- Tokoh
Islam - Khalifah Umar bin Abdul Aziz -
kiriman Adil Fawwas Azman
Kedudukan beliau:
Salah seorang Tabiin yang terhormat. Beliau digelarkan dengan gelaran Khulafa' Ar-Rasyidin yang kelima
kerana beliau memerintah sama sebagaimana pemerintahan Khulafa' Ar-Rasyidin.
Beliau memegang teraju pemerintahan selepas Sulaiman bin Abdul Malik. Muhammad
bin Ali bin Al-Husin rahimahullah berkata tentang beliau: "Kamu telah
sedia maklum bahawa setiap kaum mempunyai seorang tokoh yang menonjol dan tokoh
yang menonjol dari kalangan Bani Umaiyyah ialah Umar bin Abdul Aziz, beliau
akan dibangkitkan di hari kiamat kelak seolah-olah beliau satu umat yang
berasingan."
Kehidupan beliau menuntut ilmu:
Umar bin Abdul Aziz menuntut ilmu sejak beliau masih kecil, beliau sentiasa
berada di dalam majlis ilmu bersama-sama dengan orang-orang yang pakar di dalam
bidang fekah dan juga ulama-ulama. Di dalam usia
beliau, beliau pernah memegang teraju pemerintahan di Madinah beberapa ketika.
Pelantikan beliau sebagai Khalifah:
Beliau dilantik menjadi Khalifah selepas kematian Sulaiman bin Abdul Malik
tetapi beliau tidak suka kepada pelantikan tersebut. Lalu
beliau memerintahkan supaya memanggil orang ramai untuk mendirikan sembahyang.
Selepas itu orang ramai mula berpusu-pusu pergi ke masjid.
Apabila mereka semua telah berkumpul, beliau bangun
menyampaikan ucapan. Lantas beliau mengucapkan puji-pujian kepada Allah
dan berselawat kepada Nabi s.a.w kemudian beliau berkata: "Wahai sekalian
umat manusia! Aku telah diuji untuk memegang tugas ini tanpa meminta
pandangan daripada aku terlebih dahulu dan bukan juga permintaan daripada aku
serta tidak dibincangkan bersama dengan umat Islam. Sekarang
aku membatalkan baiah yang kamu berikan kepada aku dan pilihlah seorang
Khalifah yang kamu reda. Tiba-tiba orang ramai serentak berkata: Kami
telah memilih kamu wahai Amirul Mukminin dan kami juga reda kepada kamu. Oleh yang demikian perintahlah kami dengan kebaikan dan keberkatan.
Lalu beliau berpesan kepada orang ramai supaya bertakwa, zuhud kepada kekayaan
dunia dan mendorong mereka supaya cintakan akhirat kemudian beliau berkata pula
kepada mereka: "Wahai sekalian umat manusia! Sesiapa
yang taat kepada Allah, dia wajib ditaati dan sesiapa yang tidak taat kepada
Allah, dia tidak wajib ditaati oleh sesiapapun. Wahai sekalian umat
manusia! Taatlah kamu kepada aku selagi aku taat kepada Allah
di dalam memimpin kamu dan sekiranya aku tidak taat kepada Allah, janganlah
sesiapa mentaati aku". Setelah itu beliau turun
dari mimbar.
Peristiwa yang berlaku di
antara beliau dengan anak beliau semasa memegang teraju pemerintahan:
Umar pulang ke rumah kemudian beliau masuk ke tempat
tidurnya. Sebelum sempat beliau membaringkan badan,
tiba-tiba anaknya Abdul Malik masuk berjumpa dengan beliau. Pada masa
tersebut anak beliau berumur 17, kemudian anak beliau berkata: "Apakah
yang kamu ingin lakukan wahai Amirul Mukminin?" Lalu Umar menjawab:
"Anakku! Aku ingin menghilangkan kepenatan seketika
kerana aku terasa terlalu letih." Selepas itu Abdul Malik berkata:
"Kamu ingin menghilangkan kepenatan sebelum kamu mengembalikan
barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya, wahai Amirul
Mukminin?" Lantas Umar menjawab: "Anakku! Kelmarin aku telah berjaga
malam untuk menyelesaikan permasalahan yang berkaitan dengan bapa saudara kamu,
Sulaiman, nanti apabila tiba waktu Zuhur, aku akan mendirikan sembahyang
bersama-sama dengan orang ramai dan Insya Allah aku akan mengembalikan
barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya." Seterusnya
Abdul Malik berkata lagi: "Siapakah yang dapat menjamin bahawa kamu akan terus hidup sehingga ke waktu Zuhur, wahai Amirul
Mukminin?!" Mendengar kata-kata tersebut Umar terus bangkit lalu beliau
cium dan peluk anaknya kemudian beliau berkata: "Segala puji bagi Allah
yang telah melahirkan seorang anak dari tulang salbi aku yang boleh membantu
aku di dalam perkara agama aku." Setelah itu beliau memerintahkan supaya
memanggil orang ramai dengan berkata: "Sesiapa yang barang-barang mereka
pernah diambil secara zalim, sila laporkan." Kemudian Umar mengembalikan
barang-barang yang diambil secara zalim kepada pemilik asalnya"
Keadilan beliau:
Umar rahimahullah pernah menghimpunkan sekumpulan ahli fekah dan ulama kemudian
beliau berkata kepada mereka: "Aku menghimpunkan kamu semua untuk bertanya
pendapat tentang perkara yang berkaitan dengan barangan yang diambil secara
zalim yang masih berada bersama-sama dengan keluarga aku?" Lalu mereka
menjawab: "Wahai Amirul Mukminin! perkara
tersebut berlaku bukan pada masa pemerintahan kamu dan dosa kezaliman tersebut ditanggung
oleh orang yang mencerobohnya." Walau bagaimanapun Umar tidak puas hati
dengan jawapan tersebut sebaliknya beliau menerima pendapat daripada kumpulan yang
lain termasuk anak beliau sendiri Abdul Malik yang berkata
kepada beliau: "Aku berpendapat bahawa ia hendaklah dikembalikan kepada
pemilik asalnya selagi kamu mengetahuinya. Sekiranya kamu
tidak mengembalikannya, kamu akan menanggung dosa bersama-sama dengan orang yang
mengambilnya secara zalim." Umar berpuas hati
mendengar pendapat tersebut lalu beliau mengembalikan semula barangan yang
diambil secara zalim kepada pemilik asalnya.
Kematian beliau:
Pemerintahan beliau hanya berjalan selama beberapa ketika
iaitu tidak melebihi dua tahun setengah sahaja. Kemudian
beliau meninggal dunia dan kembali kepada Tuhannya dalam keadaan berlaku adil
kepada rakyatnya dengan menjalankan pemerintahan sebagaimana yang diperintahkan
oleh Allah s.w.t. Wallahu'alam...
sumber : http://eone.cjb.net/