KEYAKINAN DIRI:

SUATU SYARAT PENTING UNTUK MENCAPAI KEJAYAAN HIDUP

TAHAP KECERDASAN YANG SAMA

Apakah yang menjadikan tokoh-tokoh seperti Columbus. Churchill, Lincoln, Ibnu Khaldun, Shakespeare, Tolstoy, Einstein, Ford dan ratusan malah ribuan yang lain, sehingga mereka begitu terkenal dan nama mereka sering disebut orang hingga ke hari ini? Mereka sudah lama meninggal dunia, namun nama dan sumbangan mereka masih tetap dikenang orang. Apakah sebabnya? Adakah kerana mereka itu mempunyai otak yang bergeliga?

Jawapannya mudah sahaja. Kebanyakan mereka mempunyai tahap kecerdasan yang sama dengan tahap kecerdasan kebanyakan manusia yang lain juga.

Mereka mempunyai bakat atau kebolehan semula jadi yang istimewa di dalam bidang-bidang tertentu. Begitu juga dengan kebanyakan manusia lain yang mempunyai bakat atau kebolehan semula jadi yang istimewa di dalam pelbagai bidang. Cuma yang berbeza antara mereka dengan manusia-manusia lain ialah mereka mempergunakan tahap kecerdasan dan bakat yang ada pada mereka itu dengan seluas-luasnya setakat yang terdaya dan termampu oleh mereka.

Oleh itu mereka berjaya memperolehi hasil dan kesan yang maksimum. Lantaran itu sumbangan mereka dengan tersendirinya menjadi penting dan bermakna.

Apakah faktor-faktor yang mendorong mereka mempergunakan tahap kecerdasan dan bakat yang ada pada mereka itu dengan seluas-luas dan sebanyak-banyak yang termampu oleh mereka?

TAHAP KEYAKINAN DIRI YANG TINGGI

Sebenarnya ada banyak faktor yang mendorong mereka berbuat demikian. Salah satu daripada faktor-faktor itu ialah mereka mempunyai tahap keyakinan diri yang tinggi terhadap bakat atau keupayaan diri mereka untuk menghasilkan sesuatu yang bererti bagi faedah manusia seluruhnya. Tanpa mempunyai tahap keyakinan diri yang tinggi, sudah tentulah tokoh-tokoh seperti yang disebutkan di atas tidak akan menempa sesuatu yang besar, sesuatu yang dikagumi dan dikenangi hingga ke hari ini.

Di dalam konteks melahirkan idea dan matlamat utama hidup anda ke dalam kenyataan jasmaniah, salah satu syaratnya ialah anda hendaklah mempunyai tahap keyakinan diri yang tinggi. Dengan kata lain, anda mestilah yakin dan percaya bahawa anda boleh mencapai puncak kejayaan yang lebih tinggi dari apa yang anda rancangkan itu.

Dengan adanya keyakinan diri, dibantu oleh faktor-faktor lain, seperti matlamat utama hidup yang jelas, rancangan bertindak yang betul dan teratur, sedia bertindak dan menghadapi segala ujian dan halangan dengan tabah dan tenang, maka apa jua matlamat hidup anda tetap akan anda capai juga.

Dengan keyakinan diri yang tinggi, dibantu oleh faktor-faktor yang lain, Insya Allah anda juga boleh mencipta nama melalui sumbangan-sumbangan yang bererti di dalam bidang yang anda minati.

 

KISAH GEORGE

Rasa yakin terhadap diri sendiri boleh memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan hidup seseorang. Berikut disajikan kisah salah seorang jurujual terkemuka di Amerika Syarikat.

Sebelum menerjuni bidang jurujual, lelaki tersebut bertugas sebagai seorang kerani di sebuah pejabat akhbar. Jurujual yang berkenaan ini kita namakan sebagai George.

George pada mulanya seorang yang pemalu. Beliau juga sangat takut berdepan dengan orang yang tidak dikenalinya.

George tidak mempunyai sebarang cita-cita hidup. Bagaimanapun pada suatu hari, George berpeluang menghadiri kuliah yang memperkatakan tentang cara-cara hendak membina keyakinan diri. Kuliah tersebut telah meninggalkan kesan yang begitu mendalam di lubuk jiwanya.

Esoknya George terus berjumpa dengan pengurus perniagaan akhbar tersebut. Beliau memohon jawatan sebagai pencari iklan bagi akhbar itu. Semua rakannya berpendapat bahawa George pasti gagal di dalam tugas barunya itu, berdasarkan pada peribadi dan prestasi beliau di masa-masa yang lalu. Sebelum itu, George memanglah terkenal sebagai seorang yang sangat pemalu dan tidak mempunyai keyakinan diri.

