PERINGKAT-PERINGKAT KEJADIAN MANUSIA (A)
Allah s.w.t. mengutuskan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai
seorang rasul untuk seluruh alam. Allah s.w.t berfirman di dalam al-Quran
(Surah Al-Anbiyaa’, 21: ayat 107) yang bermaksud:
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad),
melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam”.
Justeru, Nabi Muhammad s.a.w diutuskan bukan hanya kepada
orang-orang Arab badwi di zamannya, tetapi juga untuk para saintis hari ini
yang sedang mengkaji di dalam makmal masing-masing. Baginda s.a.w. ialah rasul
untuk semua manusia dari zamannya hingga hari kiamat. Sebelum itu, seorang
rasul hanya diutuskan khas untuk kaumnya sahaja sebagaimana yang dinyatakan
Allah s.w.t. (Al-Quran, Surah Ar-Rad, 13: Ayat 7) bermaksud:
“ Dan
berkatalah otang-orang kafir: “Mengapa tidak diturunkan kepada (Muhammad)
sesuatu mukjizat dari Tuhannya?” Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) hanyalah
seorang Rasul pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar), dan tiap-tiap
umat (yang telah lalu) ada Nabinya yang memimpin ke jalan yang benar”.
Dakwah Nabi Muhammad s.a.w. adalah untuk semua manusia. Oleh
itu Allah s.w.t. telah membekalkan tanda-tanda dan bukti-bukti yang berupaya
mengesahkan kebenaran baginda s.a.w.. Bukti-bukti baginda s.a.w. tidak sama
dengan bukti-bukti nabi-nabi yang lalu yang hanya dapat dilihat oleh umat
semasa itu sahaja dan mungkin oleh umat betul-betul selepas itu. Kemudian Allah s.w.t. akan menghantar
seorang rasul yang lain berbekalkan mukjizat-mukjizat baru untuk menjernihkan
dan menghidupkan semula keimanan manusia. Oleh kerana Nabi Muhammad s.a.w.
diutuskan untuk seluruh manusia hingga hari kiamat, Allah s.w.t. memberikanya
mukjizat yang boleh disaksikan buat selama-lamanya sebagai tanda-tanda yang
dapat mengesahkan kebenaran risalah baginda s.a.w..
Jika kita meminta seorang Yahudi atau Kristian menunjukkan
mukjizat Nabi Musa a.w. atau Nabi Isa a.s.. mereka akan memberitahu kita tidak
mungkin dapat ditunjukkan semula mukjizat-mukjizat nabi-nabi itu. Contohnya
tongkat Nabi Musa a.s. tidak mungkin dapat diadakan semula. Begitu juga
keupayaan Nabi Isa a.s. menyuruh orang mati bangkit semula. Itu juga tidak mungkin
dapat ditunjukkan sekali lagi. Bagi kita hari ini, mukijizat-mukjizat itu
tinggal di dalam lipatan sejarah. Sebaliknya jika seorang Islam ditanya tentang
mukjizat terhebat Nabi Muhammad s.a.w., dia boleh , menunjukkan al-Quran. Ini
ialah kerana al-Quran merupakan mukjizat yang berada dalam tangan kita. Ianya
satu buku yang boleh dikaji oleh sesiapa sahaja yang sudi membukanya.
Allah s.w.t berfirman (Surah Al-An’aam, 6: Ayat 19)
bermaksud:
“Bertanyalah (wahai Muhammad): “Apakah sesuatu yang lebih
besar persaksiannya?” (Bagi menjawabnya) katakanlah: “Allah menjadi Saksi
antaraku dengan kamu, dan diwahikan kepadaku Al-Quran ini, supaya aku memberi
amaran dengannya kepada kamu dan juga (kepada) sesiapa yang telah sampai
kepadanya seruan Al-Quran itu. Adakah kamu sungguh-sungguh mengakui bahawa ada
beberapa tuhan yang lain selain Allah?” Katakanlah lagi: “Hanyasanya Dialah
sahaja Tuhan Yang Maha Esa, dan sesungguhnya aku adalah terlepas diri dari apa
yang kamu sekutukan (dengan Allah ‘Azza wa jalla)”.
