siri merenung diri



ADAKAH AZAM ANDA WAJA ATAU KACA?

 

 

SETIAP orang yang maju harus mempunyai azam waja dan keinginan mahu menang yang kukuh. Keazaman waja adalah suatu sifat yang tumbuh dari percantuman sifat-sifat berani, rajin dan tekun. Keazaman waja satu faktor yang kuat yang dapat menolakkan seseorang kepada kejayaan yang cemerlang di dalam hidupnya. Untuk mengetahui sekukuh mana keazaman tuan, silalah jawab pertanyaan-pertanyaan di bawah ini dengan “Ya” atau “Tidak”.

 

(1)        Bila anda gagal, adakah kegagalan anda itu mendorong anda bekerja lebih keras lagi?

 

(2)        Adakah anda menaruh minat yang begitu besar kepada pekerjaan  anda hingga anda tidak sedarkan penat letih?

 

(3)        Adakah anda begitu cinta kepada pekerjaan anda hingga anda tidak merasa risau apakah orang lain fikir terhadap anda?

 

(4)        Adakah anda mempunyai tujuan-tujuan hidup yang jelas dan tegas?

 

(5)        Adakah anda terharu gembira bila berlumba-lumba dengan orang lain dalam usaha-usaha yang tertentu?

 

(6)        Adakah anda mengetahui dengan jelas cara-cara hendak melaksanakan tujuan dan cita-cita hidup anda?

 

(7)        Adakah anda boleh menerima kesusahan dengan wajah yang manis?

 

(8)        Adakah anda dari jenis orang yang senang bangkit kembali bila sudah jatuh untuk melakukan percubaan-percubaan baru?

 

(9)        Adakah anda tidak suka meninggalkan kerja separuh masak?

 

(10)      Adakah anda tidak suka menyejuk-nyejukkan semangat orang lain yang hendak melakukan sesuatu?

 

(11)      Adakah anda selalu meletakkan harapan yang kukuh kepada Allah dalam sebarang langkah anda yang benar?

 

(12)      Adakah anda lebih suka mengakui kesalahan dan kelemahan diri sendiri dari menyalahkan keadaan dan orang lain?

 

(13)      Bagaimana langkah anda kalau anda dipertakutkan orang? Adakah anda hadapi dengan berani dan cabut lari?

 

(14)      Adakah anda dapat menghadapi kritik-kritik dengan tenang tanpa hilang kepercayaan kepada diri sendiri?

 

(15)      Adakah anda boleh bersabar bila diketawa atau disendakan orang?

 

(16)      Adakah anda boleh membuat satu keputusan yang menggempar dan terus melaksanakannya biarpun anda terpaksa berdiri seorang diri?

 

(17)      Adakah anda boleh berkata “Tidak mahu” dan tetap tidak mahu?

 

(18)      Adakah anda sanggup mempertahankan apa yang anda anggapkan benar tanpa menghiraukan cabaran dan sindiran?

 

(19)      Adakah anda sanggup berpindah dari kampung halaman anda untuk bekerja di tempat atau dalam kalangan orang-orang yang asing kepada anda?

 

(20)      Adakah anda boleh menafikan kesukaan-kesukaan hiburan dan kegiatan-kegiatan sosial demi kepentingan belajar dan mencari suatu pengalaman?

 

 

Tiap-tiap jawapan “Ya” hendaklah dikirakan 5 mata kemudian jumlahkan semuanya. Markah 70 – sangat baik, markah 60 – 70 baik, 50 – 60 memuaskan, 40 – 50 sederhana dan bawah 40 lemah dan membuktikan anda seorang yang berazam kaca yang senang pecah dan patah.