Prof. Madya Syed Omar Syed Agil
Petikan dari buku beliau MELENTUR REBUNG yang bakal terbit tidak berapa lama lagi
Sebagaimana yang disebut sebelum ini, ketenangan adalah penting dalam kehidupan seseorang insan. Tanpa ketenangan seseorang insan akan hidup dalam keadaan keluh kesah dan menghadapi perasaan dan jiwa sepanjang hidupnya dan boleh menyebabkan pelbagai penyakit fizikal yang berkaitan dengannya. Malah ia boleh menjadi pembunuh dalam senyap (silent killer). Dalam Islam ketenangan adalah satu keadaan dalam diri seseorang insan yang mempunyai kaitan dengan roh dan iman dalam hatinya. Ia bukan sahaja bergantung kepada jumlah harta, rakan dan anak yang di miliki oleh seseorang. Ketenangan adalah sumber kebahagiaan yang sebenar dalam kehidupan insan.
Oleh kerana itulah Islam melihat hati sebagai satu sumber yang penting yang menentukan status amalan, ketenangan dan kekuatan dalaman manusia. Imam al-Ghazali menekankan bahawa kebahagiaan itu adalah keadaan dalam roh manusia dimana aspek keadilan menimbulkan keseimbangan dalam diri manusia dan dimana kehendak manusia tunduk kepada akal dan syariat Islam. Beliau telah menggariskan empat kategori ‘wasa’il’ atau jalan-jalan untuk mencapai kebahagiaan akhirat untuk menjadi matlamat akhir manusia iaitu:
Pencapaian keperluan atau jalan-jalan ini mengikut syariat Islam akan memberikan impak dan kesan yang positif terhadap roh dan hati manusia serta membantunya untuk mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan.
Kepentingan Hati Dalam Islam
Hati ialah penentu amalan sama ada amalan buruk iaitu pekerjaan yang tidak diredhai oleh Allah S.W.T. ataupun amalan baik iaitu pekerjaan yang diredhai oleh Allah S.W.T sebagaimana yang terdapat dalam hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Sesungguhnya dalam badan manusia itu ada seketul daging. Sekiranya baik daging itu, maka baiklah jasadnya. Sekiranya buruk daging itu, maka buruklah seluruh jasadnya. Dan daging itu ialah hati".
(Al-Hadith)
Hati memainkan peranan yang penting dalam menentukan jenis amalan yang dilakukan oleh manusia. Ia merupakan sumber kepada segala perbuatan yang dilakukan oleh seseorang manusia. Hati manusia akan diperiksa oleh Allah S.W.T. pada hari pembalasan sepertimana yang dinyatakan dalam hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak melihat pada rupa kamu tetapi Allah melihat pada hati kamu".
(Al-Hadith)
Dalam Al-Quran pula, Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
"Pada hari itu tiada bermanfaat harta dan anak-anak kecuali orang menghadap Allah dengan hati yang bersih".
(Surah al-Syu’ara 26:88-89)
Ayat tersebut menunjukkan bahawa apa yang akan disoal oleh Allah S.W.T. ialah hati. Ini bukanlah bererti amalan itu tidak penting, tetapi yang akan menentukan sama ada amalan itu akan diterima oleh Allah S.W.T. atau tidak ialah hati itu sendiri.
Hatilah yang akan melahirkan kesempurnaan dalam ibadah. "Daripada hatilah lahirnya khusyu’ dan ikhlas seperti, menghadirkan hati dalam sembahyang semata-mata kerana Allah S.W.T. Sekiranya tidak Khusyu’ maka ibadah seperti sembahyang akan cacat. Hati merupakan tempat wujudnya ketenangan dan kebahagiaan. Mungkin manusia menyangka ketenangan dan kebahagiaan itu terletak pada harta, kekayaan dan sebagainya tetapi sebenarnya ia terletak pada hati.
