tarikh tutup pendaftaran kursus ditunda kepada 23hb Januari 2002

 

VOISS 2.0 BERMASALAH

 

KELANA JAYA: Pendaftaran kursus untuk semester ini telah dimulakan secara "online" dengan menggunakan URL barunya di http://www2.unitar.edu.my/voiss.

 

Pendaftaran secara online yang sepatutnya telah bermula pada 5hb Januari 2002 telah terpaksa ditunda berkali-kali apabila sistem VOISS 2.0 yang menggantikan VOISS 1.0 tidak dapat berfungsi dengan baik.

 

Akibat darinya, beribu-ribu pelajar UNITAR di seluruh negara telah tertahan dari memulakan sessi pembelajaran mereka minggu ini kerana tidak dapat mendaftarkan diri untuk mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan.

 

PERMAI ONLINE telah menerima banyak email-email yang mengadu bahawa mereka tidak dapat mengakses VOISS 2.0 dan kami telah meminta mereka supaya menghubungi pihak CRM seberapa segera.

 

"Kami memohon maaf bagi pihak universiti terhadap masalah yang terdapat pada pendaftaran dalam talian," demikian kenyataan Ketua Bahagian Akademik, Encik Aziz Mohamed yang diedarkan kepada semua pelajar UNITAR.

 

Beliau telah melanjutkan tempoh pendaftaran kursus sehingga 23hb Januari ini, iaitu tambahan 2 hari dari tarikh tutup yang diumumkan terdahulu daripada ini.

 

"Saya menyedari bahawa ia (tambahan tarikh) tidak dapat meredakan kesulitan-kesulitan yang telah dialami oleh para pelajar, namun saya berharap ia dapat memberikan masa yang secukupnya untuk pelajar mendaftar dan merayu untuk tambahan kursus," tambah kenyataan itu lagi.

 

Walau bagaimanapun, United Multimedia (UMM), sebuah anak syarikat UNITAR yang bertanggungjawab terhadap sistem yang baru tersebut setakat ini tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung dengan masalah yang sedang dihadapi.

 

VOISS 2.0 diperkenalkan pada 4hb Januari, namun gagal berfungsi pada hari pertama lagi. Keputusan terpaksa dipaparkan melalui alamat sementara dan VOISS berkenaan terus-menerus menghadapi masalah pada hari-hari berikutnya.

 

"UMM sepatutnya berhati-hati didalam memperkenalkan sistem yang baru," tegas seorang pelajar senior kepada PERMAI ONLINE.

 

"Kita tak sepatutnya take things for granted, dan membuat asumsi yang sistem baru akan berjalan sempurna sepertimana yang kita harapkan," tambah beliau.

 

PERMAI ONLINE mendapat tahu bahawa pihak UMM telah menggunakan cara sistem cutover yang berrisiko tinggi di dalam memperkenalkan VOISS 2.0 berkenaan.  Di dalam sistem Cutover ini, VOISS 1.0 terus ditamatkan serta-merta dan menggantikannya dengan VOISS 2.0.

 

"Mereka sepatutnya boleh melaksanakan cara "Parallel Processing" dimana sistem yang baru berjalan seiring dengan sistem yang lama dan sistem yang lama hanya dikeluarkan apabila sistem yang baru didapati benar-benar berfungsi sepertimana yang dikehendaki," kata sumber itu lagi.

 

Sementara itu, UMM sepatutnya juga telah menguji sistem berkenaan setidak-tidak seminggu sebelum tarikh permulaan semester agar para pelajar dapat menyesuaikan diri dengan sistem yang baru.

 

Pelbagai aduan dan kritikan telah dilakukan oleh para pelajar terhadap sistem berkenaan namun pihak UMM nampaknya tidak memberikan jawapan yang menuaskan terhadap aduan dan kritikan berkenaan.

 

"Yang paling lucu dan ketara ialah kesilapan menulis di banner iaitu Virtual Online Information Support System, yang sepatutnya ialah Virtual Online Instructional Support System. Jika mereka bersikap profesesional dan mempunyai mutu kerja yang baik, kesilapan ini tak sepatutnya berlaku," kata seorang pelajar senior.

 

"Masalah ini bukan pertama kali berlaku. Satu waktu dahulu UMM pernah mengubah interfes VOISS 1.0 dan pernah juga menukar mail server  di permulaan semester sesuka hati tanpa memaklumkan terdahulu kepada para pelajar sehingga menimbulkan bencana yang tidak kecil kepada masyarakat pelajar dan pensyarah. Sehingga mereka ditegur barulah mereka menyedari kesilapan mereka dan meminta maaf, kini mereka mengulanginya lagi!" tambah beliau dengan nada kesal.

 

"Mereka tidak ambil peduli untuk menghormati para pelajar yang kini berjumlah 7,000 orang sekarang ini yang merupakan raja kepada sebarang institusi perniagaan. Konsep the customer is always right yang terdapat di dalam disiplin ilmu pemasaran tidak diindahkan," kata seorang pelajar dari Sarawak  yang menghantar email kepada PERMAI ONLINE.


Sebagai sebuah universiti swasta yang sedang mendapat tempat di hati masyarakat dan baru menerima status MSC dan pengiktiraafan Lembaga Akreditasi Negara (LAN), PERMAI ONLINE amat berharap agar semua pihak dapat mewujudkan dan menampilkan mutu kerja yang terbaik demi menjaga kredibiliti dan nama baik UNITAR di mata masyarakat umum demi masa depan UNITAR yang lebih gemilang.

 

 

berita berkaitan:

 

SELAMAT TINGGAL VOISS 1.0

 

dibawakan kepada anda oleh PERMAI ONLINE.