siri
merenung diri
ADAKAH ANDA BENAR-BENAR INGIN
MAJU?
KEBANYAKAN orang sering menyatakan
ingin terus maju dalam hidupnya, tetapi tanpa ada sebarang usaha positif ke
arah mencapaikannya, orang-orang begini pasti tidak akan maju. Hasrat dan
impian mereka kepada kemajuan tidak akan menjelma menjadi kenyataan, malahan
mereka akan tetap tinggal di takuk-takuk lama selagi mereka tidak menukarkan
taktik-taktik perjuangan mereka dengan sepenuh daya, kerana hasrat atau sebutan
ingin maju semata-mata tidak akan memberi sebarang erti dan kesan, tidak akan
mendorong roda hidup mereka maju ke depan. Pendeknya untuk terus maju dalam
hidup mereka mesti terus-menerus berusaha tanpa mengenal penat lelah, letih dan
jemu walaupun mengorbankan diri sendiri.
Untuk
mengukurkan diri anda sama ada orang yang benar-benar ingin maju atau
sebaliknya mengata-ngatakan sahaja cubalah jawab “Ya” atau “Tidak” kepada
soalan-soalan di bawah:
(1) Adakah anda tahu tujuan hidup anda atau adakah anda mempunyai cita-cita yang terang dan tegas?
(2) Di dalam pekerjaan adakah anda selalu
berusaha untuk menuju lebih tinggi atau untuk melakukannya lebih baik lagi pada
masa akan datang?
(3) Adakah anda benar-benar sukakan
pekerjaan anda, iaitu dengan mengambil berat mengetahui seluruh selok-belok
pekerjaan itu bukan hanya dalam jurusan yang anda pegang itu sahaja?
(4) Adakah anda dapat mengikuti
perkembangan-perkembangan dan perubahan-perubahan baru yang berlaku dalam
jurusan pekerjaan anda?
(5) Adakah anda agak mudah bersikap bertolak
ansur dengan orang-orang yang bekerja bersama-sama anda hingga anda dapat
menyesuaikan diri dengan majikan dan rakan-rakan sejawat anda?
(6) Adakah pekerjaan yang sukar atau sulit
itu menjadi cabaran kepada diri anda untuk berusaha lebih kuat?
(7) Adakah anda bersedia untuk berpindah ke
bandar-bandar lain dan bekerja di dalam kalangan orang-orang asing untuk
mendapat pekerjaan yang lebih baik, atau kenaikan pangkat yang lebih tinggi
ataupun untuk mendapat pengalaman-pengalaman yang lebih luas?
(8) Adakah anda bersedia memikul tanggungjawab?
(9) Adakah anda bergembira kalau mendapat
kesempatan bertemu dengan orang-orang yang telah berjaya atau mendengar
fikiran-fikiran mereka?
(10) Adakah kebanyakan dari kawan-kawan anda
teridiri dari orang-orang yang patuh menjalankan tugas mereka?
(11) Adakah anda suka bercampur-gaul dan
beramah mesra dengan orang?
(12) Adakah anda dapat memperlihatkan
kesungguhan yang dapat menarik perhatian orang kepada pendapat-pendapat anda?
(13) Adakah orang tahu bahawa mereka boleh
menaruh kepercayaan kepada anda sebagai seorang yang patuh menjaga waktu, tidak lengah dan cuai dan
selalu melakukan pekerjaan-pekerjaan yang berfaedah.
(14) Adakah anda dapat menjelaskan
kehendak-kehendak anda dalam percakapan dan tulisan anda dengan terang dan
ringkas?
(15) Adakah anda dapat memikirkan dengan cepat
apa-apa tindakan yang patut diambil dan segera melaksanakannya?
(16) Adakah anda memasuki mana-mana kelas
pelajaran atau mengikuti ceramah-ceramah atau mengambil kursus-kursus belajar
sendiri?
(17) Adakah anda mengatur pembacaan-pembacaan
anda?
(18) Adakah anda lebih suka membaca buku-buku
real daripada buku-buku khayal?
(19) Adakah anda cepat tertarik hati membeli
ataupun meminjam buku-buku yang bermutu?
(20) Adakah anda lebih banyak memikirkan
perkara-perkara masa depan dari perkara-perkara masa yang lalu?
Berikan
5 mata kepada tiap-tiap jawapan “Ya”. Seandainya anda seorang yang ingin terus
maju, anda dengan senang sahaja mendapat markah 70 mata ke atas. Markah antara
60 – 70 bolehlah dianggapkan sebagai memuaskan. Markah 60 ke bawah tidak
memuaskan kerana markah ini membuktikan anda semata-mata berhasrat ingin maju
tanpa melakukan usaha-usaha untuk mencapaikannya atau membuktikan anda tidak
mempunyai daya kesanggupan dan kesungguhan yang cukup untuk menjalankannya.
Setiap jawapan “Tidak” menunjukkan titik-titik kelemahan tertentu yang terdapat pada diri anda.