Ciri kemukjizatan Al-Quran ada di dalam ilmu yang dibawanya. Allah s.w.t. berfirman:
“(Orang-orang kafir itu tidak mahu mengakui apa yang telah
diturunkan Allah kepadamu wahai Muhammad), tetapi Allah sentiasa menjadi saksi
akan kebenaran Al-Quran yang telah diturunkanNya kepadamu. Allah menurunkannya
dengan ilmuNya, dan malaikat juga turut menjadi saksi. Dan cukuplah Allah
menjadi saksi (akan kebenaran Al-Quran ini).” (Al-Quran Surah An-Nisaa’, 4:
Ayat 166).
Berhubung dengan itu, para ahli sains dan para pakar ilmu-
professor dari banyak universiti-universiti- telah berkesempatan mengkaji
ilmu-ilmu yang dibentangkan Al-Quran itu. Dewasa ini, para ahli sains telah
cemerlang dalam kajian mengenai angkasaraya, walaupun Al-Quran telah pun
membincangkan persoalan angkasaraya dan manusia sejak dahulu lagi. Jadi, apakah
hasilnya?
Kami perkenalkan Profesor Emeritus Keith Moore, salah
seorang saintis terkenal di bidang kajian tubuh manusia (‘anatomy’) dan kajian
embrio (‘embryology’). Kami meminta Profesor Moore membentangkan analisa
saintifiknya mengenai beberapa ayat-ayat Al-Quran dan Hadis-hadis terutama yang
berkaitan dengan bidang kepakaran beliau.
Profesor Moore ialah penulis buku bertajuk “The Developing
Human” (Makna: “Manusia Yang Sentiasa Berkembang”). Beliau ialah seorang
Profesor Emeritus di bidang kajian tubuh manusia dan biologi sel (‘Anatomy and
Cell Biology’) di Univeristy of Toronto, Kanada. Disitu, dia juga pernah
berkhidmat sebagai Dekan Madya di
Jabatan Sains Asas, Fakulti Perubatan dan pernah menjadi Pengerusi di Jabatan
Kajian Tubuh-manusia untuk 8 tahun. Selain itu, beliau juga pernah berkhidmat
di University of Winnipeg, Kanada selama 11 tahun. Beliau pernah mengetuai
banyak persatuan-persatuan pakar-pakar kajian tubuh-manusia antarabangsa, terpilih
untuk menganggotai Persatuan Perubatan Diraja Kanada, Akademi Antarabangsa
Cytology, Persekutuan Pakar Tubuh-manusia Amerika, dan Persekutuan Pakar
Tubuh-manusia Amerika Utara dan Selatan. Pada tahun 1984, Profesor Moore telah
menerima pingat paling dihormati di bidang kajian tubuh-manusia di Kanada,
iaitu pingat ‘J.C.B Grant Award’ daripada Persatuan Pakar Tubuh-manusia
Kanada.
Beliau telah menulis banyak buku-buku berkenaan kajian
tubuh-manusia klinikal dan kajian embrio. Lapan daripadanya diguna-pakai di
sekolah-sekolah perubatan dan telah diterjemahkan kepada enam bahasa.
Apabila diminta memberikan analisa mengenai ayat-ayat
Al-Quran dan Hadis, Profesor Moore merasa takjub. Beliau tidak mengerti
bagaimana Nabi Muhammad s.a.w. yang hidup 14 abad yang lalu, berupaya
menerangkan mengenai embrio dan perkembangannya dengan terperinci dan tepat
sekali tentang fakta-fakta yang diketahui ahli-ahli sains hanya sejak 30 tahun
yang lalu. Perasaan takjubnya bertukar
kepada hormat kepada ayat-ayat Al-Quran dan Hadis itu. Beliau memperkenalkan
pula perkara itu kepada para ahli ilmu dan ahli sains lain. Malahan beliau
telah memberikan satu ceramah khusus mengenai keserasian di antara kajian
embrio moden dan Al-Quran dan Hadis dimana beliau berkata:
Saya merasa amat sukacita kerana diberi peluang membantu
menerangkan ayat-ayat Al-Quran berkenaan pembentukan manusia. Bagi saya ianya suatu yang amat nyata bahwa
ayat-ayat ini telah diwahyukan kepada Muhammad (sallallahu'alaihiwassalam-pent)
oleh Allah, atau Tuhan, kerana kebanyakan dari fakta-fakta ini tidak ditemui
melainkan selepas beberapa kurun selepas itu (selepas riwayat hidup Rasulullah
s.a.w.-pen). Ini membuktikan kepada saya bahawa Muhammad ialah seorang Rasul
Allah.
