PROGRAM UNITAR DAPAT PENGIKTIRAFAN LAN

 

KUALA LUMPUR. Akhirnya saat yang dinanti-nantikan oleh seluruh warga Universiti Tun Abdul Razak menjelma jua! UNITAR, sebagai sebuah universiti maya pertama di negara ini menerima pengiktirafan Lembaga Akreditasi Negara (LAN) untuk 5 program  akademiknya iaitu Sijil Pentadbiran Perniagaan (CBA), Sijil Teknologi Maklumat (CIT), Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (BBA), Sarjana Teknologi Maklumat dan Multimedia (MIMT) dan Sarjana Pengurusan Teknologi Maklumat (MITM).

Akreditasi LAN untuk lima program yang disenaraikan di atas adalah untuk tempoh lima tahun bermula dari 17 September 2001, demikian kenyataan akhbar yang diumumkan oleh Presiden UNITAR, Datuk Prof Dr Syed Othman Alhabshi melalui Bahagian Hal Ehwal Awam UNITAR.

Pengiktirafan LAN telah dijangka oleh PERMAI ONLINE sewaktu memaparkan berita mengenai kejayaan UNITAR memperolehi pengiktirafan sebagai sebuah pusat pengajian tinggi berstatus MSC beberapa bulan yang lalu.

UNITAR telah mendapat pengiktirafan sebagai sebuah pusat pengajian tinggi yang berstatus MSC  (Multimedia Super Corridor) oleh Jabatan Strategi MDC dan Unit Perkhidmatan Pelanggan Pendidikan Tinggi (HECSU) di Multimedia Development Corporation Sdn Bhd.

Dengan pengiktirafan LAN untuk program-program akademik yang dijalankan oleh UNITAR, para pelajar yang selama ini diselubungi kebimbangan hari ini sudah boleh bernafas lega kerana pengiktirafan yang diperolehi oleh UNITAR bererti kursus-kursus (program) yang disenaraikan di atas adalah sama taraf dengan program-program serupa yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi awam. Ia juga bererti bahawa para graduan UNITAR  sebagai golongan berpendidikan yang berkompetitif setanding dengan mana-mana graduan samada dari IPTA/IPTS dalam dan luar negeri.

Pengiktirafan LAN juga bererti para graduan UNITAR juga akan mendapat pengiktirafan untuk memasuki pasaran pekerjaan yang ditawarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

UNITAR juga muncul sebagai sebuah universiti yang memenuhi semua ciri-ciri yang diperlukan oleh para pelajar samada dalam dan luarnegeri dari segi mutu pendidikan yang ditawarkan.

UNITAR adalah satu-satunya universiti swasta  yang mempunyai barisan tenaga pengajar bertaraf Professor dan Professor Madya yang paling ramai di negara ini.  Barisan tenaga pengajar yang ternama dan berkelayakan seperti Prof. Syed Hamid AlJunid (Timbalan Presiden), Prof. Datuk Ibrahim Bajunid (Dekan Fakulti Kemanusiaan dan Sains Sosial), Prof Khairuddin Hassan (Dekan Fakulti Teknologi Maklumat), Prof Madya Ahmad Zohdi Abdul Hamid (Dekan Fakulti Pentadbiran Perniagaan), Prof Madya Mohd Khir Ashaari (Pengarah Bahagian AAC) Prof Madya Ghazali Abod (Pengarah Bahagian Kewangan), Prof Madya  Syed Omar Syed Agil (Penasihat Kegiatan Pelajar) dan berpuluh-puluh pensyarah lain yang namanya tak dapat disebutkan satu persatu di sini sewajarnya menerima pujian di atas segala usaha mereka menjadi impian UNITAR selama ini sebagai satu kenyataan.

PERMAI ONLINE merakamkan ucapan TAHNIAH kepada semua warga UNITAR terutama kepada Presiden dan Ketua  Pegawai Eksekutif UNITAR, Yang Berbahagia Datuk Prof Dr. Syed Othman AlHabshi yang masing-masing mengakui bahawa kejayaan UNITAR selama ini adalah hasil kegigihan dan penat lelah beliau untuk membawa UNITAR ke mercu kecemerlangan. seperti yang kita perolehi sekarang ini.

PERMAI ONLINE berdoa dan berharap agar pengiktirafan yang diperolehi ini akan menguatkan iltizam dan semangat kepada semua para pelajar UNITAR untuk meraihkan kejayaan cemerlang di dalam semua bidang untuk membuktikan kepada masyarakat negara bahawa UNITAR BOLEH

BERITA BERKAITAN:

UNITAR KINI BERSTATUS MSC