![]() |
ZULKIPLY HARUN
PENASIHAT PERMAI/
KOLUMNIS PERMAI ONLINE
MEMPERKASAKAN PERJUANGAN
Saluran tarbiyah dan pembentukan jiwa insani terhadap ketauhidan Allah taala perlu diserapkan dengan serapan akidah yang mantap agar jiwa luhur ini sentiasa dibentuk dan dididik. Dalam menuju dan memenuhi hasrat serta menjayakan visi dan misi yang telah digariskan oleh para peneraju UNITAR, maka PERMAI lahir sebagai satu wadah untuk mewujudkan suasana roh Islamiyah di bumi UNITAR ini. Dengan pengislahan jiwa dari akar umbi ini dapat memartabatkan Islam sebagai ad-diin serta diletakkan pada kedudukan yang lebih abadi yang secara tidak lansung menjadikan ia sebagai satu cabaran bagi golongan mahasiswa/i di UNITAR.
Adalah menjadi matlamat PERMAI untuk memberikan kefahaman kepada mahasiswa/i Islam bahawa, Islam adalah satu cara hidup yang wajib diungguli dalam segenap urusan kehidupan serta berusaha melahirkan individu akademis yang bertaqwa kepada Ilahi. PERMAI bercita-cita untuk menerapkan penghayatan Islam sebenar dan menyampaikan mesej Islam menerusi perlaksanaan pelbagai program berbentuk diskusi, forum dan interaksi disamping mewujudkan hubungan dan interaksi harmonis antara mahasiswa/i Islam dengan seluruh warga kampus dan membentuk ukhuwah Islamiyah yang jitu dan mantap.
PERMAI amat yakin bahawa kecemerlangan mahasiswa di segenap bidang amat bergantung erat kepada penghayatan ajaran dan nilai-nilai Islamiyah. Itulah sebabnya PERMAI akan sedaya upaya dengan kemampuan yang ada mengketengahkan TASAWUR ISLAMI di dalam menangani apa jua cabaran yang di hadapi oleh masyarakat kampus UNITAR seluruhnya.
Gerakan Islamiyah adalah satu alat perubahan yang tradisional. Ia bukan merupakan sebuah gerakan politik dengan manifesto yang disusun oleh sekumpulan manusia atau ideologi yang dihimpunkan oleh para failasuf, sejarahwan, aktivis sosial atau para idealis. Gerakan Islamiyah, dalam bentuk yang sejati adalah manifestasi Kehendak Ilahi dan PERMAI meyakini bahawa gerakan Islamiyah pertama dan sempurna yang harus ditelani ialah gerakan yang telah ditunjukkan dan dipimpin oleh Rasulullah s.a.w.
Perubahan adalah sesuatu yang tidak terpisah dari kehidupan manusia dan adalah tidak mungkin untuk kita menyekat perubahan. Tidak ada individu yang benar-benar serupa di antara hari ini dan esok. Tidak ada masyarakat atau negara, yang selamanya dari waktu ke waktu tetap serupa tanpa wujudnya perubahan. Perubahan akan tetap berlaku terus menerus sepanjang zaman.
Perubahan adalah satu proses pertumbuhan dan pembangunan,
dalam masa yang sama ia juga merupakan proses keruntuhan dan kejatuhan. Kita
bangunkan sesuatu kemuliaan disamping kita meruntuhkan kejahilan yang
merosakkan. Perubahan amat penting dalam rangka mencapai taqwa, untuk mencapai
kebahagiaan
dan menggenggam kecemerlangan. menentukan matlamat dan kemudian berjuang untuk
mencapainya, merupakan usaha dalam melaksanakan perubahan.
Inilah perjuangan PERMAI yang paling mencabar : MEMBAWA PERUBAHAN!
Pendirian yang patut diambil sekarang ini - dan hanya gerakan Islam yang mampu melakukannya - ialah pengakuan bahawa mahasiswa/i Islam di mana-mana telah diserang oleh peradaban barat, satu penyakit yang menular yang sepatutnya dihindari. Peradaban barat yang menjadi kegilaan mahasiswa/i di mana-mana ipt sebenarnya pembunuh senyap terhadap cita-cita luhur di dalam kembara seorang pelajar memburu kecemerlangan.
PERMAI tidak mampu untuk mendiamkan diri sebelum UNITAR runtuh akibat dari serangan peradaban neo-jahiliyah ini. Pun sudah ada tanda-tanda mahasiswa/i UNITAR dihinggapi oleh parasit-parasit liar yang datang dari pelbagai arah.
Perjuangan PERMAI yang bersendikan kepada amal makruf nahi mungkar akan terus mengibarkan panji-panji perjuangan meskipun terpaksa melalui pelbagai mehnah. Perjuangan ini akan diperkasakan bagi mempastikan kalimah Allah memenangi hati mahasiswa/i seluruhnya. Dan nantinya, kita akan warnai UNITAR dengan warna-warna Islamiyah agar akhirnya terlaksanalah cita-cita untuk melahirkan insan akademis yang bertaqwa!