Pernah berlaku satu peristiwa yang mana terdapat seorang lelaki memarahi isterinya dan dengan cepat mengucapkan ancaman, "Nanti! Saya akan melenyapkan kebahagiaanmu". Isterinya menjawab dengan tenang, "Anda tidak akan sanggup melenyapkan kebahagiaanku sebagaimana anda tidak sanggup memberi kebahagiaan kepadaku". Kemudian suaminya bertanya, "Mengapa aku tidak sanggup melenyapkan kebahagiaanmu?" Isterinya menjawab dengan penuh keyakinan, "Seandainya kebahagiaanku terletak pada perbelanjaan, tentu anda akan sanggup melenyapkan dan kalau terletak pada pakaian dan perhiasan, tentu anda juga sanggup menahannya, tetapi kebahagiaanku ialah sesuatu yang bukan milik anda dan tidak dapat anda kuasai baik oleh diri anda sendiri atau orang lain". Suaminya bertanya dengan penuh kehairanan, "Oleh itu di mana kebahagiaan?" Isterinya menjawab, "Sesungguhnya aku memperoleh kebahagiaan dalam keimananku, dan iman itu berada dalam hatiku. Tidak ada orang lain yang boleh menguasai hatiku selain daripada Allah S.W.T."
Dengan ini jelas bahawa kebahagiaan itu terletak pada hati dan bukan kepada hal-hal lain. Tuhanlah yang menurunkan ketenangan dalam hati orang Mu’min supaya makin bertambah keimanannya melebihi keimanan yang sudah sedia ada.
Hubungan Hati dengan Iman dan Amali
Iman ialah kepercayaan yang meresap ke dalam hati dengan penuh keyakinan, tidak bercampur syak dan ragu serta memberi pengaruh dalam pandangan hidup, tingkah laku dan perbuatan sehari-hari. Imanlah yang memberi ketenangan dan kekuatan dalam hati. Orang yang tidak mempunyai iman atau mempunyai iman yang lemah akan menimbulkan suasana keraguan, keluh kesah, gelisah, tidak tenang dan tidak tetap pendiriannya.
Oleh itu amatlah penting iman itu berada dalam hati supaya dengan juga akan timbul keyakinan yang mantap terhadap Allah S.W.T. di samping ‘aqidah Islam itu sendiri. Keadaan ini akan melahirkan individu Islam yang diredhai oleh Allah S.W.T. Orang yang beriman kepada Allah S.W.T. ialah orang yang meyakini akan kewujudan Allah S.W.T. dan memahami akan sifat-sifatNya. Hatinya akan berasa tenang, bertanggungjawab terhadap perbuatannya dan redha terhadap apa yang menimpanya. Contohnya. Orang yang meyakini akan keesaan Allah S.W.T. hingga meresap dalam hatinya akan memberi kesan dari sudut membebaskan dirinyadaripada perhambakan diri pada manusia dan seterusnya membawa kepada perhambaan hanya kepada Allah S.W.T. semata-mata. Dengan hati yang yakin, tidak ada kuasa manusia atau kekuatan yang dapat menghalangnya daripada memperhambakan dirinya kepada Allah S.W.T. Keyakinan yang mendalam terhadap Allah S.W.T. telah menguatkan hatinya sehinggakan dia tidak mahu mengingkari Tuhan yang menciptakannya, semata-mata kerana mengikut hawa nafsu, kehendak manusia dan pengaruh syaitan. Dia akan hanya mengikat dirinya dengan peraturan biatan manusia selagi peraturan tersebut tidak bercanggah dengan peraturan Allah S.W.T. kerana hatinya yakin bahawa hanya Allah S.W.T. sahaja yang berhak disembah dan ditaati.
Apabila dia mengetahui dan meyakini akan sifat Allah S.W.T. yang Maha Mengetahui dan Maha Melihat dalam hatinya, maka lahirlah individu yang sentiasa mengawasi tingkah laku dan niatnya sama ada di hadapan umum atau semasa bersendirian dalam erti kata dia sentiasa istiqamah dalam amalannya. Hatinya benar-benar meyakini akan hal ini dan keimanan ini dapat diuji apabila dia bersendirian, apabila tidak ada orang yang melihatnya.
Hal ini dapat dilihat melalui kisah Umar al Khattab r.a. dengan seorang pengembala kambing, yang sedang menjaga kambing pada ketika tuannya tiada. Umar menguji pemuda ini dengan menyuruhnya memberikan seekor kambing kepadanya dan beliau akan memberikan pemuda itu ganjaran wang. Sekiranya tuannya bertanyakan tentang kambing itu, Umar r.a. menyuruhnya menyatakan bahawa kambing itu telah dimakan oleh serigala. Apabila mendengar tawaran Umar r.w. kepadanya, maka pengembara kambing itu menjawab dengan satu pertanyaan, Aina Allah" yang bermaksud, "Di mana Allah?".
