WANSOL MENEMPA KEJAYAAN
Kelana Jaya - Program Wanita Solehah
(WANSOL) 2002 yang dirasmikan oleh YBhg Datuk Syed Othman Al-Habshi, Presiden
dan CEO UNITAR pada 6 hb April yang lalu telah menempa satu catatan emas di
diari Persatuan mahasiswa Islam UNITAR.
Kehadiran mahasiswa/i
untuk aktiviti tersebut adalah di luar jangkaan. Seawal pagi lagi
para pelajar telah mula berkerumun di meja pendaftaran untuk menyertai program
berkenaan termasuklah beberapa mahasiswa/i jemputan dari beberapa institusi
pengajian tinggi yang lain seperti INTIS dan
lain-lain.
Program WANSOL 2002
bertambah serinya apabila isteri-isteri Presiden dan Timbalan Presiden, iaitu
Datin Sharifah Fatimah dan Puan Sharifah Norasiah telah turut sama di program WANSOL 2002 pada sebelah petangnya. Juga dengan kehadiran Pengurus Kanan Hal Ehwal Pelajar, Tuan Haji
Ismail Jaafar bersama isteri pada sebelah paginya.
Meskipun program ini
bertajuk Wanita Solehah, namun seperti di dalam ucapan alu-aluan Presiden
PERMAI, Prof Madya Syed Omar Syed Agil, PERMAI merasa gembira dan terharu
dengan kehadiran ramai para mahasiswa yang juga turut sama
menyertai dan menjayakan program berkenaan.
Acara pendeklamasian sajak
oleh Adik Fadli dan Adik Norhafizah berjaya memukau para peserta program dengan
sajak mereka dan diikuti dengan Majlis Forum 1 yang dipanelkan oleh Dr. Robiah
Khir Hamzah dari Institut Bahasa bersama-sama dengan Prof Madya Syed Omar dari
UNITAR dengan tajuk "Cinta dan Hubungan Lelaki & Wanita Dalam
Islam".
Dr. Robiah, seorang pakar
motivasi telah mengingatkan para mahasiswa-i agar jangan mudah "jatuh
cinta" di antara sesama sendiri disamping mempastikan agar kita menyintai
diri kita sendiri sebelum menyintai orang lain. Menyintai diri sendiri membawa
makna bahawa kita perlu menjaga diri kita dari terjerumus ke perkara-perkara yang mengundang
kemurkaan Allah. Di
dalam memilih pasangan hidup pula kita perlu berhati-hati kerana seorang suami
yang dipilih hendaklah mampu memenuhi kriteria serta sanggup memikul amanah
sebagai pemimpin di dalam rumahtangga.
Pada
sebelah petangnya, satu ceramah yang tak kurang hebatnya disampaikan oleh Dr
Fatma Az-Zahra, seorang pendakwah bebas berjaya mencuit hati para peserta
dengan ceramahnya bertajuk "Wanita Solehah, Kedudukan, Personaliti da
Ciri-cirinya". Beliau telah mengingat para mahasiswa/i agar menjaga
kesucian diri disamping memaparkan kisah-kisah wanita solehah zaman-berzaman
yang patut menjadi teadan kepada semua.
Kumpulan Nasyid An-Nizirin UNITAR turut sama menyerikan majlis dengan persembahan mereka dan satu majlis pameran tulisan khat yang dihasilkan oleh Adik Zaleha Tamri turut mendapat perhatian dari para peserta.
Seminar Wansol 2002 juga menarik minat seorang peserta bukan Islam, Cik Loh Mei Shiang yang turut hadir dari awal hingga akhir program. Beliau yang ditemui selepas program berkenaan menyatakan beliau gembira kerana dapat sama menyertai program WANSOL yang dirasakannya amat berguna terutama setelah mendengar panduan-panduan bernas dan mantap dari para penceramah.