![]() |
PERANAN DAN SUMBANGAN ISLAM PADA MENANGANI MASALAH KEGAWATAN EKONOMI Oleh: Datuk Prof Dr Syed Othman AlHabshi Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif UNITAR |
1. MUQADDIMAH
Selain daripada keyakinan tentang wujudnya dikotomi di dalam kehidupan manusia antara yang sekular dan yang spiritual, ekonomi konvensional masih lagi menekankan kepada aspek positif tanpa memberi sebarang perhatian kepada aspek normatif dalam menangani masalah ekonomi. ‘Apa yang jelas’ menjadi norma, bahkan prinsip dan bukan ‘apa yang sepatutnya’. Aspek ekonomi yang positif merupakan salah satu faktor terpenting yang terbit kerana tujuan menjadikan ekonomi itu sebagai satu disiplin yang jitu, objektif and saintifik. Aspek perlakuan (behavioural) manusia itu tidak dihiraukan langsung. Seolah-olah manusia itu seorang teknokrat yang tidak mempunyai perasaan, prejudis atau nilai hidup tertentu. Sehingga ia terpaksa mengenepikan segala sistem nilainya tatakala ia berusaha ke arah mencapai objektif ekonominya. Pada masa yang sama pula, ahli-ahli ekonomi itu menerima secara membabi buta bahawa tindakan-tindakan yang mementingkan diri semata itu sebagai perlakuan yang rasional. Dalam usaha menggambarkan ekonomi sebagai suatu ilmu sains, ahli-ahli ekonomi ini sanggup mencipta ‘manusia ekonomi’ yang bertujuan tidak lain dari memaksimumkan objektifnya dalam setiap kegiatan ekonomi.
Islam, sebaliknya, telah memperaku atau menerima pengembelingan antara yang sekular dan yang spiritual. Kedua-dua komponen ini harus diambil kira serentak, bukan sahaja dalam aspek ekonomi bahkan di dalam semua aspek hidup manusia. Asasnya di sini ialah Islam ialah suatu cara hidup yang sempurna dan bukan sahaja suatu agama yang terpisah dari kehidupan duniawi atau material. Asas ini dengan sendirinya menghendaki bahawa setiap aspek hidup material manusia haruslah mematuhi segala perintah yang telah ditetapkan oleh Allah (SWT) seperti juga aspek spiritual. Pengembelingan ini diasaskan kepada prinsip keEsaan Allah atau Tauhid yang harus diterjemahkan kepadea amalan atau tindakan sama ada dalam lingkungan material mahu pun spiritual. Objektif utama bagi segala tindakan dalam Islam tidak lain dari mencari keredhaan Allah (SWT) – salah menegakkan keadilan seperti yang dituntut oleh Islam memerlukan amalan konsep Tauhid. Oleh itu, kita akan bicarakan tentang konsep Tauhid terlebih dahulu dan diikuti dengan konsep keadilan sebelum kita bicarakan kegawatan ekonomi yang telah berlaku pada tahun 1997-98 sebelum memberi beberapa kaedah menanganinya kelak.
Tauhid bukan sahaja suatu konsep yang terpenting tetapi ia juga merupakan suatu prinsip dan asas utama bagi agama Islam. Ia wujud dalam setiap agama yang diwahyukan sehingga Islam menjadi agama yang dianuti juga oleh Nabi Adam (AS). Tauhid menggambarkan perhubungan yang amat unik dengan Yang Maha Esa dan menolak semua perhubungan yang serupa dengan yang lain. Keunikan ini dengan sendirinya menolak segala kemungkinan wujudnya sebarang yang lain yang patut disembah.