Tengoklah apa pakar kajian embrio terkenal itu telah katakan
selepas mengkaji ayat-ayat Al-Quran yang berkaitan bidang kepakarannya, dan
tengoklah kesimpulan beliau bahawa Nabi Muhammad s.a.w. ialah seorang Rasul
utusan Allah s.w.t..
Allah berfirman (Surah Al-Mu’minun, 23: Ayat 12-14) bermaksud:
“Dan sesungguhnya Kami menciptakan manusia dari pati (yang
berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih pada
tempat penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi
sebuku darah beku; lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging;
kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut
tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu, Kami bentuk dia
menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan
ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta”.
Perkataan Arab ‘alaqah’ mempunyai tiga makna. Yang pertama
ialah ‘lintah’. Yang kedua ialah ‘sesuatu yang tergantung’. Yang ketiga ialah
‘seketul darah beku’.
Bila membandingkan di antara lintah (air-tawar) dengan
embrio ketika peringkat ‘alagah’, Professor Moore mendapati satu persamaan yang
tepat diantara kedua-duanya. Beliau membuat kesimpulan bahawa embrio di
peringkat ‘alaqah’ berbentuk sama dengan bentuk lintah. Profesor Moore
meletakkan gambar embrio berdekatan dengan gambar lintah (Lihat gambarajah
3.1). Beliau membentangkan gambar-gambar ini kepada ahli-ahli sains
apabila di dalam
pertemuan-pertemuan.
Gambarajah 3.1
Makna kedua perkataan ‘alaqah’ ialah ‘sesuatu yang
tergantung’, dan inilah yang boleh kita saksikan- iaitu embrio memang
tergantung di rahim ibunya (‘uterus or womb’) ketika peringkat ‘alaqah’. Makna
ketiga perkataan ‘alaqah’ ialah ‘seketul daging yang beku’. Profesor Moore
menerangkan ketika peringkat ‘alaqah’, embrio melalui beberapa kejadian.
Contohnya pembentukan darah di dalam satu tempat tertutup (‘closd vessel’)
sehinggalah pusingan metabolik telah sempurna melalui ‘placenta’. Ketika
peringkat ‘alaqah’, darah terpencil di dalam satu tempat yang tertutup.
Justeru, embrio berbentuk seperti seketul darah beku disamping seperti lintah.
Kedua-dua bentuk itu dinyatakan oleh satu perkataan Al-Quran berbunyi ‘alaqah’.
Bagaimana Nabi Muhammad s.a.w. berupaya mengetahui kesemua
itu? Profesor Moore juga mengkaji embrio ketika peringkat ‘mudghah’ (sesuatu
yang dimamah). Beliau megambil secebis ‘clay’ dan memamahnya. Kemudian beliau
membandingkannya dengan gambar embrio ketika peringkat ‘mudghah’. Profesor
Keith Moore berkesimpulan bahawa embrio di peringkat ‘mudghah’ berbentuk
seperti sesuatu yang dimamah. Beberapa penerbitan Kanada telah menyiarkan
kenyataan Profesor Moore. Selain itu, beliau juga mempersembahkan tiga program
televisyen dimana beliau membicarakan keserasian di antara sains moden dan
ayat-ayat Al-Quran yang telah diturunkan 1400 tahun dahulu.
Kemudiannya beliau ditanya satu soalan: “Adakah ini bermakna
anda percaya Al-Quran ialah wahyu Allah?”.
Beliau menjawab: “Tidak sukar untuk saya mempercayainya”.
Beliau juga ditanya: “Bagaimana anda boleh mempercayai
kerasulan Muhammad sedangkan pada masa yang sama anda mepercayai Isa?”.
Beliau menjawab: “Saya yakin mereka berdua datang dari
sumber yang sama”.
Justeru ahli sains moden seluruh dunia hari ini boleh
mengetahui bahwa Al-Quran ialah wahyu Allah s.w.t. Itulah yang Allah s.w.t.
firmankan di dalam Al-Quran (Surah 4:166) bermaksud;
“ . . . Allah sentiasa menjadi saksi akan kebenaran Al-Quran
yang telah diturunkanNya kepadamu. Allah menurunkannya dengan ilmuNya . . . .”
(Al-Quran Surah An-Nisaa’, 4: Ayat 166). * Terjemahan penuh- sila lihat di
atas.
Oleh itu, tidak sukar untuk ahli-ahli sains moden menerima hakikat bahwa Nabi Muhammad s.a.w. ialah seorang rasul Allah s.a.w.