Mengenang 35 Tahun
Kesyahidan Syed Qutb

Tanggal 29 Ogos 2001 genaplah 35 tahun kesyahidan Asy-Syahid Syed Qutb di tali gantung Regim Jamal Abdul Nasir. Syed Qutb digantung bersama 2 orang lagi rakan seperjuangannya dalam Ikhwan Muslimun pada pagi Isnin 29 Ogos 1966.

Kebimbangan dan ketakutan yang melanda bukan sahaja buat Regim Jamal Abdul Nasir tetapi juga buat Imperialis Barat ketika itu. Imperialis Barat amat takut dan bimbang terhadap pemikiran- pemikiran tajam Syed Qutb yang menghancur-leburkan Ideologi Sesat Barat dan Komunisme Timur, serta kemampuan beliau mengemukakan 'gagasan Islam' dengan jelas dan mantap ke dalam ummah. Kemampuan beliau telah menyeret Regim Mesir dengan desakan Imperialis mengambil tindakan 'kejam' menggantung Mujahid Agung Islam abad ini.

Almarhum Syed Qutb dihukum gantung pada 29 Ogos, 1966 kerana dituduh menderhaka terhadap kerajaan Mesir yang melaksanakan amalan jahiliah moden dan mengamalkan korupsi dan tuduhan kerana karangannya dalam bukunya Tanda-tanda di Jalan Raya. Ketika itu Mesir di bawah pemerintahan Presiden Gamal Nasser.

Turut menjalani hukuman gantung bersama Syed Qutb dua orang lagi pemimpin pertubuhan Muhammad Yusuf Awash dan Abdel Fatah Ismail.

Sebelum beliau digantung, Presiden Gamal Nasser menghantar seorang utusan memujuk Syed Qutb menandatangani satu petisyen memohon pengampunan. Tetapi ditolak oleh beliau dengan berkata: ''Sekiranya pada penglihatan Allah saya melakukan dosa, saya tidak patut diampun; tetapi kiranya saya tidak melakukan apa-apa kesalahan, saya hendaklah dibebaskan tanpa perlu memohon ampun di dunia ini.''

Qutb merupakan seorang pejuang Islam yang gigih dan berkredibiliti serta disegani oleh dunia Islam kerana kelantangannya menentang kerajaan yang tidak melaksanakan undang-undang Islam.

Buku-buku karangan almarhum tersebar luas di dunia Islam dan beliau mengecam hebat peraturan yang dilaksanakan oleh masyarakat Islam sekarang sebagai amalan jahiliah moden.

Menerusi buku-bukunya itu Syed Qutb memarakkan semangat juang dan garis panduan kepada aktivis Muslim tentang usaha dan langkah yang mesti mereka laksanakan bagi mewujudkan sebuah masyarakat Islam yang berdasarkan kepada undang-undang Allah.

Ketika beliau kembali dari Amerika pada 1950, Syed Qutb mendapati pertubuhan Ikhwanul Muslimin bukan lagi merupakan sebuah pertubuhan semasa beliau berangkat ke Amerika dahulu, ia sudah menjadi sebuah parti politik seperti yang lemah.

Langkah pertama yang dilakukan oleh Syed Qutb sekembalinya ke Mesir ialah menyertai Ikhwanul Muslimin di samping itu beliau terus memberi nafas baru dan sumbangan fikiran serta menulis buku.

Pada ketika itu Ikhwanul Muslimin sedang bekerjasama dengan satu kumpulan pegawai muda tentera yang menggelarkan diri mereka "Pegawai-pegawai Bebas" yang merancangkan untuk menggulingkan pemeritahan Raja Farouk.

Antara pegawai-pegawai muda yang terlibat pada masa itu ialah kolonel Gamal Nasser dan kolonel Anwar Sadat.

Menurut catatan Anwar Sadat bahawa Syed Qutb merupakan perancang utama revolusi "Pegawai-pegawai Bebas" itu.