Keesaan yang dimaksudkan oleh Tauhid ini tidaklah terhad kepada bilangan semata. Ia juga membawa implikasi keesaan atau keunikan dalam setiap sifatNya Yang Maha Mulia. Semua yang dikatakan makhluq itu mestilah berbeza daripada Allah (SWT) dalam setiap segi. Sekurang-kurangnya, perbezaan itu adalah dari segi saiz atau perbandingan yang relatif. Misalnya, jika seseorang itu kaya, sudah tentu ada orang yang lebih kaya, tetapi Allah (SWT) itu adalah Maha Kaya. Sudah tentulah sifat yang paling tinggi, mulia atau besar itu bagi Allah (SWT) semata dan perbezaannya adalah infinit. Sebarang kesamaan dengan mana-mana makhluq sekali pun ditolak sama sekali. Jika tidak, ia bertentangan dengan konsep Tauhid itu sendiri. Keunikan sifat Allah (SWT) ini bukan sahaja menjadikanNya berbeza dari segala makhluq tetapi juga memudahkan kita menerima kebebasanNya dari segala makhluq. Sifat kebebasan mutlaq ini dmenyenangkan kita untuk menerima hakikat bahawa Allahlah yang member segala keperluan kita dan semua makhluqNya bergantung kepadaNya. Oleh itu manusia haruslah benar-benar komited kepada Allah (SWT) sahaja yang menjadi tempat pergantungan dan bersyukur. Manusia juga tidak mempunyai pilihan lain kecuali memperakui bahawa tidak ada sebarang kuasa kecuali Allah (SWT) dan tidak ada panduan dan pedoman kecuali dariNya.
Tauhid juga bermaksud "pembebasan dan pengembalian kehormatan manusia dari semua perhambaan atau ikatan terhadap sebarang manusia lain sebelum komitmennya kepada Allah boleh dianggap benar dan positif." Sebarang ikatan perhambaan dengan makhluq lain tidak dapat diterima. Manusia tidak perlu tunduk kepada kuasa selain Allah (SWT) kerana ia tidak berhutang kepada sesiapa pun kecuali Allah (SWT). Mughirah bin Shu’bah menjelaskan tentang Islam kepada Jeneral Rustam bahawa "Islam itu membebaskan manusia dari menta’ati manusia kepada menta’ati Allah." Rabi’ bin Amir, wakil Islam kedua kepada Rustam pula mengulangi penjelasan tentang Islam seperti berikut: "Allah telah menghala kami ke hadapan supaya kami boleh melepaskan sesiapa juga yang Allah kehendaki daripada menta’ati manusia kepada menta’atiNya dan menarik mereka daripada kesempitan dunia kepada alam yang lebih luas, dan daripada tekanan agama lain kepada keadilan Islam."
Satu lagi aspek Tauhid ialah perhubungan manusia dengan alam semesta. Alam semesta yang dijadikan untuk kegunaan manusia ini tidak patut ditakuti atau disanjungi. Cara ia menggunakan alam sesta juga harus berdasarkan kehendak Tauhid itu sendiri. Ini amat penting kerana kehendak Allah (SWT) yang telah diwahyukan itu memberikannya suatu visi masyarakat yang berakhlaq mulia, sihat, mempunyai segala keperluan dan kualiti hidup yang tinggi melalui kerjasama dengan makhluq lain. Hanya dibawah pengaruh Tauhid baru boleh manusia itu mengelakkan dari sebarang fasad di muka bumi. Sebaliknya visi ini akan merangsangkan manusia untuk berusaha bersungguh bagi menghidupkans suatu masyarakat yang benar-benar komited kepada Islam dan segala ajarannya.
Komitmen inilah yang dituntut oleh Islam supaya manusia menggunakan segala yang dikurniakan kepadanya untuk memastikan wujudnya suasana yang benar-benar harmonis, bahagia, aman dan sentosa dan bukan hidup dalam keadan sempit, tertekan, atau pun gawat.
Agak menarik sekali bila kita perhatikan bahawa menegakkan keadilan dan menjauhkan segala kesusahan itu merupakan salah satu daripada tujuan shariah. Ini dapat difahami dengan jelas dari ayat al-Quran yang bermaksud bahawa dunia ini telah dijadikan untuk kebenaran.
"Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya, melainkan dengan benar …"(
Al-Quran, Surah Al-Hijr (15:85))Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dengan bermain-main. Kami tidak menciptakan keduanya melainkan dengan kebenaran, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui."(
Al-Quran, Surah Ad-Dukhan (44: 38-39))Ayat-ayat di atas dan beberapa ayat lain dengan jelas menunjukkan bahawa penciptaan alam semesta inik adalah untuk menegakkan kebenaran. Kita juga ketahui bahawa kebenaran itu sendiri menjadi asas untuk mencapai keadilan. Tanpa kebenaran, kita akan temui dengan kebatilan (lawan kepada hak) atau kezaliman (lawan kepada keadilan). Untuk menegakkan keadilan juga kita perlukan kepada suasana yang sesuai untuknya. Untuk ini Allah (SWT) telah berfirman lagi di dalam al-Quran yang bermnaksud:
"Dia menciptakan langit dan bumi dengan (tujuan) yang benar; Dia menutupkan malam atas siang dan menutupokan siang atas malam dan menundukkan matahari dan bulan, masing-masing berjalan menurut waktu yang ditentukan. Ingatlah Dialah Yang Maha Perkasa lagi Maha Pengampun" (
Surah Al-An’am (6: 73) dan Surah An-Nahl (16:3))
Ayat di atas menjelaskan bahawa langit, bumi dan segala yang berada di antara keduanya telah dicipta mengikut kadar yang tertentu, dari segi saiz, pergerakan dan fungsi masing-masing, semata-mata untuk mewujudkan suasana paling sesuai untuk kehidupan makhluq di dalamnya.
