VIRUS SIRCAM SERANG PENSYARAH & PELAJAR
Mahasiswa-mahasiswi Universiti Tun Abdul Razak yang
menggunakan komputer di rumah untuk sambungan ke Internet hari ini diminta
supaya berjaga-jaga dan mengambil langkah-langkah tertentu untuk mengelakkan
jangkitan virus SirCam.
Virus yang dihantar melalui email akan
mengimbas kandungan sistem komputer pengguna sebelum menghantar 8,000 salinan
setiap fail dokumen jenis Microsoft Word, Microsoft Excel, Winpad dan Winzip
kepada pengguna yang disenaraikan dalam sistem e-mel komputer terbabit tanpa
pengetahuan pemiliknya.
Siasatan PERMAI ONLINE bersama Lujnah I.T. dan Penerbitan
PERMAI, mendapati ancaman virus itu masih berleluasa
kerana kami masih menerima banyak e-mel dengan virus berkenaan setiap hari,
walaupun pelbagai usaha, termasuk menapis e-mel dilakukan bagi menghalang virus
berkenaan.
Akhbar-akhbar tempatan untuk beberapa hari telah pun menyiarkan perkembangan terkini berhubung dengan serangan virus berkenaan.
Pihak PERMAI ONLINE merasa kecewa kerana pihak Callcentre (CRM) dari United Multimedia Sdn Bhd (UMM) yang bertanggungjawab di dalam hal-ehwal kendalian dan penyelanggaraan komputer UNITAR tidak mengeluarkan sebarang maklumat, pengumuman atau amaran mengenai kewujudan virus-virus berkenaan yang telah tersebar secara menyeluruh.
Hanya pada beberapa hari yang lalu, pihak CRM Unitar
menghantar satu “announcement” yang menggemparkan yang meminta supaya para
mahasiswa/i mengabaikan email yang diterima dari Puan Yusniza, seorang
pensyarah Pemasaran di fakulti Pentadbiran Perniagaan UNITAR yang menurutnya
email tersebut mengandungi fail-fail yang mempunyai virus SirCam yang
dinyatakan tadi.
Walau bagaimanapun “announcement”
tersebut bukan dari
CRM sendirI tetapi sebaliknya hanya mem"forward"kan email yang dihantar
oleh Puan Yuszniza sendiri dan ianya pula terlewat sampai kepada mahasiswa/i.
Beberapa orang pelajar telah pun mengadu
kepada PERMAI ONLINE bahawa sistem operasi komputer mereka musnah akibat
serangan virus berkenaan.
“Damage has been done,” keluh seorang mahasiswa
dan beliau hairan bagaimana UMM tidak mengambil langkah berjaga-jaga sehingga
virus berkenaan boleh tersebar di dalam rangkaian sistem komputer UNITAR yang kemudiannya menyusahkan
mahasiswa dan para pensyarah pula.
PERMAI ONLINE difahamkan berpuluh-puluh pelajar telah menjadi mangsa serangan virus berkenaan dan akibat daripadanya komputer-komputer mereka terpaksa diformatkan semula keseluruhannya.
Kesemua data-data dan nota pelajaran yang tersimpan di dalam komputer milik pelajar berkenaan telah musnah samasekali apabila diformat dan ini menimbulkan kesusahan dan kekesalan yang amat sangat kepada pelajar terbabit yang kebanyakannya bergantung kepada nota-nota yang dibekalkan oleh pensyarah-pensyarah di universiti maya ini.
SirCam yang dikategorikan sebagai virus komputer
jenis worm, dikenal pasti sejak 17 Julai lalu. Virus sama yang turut dikenali
sebagai W32.Sircam dan W32/SirCam, kini dikategorikan sebagai berisiko tinggi
oleh syarikat antivirus antarabangsa berikutan kesan serangan yang menyeluruh.
Virus itu mempunyai keupayaan menghasilkan salinan fail dan menghantar kepada
penerima lain secara automatik.
Penerima yang membuka e-mel yang dicemari virus
itu akan diserang, sekali gus menyebabkan 8,000 salinan fail dalam sistem
mangsa disebarkan kepada orang lain.
Para mahasiswa di minta berhati-hati semasa
menerima email-email yang mengandungi “attachment file”. Lazimnya email-email
tersebut mengandungi perkataan-perkataan berikut:
_____________________________________
Hi! How are you?
I send you this file in order to have your advice
See you later. Thanks
________________________________________
Seandainya anda menerima email tersebut meskipun
dari orang yang anda kenali dan kemudian mempunyai fail lampiran (attachment
file), anda diminta supaya JANGAN MEMBUKA fail berkenaan sebaliknya terus
“delete” dan keluarkan dari Trash Can anda seberapa segera.
Para mahasiswa/i juga dinasihatkan supaya sentiasa
menggunakan aplikasi antivirus seperti Mc Afee, Norton, PC Cilin atau Trend
Antivirus dan perlu sentiasa mengemaskinikan program berkenaan dengan definisi
virus terkini. Definisi virus terkini untuk program berkenaan boleh
dimuatturun secara percuma dari www.tucows.com