"Hendaklah
mereka menghulurkan jilbab mereka ke seluruh tubuh mereka. Yang demikian
itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal, kerana itu mereka tidak diganggu.
Dan Allah adalah Maha Pengampun dan Maha Penyayang." (Al- Ahzab: 59)
Secara umum, hikmah perintah berpakaian menutup aurat adalah untuk lebih dikenal sebagai seorang wanita muslim yang berbeza daripada wanita yang non muslim dan supaya tidak diganggu. Dari segi persepsi sosial menurut Kefgen dan Taochi-Spech dalam bukunya Nonverbal Communication System, pakaian mempunyai tiga fungsi:
a) Perbezaan b) Perilaku c) Emosi
Melalui pakaian muslimah, orang dapat membezakan dirinya, kelompoknya atau golongannya dari orang lain. Oleh itu pakaian memberikan identiti yang mantap dan memperteguhkan konsep diri. Pakaian muslimah yang disyariatkan itu memberikan identiti keIslaman. Dengan itu seorang muslimah akan nampak berbeza dan lebih sopan berbanding dengan mereka yang tidak mengamalkan cara berpakaian seperti mana yang diperintahkan Allah.
Di dalam kehidupan yang serba moden dan era globalisasi kini, ramai wanita yang terkeliru dan hilang identiti diri. Identiti kebanyakan mereka menurut persepsi yang dilahirkan oleh akal fikiran yang kabur dan persekitaran yang berkehendakkan budaya kebaratan. Mereka berpakaian tidak menutup aurat sehingga menjolok mata, seksi sehingga menaikkan nafsu syahwat dan menggoda para lelaki.Ini akan menimbulkan gangguan imej kepada sesetengah wanita dalam usaha menampilkan personaliti yang terbaik terutama bagi wanita yang bekerja.
Bagi seorang wanita muslim yang mengamalkan pakaian menutup aurat, ia akan memberikan imej diri yang stabil. Mencerminkan tekad dan keyakinannya menolak segala pengaruh jahiliyah dan menerima cara hidup Islam yang hakiki. Oleh itu selembar kain yang menutup kepala dan leher itu merupakan satu simbol perjuangan di dalam menegakkan syiar Islam.
Dalam konteks kekeluargaan dan persahabatan, pakaian muslimah mendorong adik beradik, kawan-kawan dan persekitarannya, membentuk perilaku yang sopan yang sesuai dengan si pemakainya. Pakaian muslimah mendefinasikan peranan yang tegas kerana pakaian juga mempunyai fungsi emosional. Pakaian mencerminkan emosi pemakainya dan pada saat yang sama, mmpengaruhi emosi orang lain. Seperti apabila seseorang yang memakai pakaian yang menjolik mata dan seksi, secara tidak langsung ia akan menyebabkan emosi orang yang meihatnya itu berubah, mungkin ghairah kerana terbuka auratnya atau menyampah kerana si pemakainya itu berlebih-lebihan dan tidak mempunyai jati diri KeIslaman.
Sebagaimana yang disebutkan pada ayat di atas, selain ianya adalah supaya mudah dikenal sebagai seorang wanita muslimah, ianya juga berperanan sebagai satu bentuk kawalan sosial yang mencegah dari berlakunya seksual harassment dan sekaligus menyelamatkan maruah wanita dari dipermainkan oleh pihak lain. Lelaki yang tipis imannya, bila sudah teransang tidak kira lagi halal dan haram, dosa atau pahala, akan mencari jalan untuk melepaskan keinginannya kepada wanita tidak kira apa cara sekalipun. Kerana itu setiap hari banyak kita dapati berita tentang perkosaan dan kes zina. Dalam hal ini kedua-dua pihak bersalah.
Tetapi dalam membicarakan hal wanita ini, kita perlulah melihat daripada kesilapan wanita di dalam hal ini. Ada yang tidak bersetuju wanita dipersalahkan di dalam kes ini. Kononnya wanita yang diperkosa itu juga berpakaian sopan.
Untuk menjawab hal tersebut kita perlu tanya diri kita tentang kefahaman kita tentang bentuk pakaian yang telah digariskan oleh Islam. Sejauh mana ukuran kesopanan pakaian yang dikatakan itu ? Kalau ikut orang melayu, pakai baju kurung itu sopan, pakai baju kebaya pun dikira sopan. Tetapi adakah pakaian tersebut dikira sopan mengikut kacamata syariat ?. Pakaian yang diiktiraf oleh wanita mukmin yang boleh menyelamatkannya dari mata keranjang lelaki ialah yang mempunyai ciri-ciri tertentu. Pakaian itu mestilah dari warna yang gelap misalnya kelabu, coklat, hitam, longgar dan tidak menampakkan bentuk badan. Pakaian itu dapat menutup kecantikan wanita yang membangkitkan ghairah dan fitnah.
Pada hakikatnya, dengan pakaian seorang muslimah ianya sudah jelas mengidenfikasikan dirinya dengan ajaran Islam dan membentuk identiti muslimah sejati serta mendorong untuk berperilaku sesuai dengan Islam disamping memberikan motivasi kepada persekitarannya untuk mendokong dan beradab sopan dengan akhlak yang digariskan oleh Islam.