"Dan Dia menciptakan di bumi itu gunung-gunung yang kokoh di atasnya. Dia memberkahinya dan Dia menentukan padanya kadar makanan-makanan (penghuni)nya dalam empat masa. (Penjelasan itu sebagai jawaban) bagi orang-orang yang bertanya."
(Al-Quran, Surah Fussilat (41:10)
Ayat ini pula telah menjelaskan tentang persiapan yang telah dikurniakan oleh Allah (SWT) dari segi kejadian gunung-gunung yang penuh dengan berbagai khazanah dan kekayaan untuk manusia. Allah (SWT) juga telah menyediakan rezeqi secukupnya bagi seluruh makhluqNya dengan penciptaan gunung-gunung, hujan dan lain-lain. Apabila kurniaan ini mencukupi bagi semua, sudah tentulah masing-masing tidak perlu berebut-rebut, berkelahi atau berlaku zalim antara satu sama lain bagi mendapatkan keperluan mereka. Setelah itu, barulah Allah (SWT) mencipta manusia yang dapat menguasai dunia ini. Dalam pada itu pula, Allah (SWT) telah menghantar para Rasul untuk memberi panduan dan pedoman kepada manusia supaya menta’ati Pencipta dan menegakkan keadilan tadi.
"Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al-Kitab dan neraca (keadilan). Dan Kami ciptakan besi yang padanya terdapat kekuatan yang hebat dan berbagai manfaat bagi manusia; (supaya mereka mempergunakan besi itu) dan supaya Allah mengetahui siapa yang menolong (agama)Nya dan rasul-rasulNya padahal Allah tidak dilihatnya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa."(
Al-Quran, Surah Al-Hadiid (57:25)
Setelah mencipta alam semesta ini dengan tujuan untuk menegakkan keadilan, Allah (SWT) mengutuskan para rasul lengkap dengan Al-Kitab yang mengandungi segala petunjuk dan kaedah untuk mewujudkan keadilan dan keseimbangan. Yang juga amat menarik dari ayat di atas ialah tentang penciptaan bahan-bahan galian yang hebat seperti besi, (minyak, emas, dan logham lain) untuk dimanfaati manusia dalam mengakkan keadilan ini. Oleh itu manusia sebenarnya tidak ada pilihan lain, jika ia ingin menta’ati Allah (SWT) untuk menegakkan keadilan dalam apa jua usaha hidupnya.
Ekonomi di rantau Asia Timur semenjak tiga puluh tahun lalu lebih terkenal dengan ekonomi berasaskan pertanian. Penduduknya begitu rajin mengusahakan tanah mereka untuk menghasilkan barang yang dieksport ke luar negara. Sedikit-sedikit mereka menambahkan kekayaan dengan kadar tabungan yang tinggi, pengurusan ekonomi yang sederhana baik yang menghasilkan kadar inflasi dan faedah yang rendah, belanjawan negara yang seimbang dan kadar pertumbuhan yang cukup tinggi. Kekayaan yang bertambah itu dipergunakan untuk meningkatkan pendidikan dan latihan sumber manusia bagi mengubah struktur ekonomi dari pertanian kepada perindustrian. Hampir setiap negara serantau telah menunjukkan kadar pembangunan yang amat pesat sehingga mengkagumkan kuasa-kuasa Barat.
Kemelesetan ekonomi telah berlaku beberapa kali semenjak lima puluh tahun yang lalu. Boleh dikatakan setiap sepuluh tahun berlakulah kemelesetan ekonomi. Misalnya, pada tahun 1965 kemelesetan telah berlaku semasa Malaysia dan Singapura mula menggunakan mata wang yang berasingan. Ketika itu ramai orang percaya bahawa antara sebab kemelesetan berlaku adalah kerana penggunaan mata wang yang berasingan bagi Malaysia dan Singapura.
