtadan ini dianggap sebagai satu fenomena biasa sehingga para remaja ini tidak lagi memandang akidah sebagai satu perkara penting di dalam hidup, malah agama menjadi bahan yang boleh dipermain-mainkan?

 

Terlepas daripada hasrat untuk memburukkan mana-mana pihak, kami merasa bertanggungjawab untuk mendedahkan semula serta mengkaji fenomena ini agar akidah remaja kita dapat diselamatkan sebelum kelak mereka menjadi parasit yang menular.

 

Kita harus mengakui secara jujur, bahawa ada sesuatu yang pincang di dalam sistem pendidikan negara  kini yang menyebabkan para remaja sudah tidak lagi takut untuk menempelak dan mencerca agama, malah Tuhannya.

 

Syaitan bukan lagi dipandang sebagai musuh yang sepatutnya “direjam” sebaliknya telah bertukar menjadi “tuhan” yang “disembah” (astaghfirullah..)

 

Pasti ada sesuatu yang tidak kena kepada sistem pendidikan negara kita hari ini.

 

Sistem pendidikan negara yang menjurus kepada penekanan “lulus peperiksaan” sebenarnya telah lama gagal memainkan peranan di dalam membentuk generasi muttaqin yang berilmu sebaliknya telah melahirkan insan-insan sesat yang terpesong akidah.

 

Soal-soal akhlak, disiplin, maruah diri lansung tersisih dari arus kurikulum sehingga kedapatan pelajar dari peringkat sekolah rendah sehinggalah ke institusi pengajian tinggi tidak mengenal perbezaan cara hidup Islam dan jahiliah.

 

Ini diperburukkan dengan anjuran gaya hidup bebas yang terlepas dari nilai-nilai Islamiah dan disebarluas melalui media massa terutama majalah dan akhbar perdana negara.

 

Ia pula seriringan dengan pengaruh muzik dan filem-filem ganas dan lucah atau separa-lucah yang VCDnya dijual bebas di kakilima dan bebas pula ditayangkan di stesyen TV perdana.

 

Majalah hiburan dengan pemujaan kepada “artis” dengan berpakaian yang tidak senonoh dibiarkan berleluasa sehingga para remaja menghabiskan wang kepada perkara-perkara yang tidak bermenafaat ini.

 

Lantas para remaja (lelaki dan perempuan) menjadikan para artis (dalam negeri dan luar negeri) sebagai idola mereka – tanpa segan silu menayangkan wajah-wajah idola mereka tersebut di fail-fail dan kulit-kulit buku-buku persekolahan mereka.

 

Di saat kita berhadapan dengan gejala serius ini, wujud pula suara-suara sumbang yang menyalahkan guru-guru ugama kononnya tidak mengajar ugama dengan betul yang menyebabkan para remaja ini menjadi liar.

 

Tuduhan sedemikian lahir dari jiwa yang prejudis terhadap golongan ugamawan dan dilihat sabagai usaha merendahkan martabat mereka.

 

Tidak cukup sekadar itu, wujud juga tuduhan yang mengatakan bahawa gejala tersebut kononnya banyak berlaku di negeri-negeri yang kuat sentimen keislamannya!

 

Dan aneh, akhbar perdana menjadi “gendang nafiri” yang selamanya mempersendakan golongan ugamawan, cuba menutup hakikat sebenar punca masalah yang menyebabkan gejala tersebut.

 

Mahu atau tidak mahu, kita perlu ikhlas untuk akur kepada kenyataan bahawa budaya yang dicanangkan sebagai budaya bebas dan demokrasi ini sebenarnya menyalahi nilai-nilai fitrah insaniah dan terlepas dari ikatan nlai-nilai luhur yang direstui oleh penghuni samawi.

 

Dan budaya bebas inilah sebenarnya yang mewarnai kehidupan seharian kita selama ini yang lebih menjurus kepada pemuasan nafsu sepertimana yang dianjurkan oleh ahli-ahli falsafah seperti Kant, Freud dan sebagainya.

 

Mereka (akhbar-akhbar) cuba melakukan pembedahan kecil di pinggiran sedangkan mereka tidak menyedari mereka juga sebahagian dari parasit yang menyerang dan yang mengakibatkan penyakit berkenaan terus melata.

 

Mengapa kita malu untuk kembali kepada cara hidup Islam, serta menghentikan prejudis kita kepada mereka yang membawa obor Islam dan menerima tanpa “reservation” anjuran agar Islam diterima sebagai “a way of life”  demi kesejahteraan ummah disamping mencipta sebuah negara bangsa yang mendapat rahmat dan keampunan Allah?