Sebenarnya pegawai muda ini tidak mempunyai pimpinan yang mantap kerana itu mereka memerlukan seorang pemimpin intelektual untuk memimpin mereka. Oleh itu, mereka pun "melantik" Syed Qutb.

Tetapi, sebaik rancangan itu berjaya pegawai-pegawai itu rupa-rupanya mempunyai agenda lain.

Apabila kedudukan mereka mantap, pegawai-pegawai itu yang dipimpin oleh Kol. Gamal Nasser telah bertindak menindas gerakan pejuang Islam. Sasaran utama mereka ialah pertubuhan Ikhwanul Muslimin kerana badan gerakan Islam itu telah mendesak supaya pemerintahan tentera masa itu mewujudkan sebuah perlembagaan Islam dan mengutuk Perjanjian British-Mesir 1954 berhubung dengan Terusan Suez.

Tuntutan ini ditolak oleh Gamal Nasser dan dengan itu mendedahkan tembelang beliau yang selama ini berpura-pura menyokong gerakan revolusi tersebut.

Sebaliknya dengan perjanjian baru itu, pemerintahan tentera itu telah membenarkan askar-askar British memasuki Mesir sekiranya kepentingan British terancam di Timur Tengah. Sebenarnya, ia membenarkan kehadiran askar-askar British di Terusan Suez itu.

Syed Qutb telah ditahan di penjara daripada tahun 1954 hingga 29 Ogos 1966 iaitu hari beliau digantung.

Semasa beliau ditangkap oleh polis rahsia Mesir, Syed Qutb sedang demam panas. Pegawai-pegawai yang menangkapnya terus menggari tangannya dan memaksa beliau berjalan ke penjara.

Sebaik sampai di dalam kawasan penjara, seekor anjing yang dilatih khas telah menerkam Syed Qutb dan menyeret beliau mengelilingi kawasan penjara itu selama lebih dua jam. Lepas itu barulah dia disoal siasat selama tujuh jam tanpa berhenti.

Pada perbicaraan 1966 beliau dituduh cuba menggulingkan kerajaan untuk menubuhkan sebuah kerajaan komunis di Mesir.

Sebab sebenar pendakwaan terhadap Syed Qutb ialah kerana kecaman beliau terhadap kerajaan yang melaksanakan peraturan jahiliah moden.

Gamal Nasser bimbang sekiranya fikiran dan pandangan seumpama itu dibenarkan tersebar luas ia akan mempengaruhi rakyat dan sudah tentu akan mengancam kedudukan dan pemerintahannya dan akhirnya akan menumbangkan kerajaannya. Yang demikian Gamal Nasser bertindak menghapuskan Syed Qutb.

Almarhum Syed Qutb telah menulis beberapa buku, termasuk sebuah tafsir al-Qur'an bernama Fil Zilal al-Qur'an (Di bawah Lindungan al-Qur'an). Buku ini telah diterjemah ke bahasa Melayu oleh Almarhum Ustaz Zaki Yaakob.

PESANAN TERAKHIR SYED QUTB

Saudara,
Seandainya kautangisi kematianku
dan kausiram pusaraku dengan air matamu
maka di atas tulang-tulangku yang hancur luluh
nyalakanlah obor buat umat ini
dan teruskan perjalanan ke gerbang jaya.

Saudara,
Kematianku adalah suatu perjalanan
mendapatkan kekasih yang sedang merindu
taman-taman di syurga Tuhanku bangga menerimaku
burung-burungnya berkicau riang menyambutku
bahagialah hidupku di alam abadi.

Saudara,
puaka kegelapan pasti akan hancur
dan alam ini akan disinari fajar lagi
biarlah rohku terbang mendapatkan rindunya
janganlah gentar berkelana di alam abadi
nun di sana fajar sedang memancar.

(Ditulis beberapa ketika sebelum menemui syahid pada tahun 1966.)