Kisah ini menunjukkan bahawa pengembala kambing itu sedar akan setiap tingkah lakunya sentiasa diperhatikan oleh Allah S.W.T. walaupun tidak ada sesiapa di sekelilingnya. Umar r.a. lalu menangis kerana adanya pemuda yang sedemikian yang sentiasa ingat kepada Allah S.W.T. Lalu Umar r.a. pun membawa pengembala kambing berjumpa dengan tuannya untuk membebaskannya. Dalam peristiwa yang lain pula terdapat seorang guru yang amat sayang kepada muridnya yang termuda. Ini menjadikanmurid-muridnya yang lebih tua cemburu. Lalu mereka pun bertanya kepada Tuan Guru itu akan sebab-sebab dia menyayangi murid yang termuda itu. Tuan Guru itu pun menyuruh setiap anak muridnya mengambil seekor burung dan menyembelihnya di suatu tempat yang tidak dapat dilihat oleh sesiapa pun. Maka kesemua anak muridnya melakukan apa yang disuruh oleh gurunya dan membawa pulang burung telah disembelih. Bagaimanapun antara kesemua muridnya itu, murid yang termuda itu sahaja yang membawa burung yang tidak disembelih lagi. Apabila ditanya oleh gurunya mengapa dia tidak menyembelih burung itu, maka jawabnya: "Aku tidak berjumpa satu tempat pun di mana aku tidak dilihat oleh sesiapa. Setiap kali aku pergi ke tempat di mana aku tidak dilihat manusia, maka aku sentiasa dapat merasakan bahawa Allah S.W.T. sentiasa memerhatikan perbuatanku".
Oleh sebab sifat muridnya yang muda itu yang sentiasa mengingati Allah S.W.T. menyebabkan Tuan Guru itu mengasihinya lebih daripada murid-muridnya yang lain. Bersesuaian dengan hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Bertaqwalah kepada Allah di mana sahaja kamu berada".
(Al-Hadith)
Dalam Al-Quran pula Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
"Tidakkah engkau ketahui bahawa Allah mengetahui segala yang ada di langit dan segala yang ada di bumi? Tiadalah berbisik tiga orang, melainkan Dia yang keempatnya dan tidak pula lima orang melainkan Dia yang keenamnya, dan tiadalah kurang daripada itu dan tidak pula terlebih, melainkan Dia beserta mereka, di mana sahaja mereka berada. Kemudian Dia khabarkan kepada mereka apa-apa yang mereka kerjakan pada hari Kiamat. Sesungguhnya Allah Maha mengetahui tiap-tiap sesuatu"
(Surah al-Mujadalah 58 : 3)
Seterusnya dalam ayat yang lain Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
"Engkau (Muhamad) tiada dalam satu urusan dan tiada membaca al quran dan kamu tiada mengerjakan suatu pekerjaan melainkan menjadi saksi atas kamu, ketika kamu memasuki pekerjaan itu. Tiada lenyap dari Tuhanmu seberat Zarah di bumi dan di langit dan tiada pula yang terlebih kecil daripada itu dan tiada pula yang terbesar melainkan semuanya dalam kitab yang terang".
(Surah Yunus 10 : 61)
Apabila hati meyakini akan sifat Allah S.W.T. Yang Mengetahui dan Maha Melihat, maka akan timbullah perasaan tanggungjawab terhadap segala perbuatan dan tingkah lakunya. Dengan itu dia akan sentiasa mengawasi segala perbuatan dan tingkah lakunya bersesuaian dengan cara hidup Islam dan tidak bertentangan dengannya. Dia tahu bahawa Allah S.W.T. sentiasa melihatnya di mana sahaja dia berada sama ada di hadapan umum ataupun ketika bersendirian.
Seterusnya apabila hati mengimani akan Qada’ dan Qadar, maka akan lahirlah dalam diri individu itu sifat redha dan tenang dalam emnghadapi penderitaan dan kesusahan. Apa yang dimaksudkan dengan hati yang mengimani akan Qada’ dan Qadar itu ialah:
"Katakanlah: Tiada akan menimpa kamu, melainkan apa yang telah dituliskan oleh Allah bagi kamu, Dialah pelindung kami, dan kepada Allah hendaklah bertawakkal orang-orang yang beriman".