Bagaimanakah seorang yang pemalu dan tidak mempunyai keyakinan diri boleh meyakinkan orang lain? Begitulah garis berbahasan mereka. Tetapi mereka lupa bahawa manusia mempunyai potensi dan kemampuan untuk mengubah pola pemikiran, tabiat dan peribadi mereka dalam masa yang singkat sahaja.

George memang sudah bertekad dengan tugas barunya itu. Semangatnya tidak dapat dipatahkan oleh komen-komen negatif yang dilemparkan oleh rakan-rakan sepejabatnya. Malah azamnya semakin kuat dan semangatnya semakin membara untuk membuktikan betapa melesetnya penilaian yang dibuat oleh rakan-rakannya itu.

Langkah selanjutnya yang diambil oleh George ialah menyediakan suatu senarai nama para usahawan yang akan dikunjunginya. Orang menyangka beliau tentu akan menyenaraikan nama usahawan-usahawan yang pemurah dan mudah berkira. Tetapi George tidak pula berbuat begitu. Sebaliknya George menyediakan suatu senarai nama usahawan-usahawan yang selama ini tidak dapat "ditembusi" oleh jurujual-jurujual iklan yang lain. Itulah orang-orang yang akan dikunjunginya nanti!

George begitu positif dan yakin bahawa kesemua usahawan yang ada di dalam senarainya itu akan menempah ruangan iklan di akhbarnya. Tindakan George seterusnya ialah membaca nama setiap usahawan itu sebanyak seratus kali sehari sambil berkata kepada dirinya: "Anda akan membeli ruangan iklan di akhbarku menjelang akhir bulan ini!"

Dalam masa beberapa minggu sahaja kesemua usahawan yang dianggap sukar untuk "ditembusi" itu, kecuali seorang, telah membeli ruangan iklan mereka. George tidak putus asa. Tiap-tiap pagi beliau terus mengunjungi usahawan yang "degil" ini. Setiap kali beliau memujuk, jawapan yang diterimanya tetap serupa iaitu "tidak mahu".

Pada hari yang ketiga puluh, George menemui lagi usahawan ini. Akhirnya usahawan ini berkata: "Heh orang muda, awak telah menghabiskan masa awak selama sebulan tanpa sebarang hasil. Sekarang beritahu saya, kenapa awak mensesiakan masa awak?"

"Mensesiakan masa saya?" jawap George dalam bentuk sebuah pertanyaan. Kemudian beliau menyambung: "Tidak! Tidak sekali-kali. Apa yang sebenarnya berlaku ialah selama tempoh itu, saya telah pergi ke sekolah dan tuan, saya anggap adalah selaku guru saya. Saya banyak belajar daripada peristiwa ini. Sekurang-kurangnya saya rasa keyakinan diri saya semakin bertambah kuat dan kental!

"Saya juga macam awak," ujur usahawan itu kembali. "Saya mensifatkan awak sebagai guru saya. Awak mengajar saya tentang keupayaan mencuba dan terus mencuba. Sebagai bayaran yurannya, saya telah memutuskan untuk membeli satu iklan di dalam akhbar awak!"

Bagaimanapun, sesudah tiga puluh hari George memujuknya, akhirnya beliau tunduk kepada pujukan dan percubaan yang bersungguh-sungguh daripada George itu. Di situlah bermulanya titik tolak reputasi yang telah menjadikan George salah seorang jurujual yang terkemuka di negaranya tidak berapa lama kemudian.

George berjaya kerana fikirannya terus menerus dipupuk dengan keyakinan diri yang tegas. Jika George tidak menentukan sikap dan membuat keputusan tegas yang penuh mencabar dan jika beliau tidak mengambil tindakan positif dengan penuh nekat dan berani, sudah pasti George akan terus menjadi kerani di pejabat akhbar itu, mungkin sampai beliau pencen.

George berjaya kerana beliau telah membentuk peribadinya daripada yang lemah sebelum itu dengan suatu peribadi yang dinamik, berani, positif dan berkeyakinan penuh.

Anda juga, Insya Allah, pasti berjaya asalkan anda mempunyai keyakinan diri yang kuat dan kukuh. Ingatlah tidak ada yang aneh! Tidak ada yang mustahil!! Oleh itu jangan sekali-kali anda memperkecil-kecilkan keupayaan yang ada pada diri anda.

Dan satu-satunya ciri asas yang boleh menrevolusikan nasib anda ialah dengan menaruh rasa keyakinan penuh pada diri dan pada segala kebolehan anda yang sememangnya belum dieksploitasikan dengan sepenuhnya itu. Oleh itu berjuanglah mulai dari sekarang juga!

