PENGHORMATAN TERAKHIR UNTUK
MOHD NAZIM MOHD SAHAT.
Beberapa hari yang lalu
berita duka ini kuterima
"Adik Nazim Sahat
meninggalkan dunia yang fana
pergi mengadap Tuhan
untuk selamanya."
Yang ada padaku kini
hanyalah sebuah kenangan
sewaktu bersamanya di Jugra….
pada daun-daun kering yang gugur disentuh bayu
pada jerebu yang membungkus hutan
pada bukit-bukau yang memacak setia
dan
pada malam yang bisu tanpa bintang
Bagaimana bisa kulupakan
mulianya adikku ini
tatkala mendengar
suaranya sering mengalunkan azan
di gemersik subuh yang dingin
meredah bumi Jugra.
Mana bisa kulupakan
rentak nakal bersahajanya
dengan wajahnya yang bersih
dan sebak dadaku tiba-tiba berkunjung
kerana bicara dan pengakuannya
bahawa aku ini adalah abang yang disayangi…
Kini
tiada lagi kedengaran suaranya itu
tiada lagi senda guraunya
tiada lagi senyum manisnya
tiada lagi hilai tawanya
Tuhan lebih menyayangimu dik
dan selepas ini aku dan rakan-rakanmu kini
yang sedang berbaris menunggu giliran
yang entah esok lusa
kita pasti bertemu di barzakh sana…
Al-Fatihah kita hulurkan
untuk ruh Al-Marhum
semoga Allah mencucuri Rahmat
ke atasnya.
Abang Zul
Melaka
(Almarhum diberitakan telah kembali ke Rahmatullah pada 31/12/2001 di Hospital Alor Setar Kedah setelah mengalami kemalangan maut di Gurun Kedah sewaktu menyertai ekspedisi menjelajah seluruh Semenanjung anjuran kerajaan negeri Selangor.)