UNITAR SERTAI KONSORTIUM PERKHIDMATAN PERUBATAN

 

KELANA JAYA : Universiti Tun Abdul Razak bersama-sama dengan John Hopkins University dan Katholieke Universiteit Leuven dari Belgium adalah tiga buah universiti di dunia yang mempelupori  “MedBiquitous Consortium”, bermatlamat untuk membangunkan piawaian teknologi dan perisian untuk pendidikan di dalam meningkatkan perkhidmatan kesihatan sedunia.

 

Demikian dinyatakan oleh Datuk Prof Syed Othman Al-Habshi, Presiden UNITAR di Majlis Taaruf anjuran PERMAI di sini baru-baru ini.

 

“Ini adalah kejayaan terpenting UNITAR, kejayaan yang lebih awal yang kita kecapi daripada anugerah status MSC yang akan kita terima tidak berapa lagi,” tegas beliau.

 

Johns Hopkins University adalah sebuah universiti penyelidikan yang pertama di Amerika Syarikat dan universiti pertama di dalam bidang perubatan di dunia sementara Katholieke Universiteit Leuven Belgium pula adalah universiti yang pertama di Eropah dan universiti khatolik tertua di dunia bergabung bersama-sama dengan UNITAR, universiti maya pertama di negara ini untuk menjayakan konsortium berkenaan.

Sebanyak 15 organisasi yang melibatkan lebih 400,000 pakar perubatan menyertai konsortium MedBiquitous dan PERMAI ONLINE mendapat maklumat bahawa syarikat IBM, Sun Microsystems dan Rational Software mengetuai peranan di dalam merangka struktur teknikal konsortium berkenaan.

John Hopkins University di dalam akhbar The Gazette Online keluaran 29 Mei 2001 menyatakan bahawa korsortium tersebut akan menggunakan ciri-ciri XML (extensible markup language) untuk bahagian-bahagian utama yang lazim digunapakai oleh persatuan-persatuan perubatan profesyenal.

 

PERMAI ONLINE juga difahamkan, konsortium ini telah pun mengadakan pertemuan dengan pertubuhan- pertubuhan, wakil kerajaan dan ahl-ahli perniagaan pada 29 Jun yang lalu di Brusssels dan  hasilnya amat menggalakkan.

 

"Jika tiada halangan, UNITAR akan menjadi tuanrumah bagi pelancaran konsortium tersebut bagi rantau Asia Pasifik pada  bulan Oktober nanti, " demikian dinyatakan oleh Datuk Prof Syed Othman.

 

Pada Majlis Taaruf anjuran PERMAI berkenaan, satu persembahan multimedia mengenai kejayaan PERMAI ONLINE dan penerangan mengenai Islamic Study Group (ISG) juga telah ditayangkan.

 

Sementara itu, pada majlis yang sama di sessi Interaksi bersama Kaunselor dan Senior Cemerlang, dua orang pegawai kaunseling UNITAR, Encik Azli Jailani bersama-sama Cik Nor Diana Mohd Nor, telah bersama-sama para pelajar untuk memberikan mereka bimbingan dan motivasi terutama kepada para pelajar baru. Sessi interaksi berkenaan juga telah disertai bersama oleh Penasihat 2 PERMAI, Encik Zulkiply Harun mewakili senior cemerlang.

 

“Tahniah kepada PERMAI kerana menganjurkan majlis ini dan ia perlu dicontohi oleh persatuan-persatuan dalaman lain di dalam penganjuran aktiviti yang bercorak peningkatan intelektualisme, berbanding dengan aktiviti yang bercorak hiburan yang kerap dianjur oleh persatuan-persatuan di UNITAR ini,“ demikian dinyatakan oleh Sdra Irwan Zakwan, Presiden MPP pada majlis berkenaan.