TANDA-TANDA KETIADAAN KEYAKINAN DIRI

Ketiadaan keyakinan diri pada diri seseorang biasanya terpamir jelas pada sikap, tabiat, percakapan dan di dalam beberapa pola kelakuannya yang lain. Ia memperlihatkan keengganan seseorang itu untuk bergaul dengan orang lain terutama dengan orang-orang yang masih belum dikenalinya.

Orang yang tidak mempunyai keyakinan diri seorang mengalami darah gemuruh (kegugupan), malu dan takut apabila berada di hadapan khalayak ramai. Lebih-lebih lagi jika majlis itu dihadiri oleh orang-orang kenamaan. Di hadapan mereka itu, dia merasa dirinya terlalu kecil, terlalu hina dan terlalu bodoh.

Seterusnya orang yang tidak mempunyai keyakinan diri biasanya tidak mempunyai cita-cita atau matlamat hidup yang jelas dan positif. Kalau ada pun, matlamat hidupnya itu hanya tersimpan setakat di dalam kepalanya sahaja. Dia tidak berani berusaha untuk melahirkannya ke dalam suatu kenyataan jasmaniah. Lebih tepat lagi dia tidak berani untuk mencubanya!

Suatu lagi tnda orang yang tidak mempunyai keyakinan diri ini ialah keengganan untuk menempuh pengalaman-pengalaman baru. Lebih-lebih lagi jika pengalaman-pengalaman itu penuh dengan berbagai cabaran dan kesulitan. Mereka tidak bersedia untuk menghadapinya.

Orang yang tidak mempunyai keyakinan diri selalunya tidak mempunyai ramai sahabat. Peribadinya tidak menarik. Dia selalu bersikap negatif dan berfikiran pesimistik. Dia tidak dapat dijadikan dahan yang kukuh untuk berpaut. Dan dahan yang tidak kukuh tiada siapa yang berani untuk berpaut. Oleh itu hidupnya selalu bersendirian dan sering digigit kesepian!

Apabila dia berucap di dalam sesuatu majlis, suaranya sering mendatar, tawar dan tidak menarik. Atau boleh jadi terketar-ketar, terputus-putus, gugup dan tidak lancar. Dia kelihatan kaku. Jalan fikirannya seringkali menjadi buntu. Apa yang hendak diucapkannya habis hilang lesap dari ingatannya. Kemudian dia akan merasa kecewa dan akan mengutuk dirinya sendiri dan sesiapa sahaja.

SEBAB-SEBAB KETIADAAN KEYAKINAN DIRI

Ada banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu tidak mempunyai keyakinan diri. Bagaimanapun faktor-faktor itu mempunyai kaitan yang amat rapat dengan latarbelakang proses pendidikan dan keadaan alam sekitar sewaktu seseorang itu menempuh zaman kanak-kanaknya.

Peringkat kanak-kanak adalah suatu peringkat yang paling penting dan paling bertanggungjawab sekali dalam proses pembinaan dan keyakinan diri seseorang. Peringkat ini adalah peringkat yang paling mudah sekali seseorang kanak-kanak menerima apa yang dilihat, didengar dan yang mengalaminya.

Rumahtangga yang tidak tenteram, tegang dan konflik yang melibatkan si ayah dan si ibu, sudah pasti menyebabkan si anak mereka merasa dukacita dan tidak gembira. Si anak tadi akan hilang keyakinan terhadap dirinya sendiri oleh kerana nilai-nilai dan corak pergaulan yang terdapat di dalam keluarganya itu banyak yang tidak dapat difahami dan mengganggu fikirannya.

Rumahtangga yang penuh dengan konflik, yang tandus dengan rasa kasih sayang dan sentiasa diancam kesusahan dan kemiskinan, akan melahirkan suatu alam sekitar yang kosong dan sunyi sepi. Keadaan ini membangkitkan rasa takut dan tidak yakin pada diri sendiri di hati kanak-kanak itu.

Bila kanak-kanak itu membesar, dia akan membesar di dalam keadaan pembentukan peribadi yang tidak seimbang. Dari segi jasmaninya ia memang membesar. Begitu juga dari segi usianya, sememang usianya semakin meningkat dewasa. Tetapi dari segi emosi dan pemikirannya, ia tidak mencapai tahap kematangan atau kedewasaan sebagaimana yang sewajarnya.

Seseorang yang menempuh suasana hidup yang demikian sering ketiadaan keyakinan diri. Lantaran itu dia terpaksa memikul berbagai penderitaan jiwa yang amat berat.

Ketiadaan keyakinan diri tidak semestinya atau tidak semuanya diakibatkan oleh liku-liku pengalaman hidup seperti yang digambarkan di atas. Kadang-kadang orang boleh hilang keyakinan diri disebabkan tindakan-tindakan buruk yang dilakukannya setelah ia meningkat dewasa. Tindakan-tindakan tersebut termasuklah perbuatan jenayah dan sebagainya.

