MOHON LANJUTKAN PTPTN

Pelajar-pelajar UNITAR yang telah tamat tempoh perjanjian kontrak pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk tempoh tiga tahun, diminta membuat permohonan baru bagi melanjutkan pinjaman tersebut.

Pengurus Pinjaman PTPTN, Faridah Zainal Abidin berkata, para pelajar perlu membuat perjanjian tambahan bagi pelanjutan perjanjian mengikut tempoh semester yang diikuti.

Beliau berkata, tanpa sebarang pembetulan tersebut para pelajar tidak akan mendapat sebarang pinjaman walaupun dalam borang perjanjian, mereka telah mengisi tempoh pengajian masing-masing selama empat tahun.

``Semua maklumat mengenai pinjaman tersebut telah dimasukkan dalam komputer, justeru kita hanya berpandu daripada maklumat berkenaan,'' katanya ketika dihubungi di pejabatnya baru-baru ini.

Menurut Faridah, jika tempoh kontrak tamat, pihaknya mengandaikan bahawa para pelajar telah menamatkan pengajian masing-masing.

Untuk memudahkan permohonan tersebut, para pelajar disarankan supaya menghubungi Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) masing-masing untuk mendapatkan format rasmi dan borang permohonan tersebut.

``Para pelajar perlu menyatakan tarikh permulaan dan berakhirnya pengajian mereka,'' katanya.

Beliau berkata, permohonan mereka akan dikemukakan dalam mesyuarat lembaga pengurusan PTPTN untuk tindakan selanjutnya.

``Keputusan permohonan akan hanya diketahui selepas mesyuarat berkenaan yang hanya diadakan sekali dalam tempoh dua bulan,'' jelasnya.

PERMAI mendapati ramai para pelajar UNITAR telah tidak dapat menghabiskan tempoh pembelajarannya di univerisiti ini tetapi tempoh perjanjian PTPTN mereka telah pun tamat. Akibatnya ramai yang terpaksa menanggung kos pembelajaran secara sendirian untuk tahun akhir.

 

Para pelajar UNITAR juga dinasihatkan agar membuat perancangan yang betul dari segi pemilihan bilangan matapelajaran yang perlu diambil bagi setiap semester agar tempoh pengajian mereka tamat pada masa yang ditetapkan.

 

"Seandainya seseorang pelajar hanya mengambil 2 atau 3 matapelajaran sahaja bagi satu semester ini bererti mereka terpaksa menghabiskan masa 5-7 tahun di UNITAR, walhal pinjaman PTPTN mereka hanyalah untuk tempoh 3 tahun. Oieh itu mereka terpaksa menanggung kos pembelajaran bagi tahun-tahun tambahan tersebut," ujar seorang kakitangan Hal Ehwal Akademik ketika diminta mengulas hal ini.

 

Laporan oleh PERMAI ONLINE