KEAJAIBAN
SAINS DI DALAM ALQURAN
- meninjau perkembangan janin insan
Orang-orang barat dewasa
ini sedang bersungguh-sungguh mempertikaikan keserasian di antara agama dan
sains. Boleh dikatakan tidak munasabah bagi seorang pemikir barat untuk
menerima hakikat boleh ada satu titik pertemuan di antara agama dan sains.
Kitab Bible yang diimani orang Kristian mempercayai kononnya pokok yang mana
Nabi Adam ‘alaihissalam telah memakan buahnya ialah Pokok Ilmu. Justeru,
selepas memakan buahnya, Nabi Adam ‘alaihissalam mendapat ilmu yang tidak
baginda ‘alaihissalam ketahui sebelum itu. Disebabkan perkara inilah Eropah
membazirkan 2 kurun bertelingkah dan berdebat samada mahu atau tidak menerima
ilmu sains daripada orang-orang Islam.
Pihak Gereja memfatwakan bahawa usaha mengkaji ilmu sains adalah punca kepada dosa asal (‘original sin’) Nabi Adam ‘alaihissalam. Mereka memberikan bukti-bukti bersumberkan Kitab Injil Perjanjian Lama (‘Old Testament’) yang menceritakan bahawa dengan memakan buah dari pohon terlarang itulah Nabi Adam ‘alaihissalam telah mendapat ilmu. Lantas Allah subhanahuwata’ala murka kepadanya dan tidak mahu mengampunkannya. Justeru, suatu masa lampau pihak gereja menganggap ilmu sains sebagai suatu perkara yang perlu dijauhi.
Akhirnya apabila golongan tidak-percayakan-tuhan (‘free-thinkers’) dan ahli-ahli sains dari barat berjaya mengekang kuasa gereja, mereka membalas dendam dengan mengambil sikap yang bertentangan dan sekaligus mengurangkan pengaruh ugama. Mereka membuat semua perkara yang keterlaluan demi menjayakan usaha mengekang kuasa gereja dan mengurangkan pengaruhnya supaya menjadi kecil dan tidak penting lagi.
Justeru, jika and membincangkan isu agama dan sains dengan
seorang orang barat, dia akan terpinga-pinga. Mereka tidak tahu apa itu Islam.
Mereka tidak tahu bahawa Islam amat menghormati ilmu dan para cendikiawan;
bahawa Islam menganggap para ahli ilmu sebagai saksi bersama-sama dengan
malaikat tentang hakikat bahawa tiada tuhan melainkan Allah. Perkara ini
dijelaskan oleh Allah subhanahuwata’aala sebagaimana firmannya (surah 3: ayat
18) bermaksud:
"Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan
dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah)
melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan
malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menerangkan juga
yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
Dan Allah s.w.t Yang Maha Agung dan Maha Suci juga berfirman
(surah 47: ayat 19) bermaksud:
"Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan
keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak
disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang
engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman- lelaki dan
perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di
dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat)."
Al-Quran dengan jelas menyatakan sebab mengapa Adam
alaihissalam. itu lebih diutamakan berbanding malaikat-malaikat ialah kerana
ilmu yang Allah subhanahuwata ‘ala berikan kepadanya. Kisah-kisah di dalam
al-Quran bercanggah dengan kisah-kisah Bible. Umat Islam percaya keaslian Injil
telah diubah. Menurut al-Quran, hakikat bahawa Adam alaihissalam diberikan ilmu
merupakan satu penghormatan dan bukannya punca baginda ‘alaihissalam dibuang
dari Syurga. Justeru, jika kita berbincang tentang Islam dan sains dengan
pemikir barat, mereka lebih menjurus untuk berdebat dengan andaian yang sama
dengan pandangan agama mereka (Kristian) terhadap ilmu itu. Oleh kerana itu,
pemikir barat merasa amat terkejut bila mereka didedahkan dengan fakta-fakta
dari al-Quran dan Hadis.