Pada tahun 1973, sekali lagi kita mengalami kemelesetan yang agak lebih buruk sedikit dari kemelesetan pada tahun 1965. Kali ini, antara sebabnya ialah kenaikan harga minyak petrol yang disebabkan oleh negara-negara OPEC untuk mendapatkan harga yang berpatutan bagi minyak keluaran negara mereka. Tetapi, pada masa itu, negara anggota MABIMS telah dapat bertahan semata-mata kerana harga balak yang dikeluarkan oleh kesan kemelesetan ekonomi dunia ketika itu. Yang anehnya ketika itu, ekonomi negara mengalami kemelesetan walau pun dalam keadaan inflasi yang tinggi. Maka ahli-ahli ekonomi telah memperkenalkan teori dan istilah baru iaitu "stagflation" atau "stagflasi".
Pada tahun 1985 pula, sekali lagi dunia telah mengalami kemelesetan yang disebabkan oleh beberapa perkara termasuklah peperangan antara Iraq dan Iran. Ketika itu hampir seluruh dunia merasai kesan yang hebat yang belum pernah dirasai semenjak "depression" pada tahun 1929-32. Pada tahun 1985, Malaysia, Indonesia dan Singapura telah mengalami kadar pertumbuhan negatif, yang belum pernah dirasai sebelum itu. Kemelesetan pada kali ini juga lebih hebat dari kemelesetan pada tahun 1973. Walau pun demikian, oleh kerana ketahanan ekonomi negara rantau ini, kemelesetan dapat diatasi dalam masa yang singkat dan pada tahun 1986-87, ekonomi pulih semula.
Kemelesetan yang bermula pada tahun 1997 pula tidak lagi dipanggil kemelesetan tetapi kegawatan kerana nampaknya ia lebih hebat dari kemelesetan pada tahun 1985-6. Kegawatan ekonomi pada kali ini bukan sahaja lebih hebat tetapi lebih cepat berlaku sehingga tidak sempat untuk mana-mana negara pun untuk bertahan. Perkara utama yang mencetuskan kegawatan ini tidak lain dan tidak bukan ialah kerana penjualan mata wang negara Asia Timur dalam kuantiti yang terlalu banyak oleh pengurus dana gergasi antarabangsa.
Walau pun ia telah dicetuskan oleh penjualan mata wang negara Asia Timur secara besar-besaran tadi, sebenarnya ada beberapa sebab lain yang membolehkan perkara itu dilakukan.
Pertama, pembangunan negara serantau lebih banyak bergantung kepada pembangunan hartanah dan projek-projek besar yang menelan belanja yang terlalu banyak. Pembangunan hartanah merupakan salah satu cara yang mempercepatkan pertumbuhan ekonomi kerana sektor hartanah mempunyai pengaruh kepada hampir 40 peratus dari seluruh kegiatan ekonomi negara.
Sektor ini juga tidak pula membolehkan pembangunan teknologi tinggi yang amat diperlukan sebagai persediaan kepada ekonomi global dan informasi yang sedang melanda dunia. Kekurangan pembangunan teknologi tinggi di negara serantau merupakan sebab kedua yang menyebabkan kegawatan ini kerana ia dianggap menjadi tunggak atau pengukuh yang asas bagi ketahanan ekonomi.
Ketiga, oleh sebab projek pembangunan hartanah secara besar-besaran dilaksanakan pula oleh sektor swasta melalui penswastaan, sektor swasta atau koporat telah mula mendapatkan pinjaman secara besar-besaran dalam bentuk US Dollar. Di Thailand, tidak kurang dari US$40 billion telah dipinjam dari luar negara. Pinjaman luar yang dilakukan oleh sektor swasta di Malaysia dan Indonesia juga tidaklah jauh berbeza dari Thailand.
Keempat, semenjak lewat tahun 1980an, bursa-bursa saham telah mula menerima pelaburan asing langsung yang meningkatkan harga saham yang dikuti secara tamak oleh penduduk tempatan untuk mengaut keuntungan secara cepat.
Kelima, bursa saham yang membolehkan pemainnya mengaut keuntungan yang besar dengan cepat telah bersekongkol dengan bank-bank perdagangan tempatan. Pinjaman yang besar-besaran telah diberikan kepada pemain saham dengan menggunakan sijil saham sebagai cagaran untuk membeli saham yang banyak.