Bila seseorang itu terlibat di dalam tindakan-tindakan seperti itu, mereka sudah pasti sentiasa diburu oleh rasa bersalah atau rasa berdosa. Mereka juga sentiasa diburu oleh rasa takut dan bimbang. Akibatnya mereka akan hilang keyakinan diri dan menjadi seorang yang penakut, seorang yang tidak mempunyai cita-cita dan seorang yang tidak bersedia menempuh ujian dan gelombang hidup yang penuh dengan berbagai cabaran dan rintangan.

Soalnya, apakah anda rela dan bersedia menghabiskan usia anda sebagai seorang yang tewas dan gagal serta tidak berupaya lagi untuk mencipta sebuah kehidupan yang unggul sebagaimana yang diidam-idamkan oleh hati kecil anda? Jawabnya tentulah anda tidak rela dan tidak bersedia! Anda pasti tidak bersedia untuk menghabiskan sisa-sisa hidup anda sebagai seorang yang gagal dan tidak berguna lagi kepada masyarakat.

Sebenarnya anda masih berpeluang dan masih ada waktu untuk anda memulih kembali keyakinan diri anda yang telah sekian lama hilang tertimbus di dalam kabus ketakutan dan ketempangan hidup yang telah anda tempuhi itu.

LANGKAH-LANGKAH UNTUK MENGATASINYA

Untuk mengatasi masalah ketiadaan keyakinan diri ini dan sekaligus pula untuk membina kembali keyakinan diri anda, ikutilah beberapa langkah yang disarankan di bawah:

  1. Insafilah bahawa keyakinan diri itu pada asasnya ada pada setiap individu. Ia telah ditenggelamkan oleh kabus kehidupan yang negatif yang melingkungi kehidupan anda selama ini. Pisahkan diri anda dari kabus kehidupan yang negatif itu. Gilapkan kembali diri anda dengan keyakinan diri yang telah sekian lama berada di dalam keadaan tertekan itu.
  2. Lawan segala perasaan dan sikap hidup yang negatif. Jangan biarkan lagi ia bertapak di dalam diri anda. Gantikannya dengan perasaan dan sikap yang positif.
  3. Sedarilah bahawa anda mempunyai segala potensi dan kekuatan untuk berjaya di dalam hidup anda. Anda sekarang baru sahaja menggunakan 10 peratus daripada keseluruhan potensi yang ada pada diri anda. Dan kebanyakan orang tidak menyedari hakikat ini. Adalah hak anda untuk menggunakan potensi yang selebihnya itu.
  4. Berjanjilah pada diri anda bahawa mulai saat ini anda sudahpun mula memulihkan kembali keyakinan diri anda. Anda kini tegak sejajar dnegan tokoh-tokoh besar yang telah dan yang sedang menempa nama di dalam sejarah kehidupan mereka.
  5. Kenalilah diri, bakat dan minat anda. Asahlah bakat dan minat anda supaya anda memperolehi pengetahuan dan kemahiran yang lengkap di dalam bidang-bidang yang berkenaan.
  6. Jangan terlalu memikirkan diri sendiri. Taburilah jasa dan khidmat bakti untuk kebajikan dan kebahagian orang lain. Dengan berbuat demikian anda akan memperolehi keyakinan diri dan seterusnya akan membawa pula kejayaan di dalam kehidupan anda.
  7. Ciptakan sebuah syurga di dalam rumahtangga anda dan juga di tempat anda bekerja. Dari suasana yang indah ini, lahirlah pula keyakinan diri yang sememangnya anda cari-cari selama ini.
  8. Tetapkan matlamat hidup anda yang utama. Umpamanya, anda hendak menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya. Apa yang harus anda lakukan ialah anda hendaklah semaikan matlamat itu di dalam fikiran anda. Kemudian berusahalah untuk mencapai matlamat itu.
  9. Jangan lakukan perkara-perkara buruk yang bercanggah dengan ajaran agama dan nilai-nilai akhlak yang murni.
  10. Bertindaklah dengan penuh hati-hati, bijaksana dan berdiplomasi dalam segala urusan dengan orang lain.

Dengan mengikut saranan-saranan kasar yang dikemukakan di atas, anda yang selama ini tidak mempunyai keyakinan diri, Insya Allah, akan bertukar menjadi seorang yang mempunyai keyakinan diri, berperibadi menarik, disayangi dan sentiasa dihormati. Seiringan dengan itu, sinar kejayaan hidup anda akan mula terserlah. Matlamat hidup anda juga mula menampakkan hasilnya yang menggalakkan.