Penghayatan terhadap keyakinan ini memberi kekuatan kepada kita untuk berjihad pada jalan Allah S.W.T., menyampaikan dakwah dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. Segala diizinkan Allah S.W.T. untuk kita berada dalam keadaan selamat, maka kita akan berada dalam keadaan selamat.
Contoh tersebut berlaku terhadap seorang pejuang Islam, Abul a’ala al-maududi apabila beliau telah dijatuhi hukuman gantung. Ketika ditanya oleh hakim, "Apakah ucapan kamu yang terakhir?", katanya, "sekiranya diizinkan oleh Allah S.W.T. untuk aku matidi tali gantung, maka aku akan mati di tali gantung. Tetapi sekiranya Allah S.W.T. tidak mengizinkan demikian, maka aku akan selamat". Apa yang dikatakannya membuktikan keyakinan beliau terhadap Allah S.W.T. dan hakikatnya Maududi terselamat daripada hukuman tersebut dan beliau kemudiannya dibebaskan.
2. Hati meyakini bahawa rezeki itu datangnya daripada Allah S.W.T. Jika rezeki itu dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada seseorang maka tidak ada sesiapa yang boleh menghalangnya. Begitu juga seseorang itu tidak akan dapat mengeluarkan rezeki itu jika tidak dengan izin Allah S.W.T.
Contoh keyakinan ini, dapat kita lihat melalui kisah seorang wanita Islam yang suaminya telah berpergian untuk berjihad. Maka datanglah seorang munafik menghasut wanita tersebut dengan berkata:
Wahai ibu yang miskin, jika ditakdirkan suami kamu terkorban di medan pertempuran, siapa lagi yang boleh diharapkan untuk memberi makan kepada anak-anak kamu?"
Maka wanita itu pun menjawab:
"Saya tahu, suami saya seorang makhluk, dan bukan pemberi rezeki. Jika dia terkorban di medan jihad maka dia mati syahid tetapi Allah S.W.T. pemberi rezeki yang kekal."
Lihatlah bagaimana keyakinan wanita itu dalam menghadapi sebarang kemungkinan tanpa menghalang pemergian suaminya untuk berjihad.
3. Hati meyakini segala apa yang ditakdirkan oleh Allah S.W.T. sekalipun ia dilanda oleh sebarang cubaan dan dugaan. Umpamanya sakit, miskin, tidak memiliki harta dan sebagainya, namun ia tetap bersabar kerana hati yakin bahawa semuanya berlaku dengan kehendak Allah S.W.T. Maka akan lahirlah dalam hatinya satu penyerahan bulat kepada ketentuan Allah S.W.T. Maka akan lahirlah dalam hatinya satu penyerahan bulat kepada ketentuan Allah S.W.T. sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Amat menakjubkan kehidupan Mu’min apabila dia bergembira dengan kesenangan, dia bersyukur. Kesan daripada itu, dia mendapat kebaikan. Apabila dia ditmpa kesusahan ia tetap bersabar. Kesan daripada itu, dia mendapat kebaikan. Oleh itu tidak ada manusia yang mempunyai kehidupan yang seumpama ini melainkan kehidupan seorang Mu’min".
(Al-Hadith)
4. Hati meyakini bahawa segala pembalasan itu datangnya daripada Allah S.W.T. Oleh sebab itulah segala kerja dakwahnya yang mengajak kepada kebaikan, tidak mengharapkan sebarang upah dariapda manusia, melainkan mengharapkan balasan daripada Allah S.W.T. Contoh tersebut dapat dilihat pada para rasul dan para nabi yang diutus. Apabila mereka berkata:
"Sesungguhnya harga upahku adalah disisi Allah".
Kepentingan Hati Yang Hidup
1. Hati yang hidup akan sentiasa mengadakan hubungan yang terus kepada Allah S.W.T.
2. Hati yang hidup akan sentiasa meyakini pertemuan dengan Allah S.W.T. dan hisabnya.
3. Hati yang hidup akan sentiasa mengharapkan rahmat daripada Allah S.W.T. dan waspada terhadap balasan seksanya.
Hatinya yang keras dapat dilihat daripada kecaman Allah S.W.T. terhadap Bani Isra’il dalam al-Quran yang bermaksud:
"Maka dengan sebab mereka mencabuli perjanjian setia mereka, kami laknat mereka dan kami jadikan hati mereka keras membatu".
