siri
merenung diri
ADAKAH ANDA BIJAK MEMILIH PASANGAN
HIDUP?
KEBAHAGIAAN dan kejayaan hidup
berumahtangga adalah bergantung kepada kebijaksanaan seseorang memilih pasangan
hidupnya. Pemilihan yang bijak ialah pemilihan yang didasarkan di atas
keserasian dan persamaan watak-watak peribadi, persamaan taraf keluarga,
persamaan agama, persamaan kecenderungan dan memilih kawan teman, hobi dan
hiburan. Perkahwinan-perkahwinan yang berlangsung tanpa mempunyai
keserasian-keserasian yang pokok ini seringkali terkandas dan gagal.
Untuk
menduga sama ada pemilihan pasangan hidup anda itu sesuai atau tidak, silalah
tiap-tiap seorang yang mahu mengikatkan pertunangannya itu menjawab
pertanyaan-pertanyaan yang berikut dengan “Ya” atau “Tidak”.
(1) Adakah anda berdua mempunyai semangat pergaulan yang sama
atau hampir sama?
(2) Adakah anda berdua mempunyai sikap yang
sama terhadap nilai-nilai hidup yang luhur, juga sama-sama bersikap lapang
fikiran?
(3) Adakah tiap-tiap seorang dari anda berdua ini saling hormat menghormati dan berpuas hati terhadap pekerjaan masing-masing?
(4) Adakah bakal tunang anda itu sudah
matang umurnya?
(5) Adakah bakal tunang anda itu terkenal
dalam kalangan sahabat temannya sebagai seorang yang amanah, jujur dan tidak
selalu menguzurkan diri?
(6) Adakah anda berdua sudah lama
berkenalan?
(7) Selama perkenalan anda degannya
pernahkah terjadi sesuatu yang mengeruhkan perhubungan anda berdua?
(8) Adakah sidia itu seorang yang
tidak meninggalkan solatnya?
(9) Adakah rancangan perkahwinan anda berdua
ini dipersetujui oleh keluarga kedua belah pihak?
(10) Adakah bakal tunang anda itu seorang yang
patuh kepada kewajipan-kewajipan agamanya?
(11) Adakah bakal tunang anda seorang yang
yang bukan kaki muzik dan bukan juga kaki rockers ?
(12) Adakah anda sudah memikirkan
semasak-masaknya mengenai pilihan anda tersebut atau lebih didorong oleh
nafsu?
(13) Adakah bakal tunang anda itu mempunyai
perhubungan yang rukun damai dengan keluarganya?
(14) Adakah bakal tunang anda itu
bukan merupakan kaki pokai atau pemboros?
(15) Adakah bakal tunang anda itu seorang yang
mudah cemburu dan syak wasangka?
(16) Adakah bakal tunang anda itu seorang yang
bertabiat tenang dan damai walaupun anda sendiri seorang yang pemanas dan
perungus?
(17) Adakah anda berdua mempunyai pengetahuan
dan pengertian yang wajar tentang kehidupan berumahtangga?
(18) Adakah bakal tunang anda itu seorang yang
sederhana tabiatnya dan tidak termasuk dalam golongan kaki motor dan kaki
perempuan?
(19) Adakah bakal tunang anda itu boleh
memberikan didikan agama kepada anak-anak anda nanti?
(20) Dan
yang penting sudahkah anda sembahyang sunat istikharah untuk
menentukan pilihan anda itu baik untuk anda dan agama anda?
Kalau tiap-tiap seorang dari anda berdua dapat menjawab dengan “Ya” sebanyak 16 atau
lebih dari pertanyaan-pertanyaan di atas, maka itu membuktikan bahawa
perkahwinan anda berdua akan berlangsung dalam kebahagiaan dan kejayaan. Kalau anda
dapat menjawab “ya” kurang dari 15 pertanyaan, maka perkahwinan anda mungkin
berjaya, tetapi banyak menghadapi gelombang-gelombang yang pahit. Sebaliknya kalau
jawapan-jawapan “Ya” itu tidak sampai sepuluh, maka perkahwinan anda sukar
bertemu kerukunan dan kedamaian.