Salah seorang daripada mereka ialah Dr. Joe Leigh Simpson,
Pengerusi Jabatan ‘Obstetrics’ dan ‘Gynecology’ (Kajian Janin), dan Profesor di
bidang molekul dan Genetik Manusia di Kolej Perubatan Baylor, Houston, Amerika
Syarikat. Ketika pertama kali bertemu beliau, Profesor Simpson bertegas untuk
mengesahkan ayat-ayat al-Quran dan
Hadis. Namun, kami telah berjaya meyakinkan beliau. Kami bentangkan kepadanya
ayat-ayat al-Quran yang membincangkan tentang perkembangan janin. Kami buktikan
kepadanya bahawa al-Quran menyatakan tentang pembentukan kromosom (‘chromose’)
dan daya-pewarisan (‘hereditary’) hanya berlaku setelah benih (dari air mani) bercantum
dengan telur wanita (‘ovum’). Sebagaimana yang kita tahu, ‘chromosome’
sememangnya menentukan bentuk fizikal yang akan diwarisi oleh bayi itu nanti
seperti warna mata, kulit, rambut, dan sebagainya.
Justeru, banyak keadaan yang akan diwarisi oleh seseorang
manusia sudahpun ditetapkan di dalam kromosomnya. Kromosom ini mula terbentuk
ketika peringkat awal lagi (peringkat ‘nutfah’) dalam pembentukan janin. Dengan
kata lain, bentuk dan keadaan seorang manusia sudahpun ditetapkan ketika
peringkat awal lagi- peringkat ‘nutfah’. Allah subhanahuwata’ala Yang Maha Suci
dan Maha Agung menyatakan fakta ini di dalam al-Quran (Surah Abasa, 80: ayat
17-19) bermaksud:
"Binasalah hendaknya manusia (yang engkar) itu, betapa
besar kekufurannya? (Tidakkah ia memikirkan) dari apakah ia diciptakan oleh
Allah?- Dari air mani diciptakanNya, serta dilengkapkan keadaannya dengan
persediaan untuk menjadi bertanggungjawab".
Ketika 40 hari didalam kandungan, semua anggota badan dan
organ-organ telah dibentuk secara berperingkat-peringkat. Kita boleh melihat di
dalam gambarajah 2.1 bahawa organ-organ mula dibentuk dan diatur, dan janin itu
nampak seperti terpusing. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Untuk setiap kamu, bahagian-bahagian tubuh kamu
dibentuk di dalam rahim ibu kamu dalam masa 40 hari” (Riwayat Sahih Muslim dan
Al-Bukhari).
Di dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda
bermaksud:
"Selepas 42 malam daripada (‘nutfah’-air mani), Allah
menghantar malaikatnya yang akan membentukkan telinga, mata, kulit, daging, dan
tulang. Kemudian dia akan bertanya, "Ya Allah, adakah ia lelaki atau
perempuan?" dan Allah akan menentukan jantinanya sebagaimana yang Dia
suka"
(Riwayat Muslim).
Profesor Simpson mengkaji dua Hadis in dengan tekun dan
sememangnya beliau tahu bahawa ketika 40 hari pertama kandungan ialah peringkat
janin-genetik yang sudah dapat dicamkan pembentukannya. Beliau amat takjub
dengan ketepatan dua hadis ini. Di dalam satu persidangan yang dihadirinya
beliau memberikan pendapat ini: Dua Hadis itu telah memberikan satu jadual
secara terperinci mengenai perkembangan janin sebelum 40 hari. Sebagaimana yang
telah pun disebut oleh penceramah lain, dua hadis ini tidak mungkin disabdakan
berdasarkan pengetahuan sains yang ada ketika itu.
Profesor Simpson menyatakan bahawa agama boleh memandu usaha
pencarian ilmu. Namun, pihak barat sebagaimana yang kita bincangkan tadi
menolak kemungkinan ini. Dan kini sudah ada seorang ahli sains Amerika yang
yakin bahawa agama, khasnya yang bernama Islam, boleh mempertemukan agama dan
ilmu dengan jayanya. Sebagai perbandingan, bayangkan anda pergi ke sebuah
kilang dan anda membawa bersama buku panduan tentang kilang itu. Sudah tentu
anda dapat memahami perjalanan kilang itu dengan senang disebabkan anda ada
buku panduannya. Tanpanya, ,mungkin sukar untuk anda memahami perjalanan kilang
berkenaan.