(Al-Quran)
Oleh itu hati yang keras ialah hati yang sentiasa lupa kepada Allah S.W.T. Hati yang sentiasa terpaut dengan kehidupan keduniaan sehingakan dia lupa akan kebenaran yang ada di sisi Allah S.W.T.
Tanda Hati Masih Hidup
Setiap Muslim hendaklah mengambil berat dan meneliti perkembangan hatinya sama ada masih keras atau masih hidup terhadap kebenaran Allah S.W.T. Antara tanda-tanda untuk mengetahui hatinya masih hidup adalah:
1. Apabila seseorang Muslim itu mendengar bacaan al-Quran atau mendengar nama Allah S.W.T., maka hatinya akan merasa gementar dan takut akan Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu dan yang sempurna imannya ialah mereka yang apabila disebut nama Allah dan sifat-sifatNya, maka gementarlah hati mereka. Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman dan kepada Tuhan jualan mereka berserah".
(Surah al-Anfar 8 : 2)
2. Apabila seseorang itu berpegang teguh kepada agamanya. Beliau berani menyatakan yang hak, tidak takut kecuali kepada Allah S.W.T. Dan dia juga tahu bahawa tidak ada kuasa selain daripada Allah S.W.T. yang boleh menggugat dirinya untuk menyatakan yang hak. Inilah tanda bahawa hatinya masih hidup, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Sesungguhnya di bumi Allah ini terdapat pelbagai bencana, iaitu hati-hati hamba-Nya dan yang paling disayang-Nya adalah yang paling lembut, jernih dan paling teguh. Dan yang dimaksudkan dengan yang paling teguh adalah yang berpegang kepada agama, yang paling jernih dalam keyakinannya, dan yang paling lembut terhadap sahabatnya".
(Al-Hadith)
Memang sudah menjadi sunnah Allah S.W.T., bahawa sesuatu yang hak itu tidak mungkin akan berdiri tegak begitu saja dengan kekuatannya sendiri tetapi harus ada manusia-manusia besar yang memiliki pelbagai keistimewaan dan khususiah tertentu yang tidak dimiliki oleh semua orang, untuk menanganinya.
3. Apabila seseorang itu tiada penyakit hati iaitu bersih daripada keinginan menipu, dengki dan permusuhan. Dalam Hadith Rasulullah s.a.w., baginda pernah ditanya:
"Siapakah orang yang paling baik ya Rasulullah?" Maka jawab Rasulullah s.a.w., "Orang yang amat bertaqwa, iaitu tidak menipu, tidak zalim, tidak khianat, tidak mengambil yang bukan hak dan tidak menaruh hasad dan dengki".
(Al-Hadith)
Maka jelaslah kepada kita bahawa hati itu amat penting dan disebabkan hatilah kebanyakkan ulama’ menyarankan supaya mengawasi hati kita, disamping menumpukan perhatian kita kepada ibadah-ibadah hati seperti berzikir kepada Allah S.W.T., membaca ayat-ayat al-Quran dan sebagainya.
Bagaimanakah caranya supaya hati kita menjadi mantap dan sentiasa beristiqamah dalam melaksanakan amal-amal kebaikan? Jawapannya boleh diperhatikan dalam hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Kamu beriman dengan Allah S.W.T. dan kamu beristiqamah".
(Al-Hadith)
Sumber daripada istiqamah ini adalah beriman kepada Allah S.W.T. Oleh itu kita harus memeriksa semula sejauh mana kemantapan hati kita kepada Allah S.W.T. dan memahami sifat-sifatNya, yang sentiasa memerhati tingkah laku kita. Keyakinan inilah yang akan menjadikan kita sentiasa istiqamah.
Sentiasalah bermuhasabah (menghisab diri) terhadap setiap perkara yang kita lakukan. Salah satu caranya adalah membuat jadual muhasabah harian untuk mempastikan kita sentiasa mengawasi diri kita dalam melaksanakan segala perintah Allah S.W.T.
Kaedah mengubati penyakit hati:
Dengan kaedah tersebut dia benar-benar dapat menguasai dirinya dan berjaya membersihkan dirinya serta mengawasi hatinya sebagaimana janji Allah S.W.T. yang bermaksud:
"Sesungguhnya telah berjayalah sesiapa yang membersihkan dirinya".
(surah al Syams 91 : 9)