TINGKATKAN KEFAHAMAN
TASAWUR ISLAM –
Prof Syed Hamid
KELANA JAYA: Mahasiswa-mahasiswi UNITAR digesa supaya meningkatkan kefahaman mengenai "tasawur" Islam untuk menjadikan mereka sebagai umat yang berjaya.
"Apa yang berlaku di arena antarabangsa seperti yang dipaparkan oleh media massa kini ialah nama Islam itu tercemar akibat dari perbuatan segelintir umatnya (Muslim)," tegas beliau.
Prof. Syed Hamid Al-Junid, Timbalan Presiden UNITAR berkata demikian semasa merasmikan Program Maulidir Rasul anjuran Persatuan Mahasiswa Islam UNITAR (PERMAI) dengan kerjasama Dynamics Group dan Majlis Perwakilan Mahasiswa UNITAR.
Kefahaman mengenai tawawur Islam yang sebenar akan menggalakkan keupayaan berfikir secara kritikal di samping mempertingkatkan ketrampilan ‘penyelesaian masalah’ di kalangan mahasiswa.
"Di dalam Islam, logik atau kemampuan akal fikiran digunakan sebagai pembangun, bukan peruntuh", tambah beliau lagi.
"Kita perlu mengawal diri dari dipengaruhi oleh emosi didalam setiap tindak-tanduk kita dan jangan terlalu menganggap sesuatu kesilapan sebagai satu fenomena negatif. Kesilapan yang berlaku kadang kala mempunyai hikmah yang tersendiri dan sekurang-kurangnya kita belajar untuk mengelakkan kesilapan yang sama dari berulang pada masa akan datang".
Beliau juga memuji langkah PERMAI mewujudkan "Projek 1st Class Honours" yang dilancarkan di PERMAI ONLINE dan menganggap ia sebagai satu usaha yang amat baik untuk mempertingkatkan prestasi akademik mahasiswa- mahasiswi.
Terdahulu dari itu, Prof Madya Syed Omar Syed Agil, Penasihat 1 PERMAI di dalam ucapannya mengucapkan syabas kepada Jawatankuasa Penganjur Maulidur-Rasul kerana kejayaan program berkenaan.
Beliau berpuashati dengan pertambahan kehadiran mahasiswa-mahasiswi di dalam aktiviti-aktiviti PERMAI. Beliau menyatakan betapa perlu mahasiswa-mahasiswi melibatkan diri di dalam aktiviti yang dianjurkan oleh PERMAI di dalam usaha untuk mengatasi gejala yang kurang sihat yang melanda kampus mutakhir ini.
Beliau memetik peringatan yang di berikan oleh Allah melalui Surah Muhammad ayat 7 yang menyatakan bahawa barangsiapa yang membantu agama Allah, maka Allah akan membantunya di dalam urusan kehidupannya.
Pengurus Kanan Hal Ehwal Pelajar, Tuan Haji Ismail Jaafar pula sebelumnya di dalam ucapannya mengganggap PERMAI sebagai salah sebuah persatuan yang teraktif di UNITAR dan menggesa agar PERMAI memperbaiki sabarang kelemahan yang ada dan meminta agar menerima sebarang kritikan dengan dada terbuka.
Majlis Maulidir Rasul telah diserikan dengan acara berselawat beramai-ramai di acara pembukaan dan menyanyikan nasyid I’tiraf sebelum Mailis Interaksi Mahasiswa dijalankan.
Pada majlis itu, sebuah sajak telah dideklamasikan oleh adik Norshahrizal yang memaparkan keperitan yang ditangung oleh umat Islam di Ambon, Maluku.
Di majlis yang sama juga, para mahasiswa-mahasiswi telah berjaya untuk mewujudkan kumpulan-kumpulan bengkel (Latihan Dalam Kumpulan) bagi membincangkan masalah bersama serta merapatkan hubungan mahasiswa baru dan lama di dalam rangka mewujudkan semangat ukhwah yang erat di kalangan mereka. LDK ini merupakan
percubaan aktiviti usrah khusus yang akan dibentuk tidak berapa lama lagi.
Para mahasiswa-mahasiswi telah dilatih untuk mengeluarkan pendapat di dalam pelbagai isu tertentu dan mengulas tentang peranan sebenar mahasiswa semasa berada di ipt.
"Saya amat kagum dengan cara bagaimana aktiviti ini dilaksanakan dimana saya melihat mahasiswa lama benar-benar mesra dan mempunyai semangat ingin menolong kami yang baru masuk Unitar’, kata seorang mahasiswi baru yang terlibat di dalam LDK berkenaan.
Laporan oleh PERMAI ONLINE.