Profesor Simpson berkata: Justeru, saya berpendapat bukan
hanya tiada percanggahan antara fakta genetik dan agama, tetapi lebih dari itu
agama boleh memandu sains dengan adanya wahyu-wahyu Tuhan yang boleh menolong
dalam pengkajian sains. Memang ada ayat-ayat al-Quran yang terbukti benar oleh
penemuan sains. Ini membuktikan ilmu di dalam al-Quran itu datangnya dari
Allah.
Itu sememangnya benar. Seharusnya umat Islam memulakan
pengkajian ilmu dan mereka berupaya mengangkat ilmu ke tempat yang sepatutnya.
Lebih-lebih lagi umat Islam tahu bagaimana menggunakan ilmu untuk membuktikan
keujudan Allah Yang Maha Besar dan Maha Suci dan mengesahkan kerasulan Nabi
Muhammad sallalahualaihiwasallam.
Allah subhanahuwata’ala berfirman yang bermaksud:
"Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda
kekuasan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan
pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran
adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup
(bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan meyaksikan tiap-tiap sesuatu?"
(Surah Fussilat, 41: Ayat 53)
Setelah menyedari melalui contoh-contoh keajaiban sains di
dalam al-Quran dan daripada maklumbalas para saintis sendiri, marilah kata
tanya beberapa soalan ini:
a) Adakah satu kebetulan sahaja bahawa penemuan terbaru
sains di pelbagai bidang itu telah dinyatakan dengan tepat tentangnya di dalam
Al-Quran?
b) Mungkinkah al-Quran itu ditulis oleh Nabi Muhammad
sallalahu’alaihiwasallam atau oleh
suatu yang bukan-manusia?
Hanya ini sahaja jawapan yang munasabah: al-Quran itu adalah
perkataan Allah subhanahuwataala yang diwahyukanNya. Al-Quran ialah
perkataan-perkataan Allah secara langsung (‘literal’) yang Dia wahyukan kepada
nabiNya Muhammad sallalahu’alaihiwasallam melalui malaikat Jibrail
alaihissalam. Nabi Muhammad sallalahu’alaihiwasallam menghafal wahyu-wahyu itu.
Kemudiannya sahabat-sahabat baginda sallalahu’alaihiwasallam pula menghafal
ayat-ayat itu, menulisnya dan mengulang-kaji hafalan mereka dengan Nabi
Muhammad sallalahu’alaihiwasallam.
Selain daripada itu, Nabi Muhammad sallalahu’alaihiwasallam
mengulang-kaji hafalan al-Quran itu dengan malaikat Jibaril alaihissalam setiap
tahun di bulan Ramadan. Di tahun terakhir hidupnya, baginda mengulangkaji
hafalan dengan Jibrail sallalahu’alaihiwasallam sebanyak dua kali. Sejak dari
hari Al-Quran diwahyukan sehingga ke hari ini, ramai orang-orang Islam yang
menghafal kesemua ayat-ayat Al-Quran, perkataan demi perkataan. Sesetengahnya
berupaya menghafal al-Quran ketika berumur 10 tahun lagi. Justeru, bukan suatu
yang pelik bila ditegaskan bahawa tiada satu pun isi al-Quran yang telah
berubah sejak zaman berzaman sehinggalah sekarang.
Al-Quran yang diturunkan 14 kurun yang lalu telah menyatakan
dengan tepat fakta-fakta yang baru sahaja ditemui oleh ahli sains. Ini jelas
membuktikan Al-Quran itu adalah firman-firman Allah yang diwahyukan olehNya
kepada Nabi Muhammad sallalahu’alaihiwasallam Selain dari itu, ia juga
membuktikan Nabi Muhammad sallalahu’alaihiwasallam adalah seorang Rasul dan
Nabi yang diutuskan Allah subhanahuwata’ala.
Tidak munasabah untuk mengatakan seseorang manusia pada 1400
tahun lalu tahu tentang penemuan sains yang hanya ditemui hari ini dengan
pertolongan alat-alat canggih dan kaedah-kaedah yang sukar.