Keenam, walau pun belanjawan negara agak seimbang, tetapi import yang melampau khususnya oleh mereka yang berada telah melonjakkan import yang melebihi eksport. Simpanan atau rezab negara makin merosot dalam keadaan belanjawan kerajaan yang seimbang, kadar inflasi yang rendah, pengukuhan mata wang tempatan berbanding dengan US Dollar dan kadar pertumbuhan yang cukup tinggi.
Ketujuh, kelemahan mata wang negara Asia Timur sebenarnya tidak begitu disedari kerana hampir semua petunjuk ekonomi ketika itu menandakan kekukuhan belaka.
Kelapan, negara-negara Barat telah memaksa kerajaan negara Asia Timur ini untuk meliberalisasikan ekonomi masing-masing supaya wang asing dapat masuk dan keluar dengan amat mudah.
Kesembilan, globalisasi ekonomi sebenarnya telah pun bermula dengan prasarana teknologi telekomunikasi dan maklumat yang membolehkan wang dihantar ke sana ke mari dengan menekan butang sahaja.
Cetusan kegawatan telah dilakukan hanya dengan menjual mata wang negara Asia Timur dengan banyak dalam masa yang amat singkat. Kemudahan teknologi Internet telah membolehkan urusan jual beli mata wang dengan pantas dan mudah.
Kesepuluh, liberalisasi ekonomi yang dipaksa oleh negara Barat dengan terburu-buru telah menyebabkan kelemahan sistem pengurusan dan kawalan ekonomi, terutama mata wang. Negara berkenaan tidak sempit membangunkan skim "short circuit" yang boleh menahan kemasukan mata wang asing dengan tiba-tiba. Maka mudahlah mereka menyerang negara-negara ini dengan sekelip mata sahaja.
Selepas mata wang Korea Selatan, mata wang Thailand diserang sebanyak dua kali, diikuti dengan mata wang Republik Indonesia, dan selepas itu Malaysia. Kesemua negara ini mempunyai masalah yang hampir serupa iaitu, kekurangan rezab antarabangsa yang tidak mencukupi untuk mempertahankan mata wang masing-masing. Mereka hanya gagal menembusi pertahanan negara Hong Kong, yang ketika itu baru sahaja diserapkan di bawah pemerintahan China, dan Singapura yang sememang terkenal dengan rezab antarabangsa yang sangat kukuh.
Akibat serangan atas mata wang ini, nilai mata wang negara berkenaan telah turun dengan mendadak diikuti oleh harga pasaran saham-saham yang menjunam, menyebabkan kerugian yang amat besar kepada pemilik saham dan syarikat-syarikat, termasuk institusi kewangan. Kata orang, apabila air surut, maka timbullah berbagai sampah dipantai.
Beberapa buah bank dan syarikat tergadai. Ramai juga yang membunuh diri. Individu yang telah meminjam dari bank untuk membeli saham turut mengalami kerugian besar. Kadar faedah melonjak naik, nilai mata wang menjadi terlalu rendah, ramai pula pekerja dibuang oleh syarikat yang tidak mampu lagi menjalankan sebarang kegiatan. Buat seketika, kegawatan ini dirasai oleh rakyat kerana ketiadaan wang dan kenikan harga yang melonjak, kadang-kadang tidak tentu fasal.
Sehingga hari ini, keyakinan kepada ekonomi negara belum pulih seperti dahulu terutama jika dilihat dari segi kegiatan di bursa saham yang amat lemah.
Sekiranya kita tinjau dari apa yang telah diterakan di atas, beberapa perkara dapat kita pelajari dari pengalaman selama hampir empat puluh tahun lalu.
Pertama, kemelesetan ekonomi nampaknya telah berlaku setiap dekad, dari 1930 sehingga sekarang. Tiap-tiap satu dari kemelesetan itu makin hebat dari yang sebelumnya. Boleh dikatakan bahawa kegawatan pada kali terakhir ini adalah paling hebat semenjak kegawatan yang telah berlaku pada tahun 1930an.
Kedua, hampir setiap kemelesetan itu berlaku kerana masalah yang tidak serupa. Ia juga berlaku dengan cara dan kesan yang berbeza. Walau pun demikian, sebab utama boleh berlaku kemelesetan apabila kita cuba menahan arus dan gelombang ekonomi yang sentiasa berubah ini.
Ketiga kelemahan ekonomi sesebuah negara itu tidak lagi disebabkan oleh faktor yang banyak. Misalnya, kegawatan ekonomi 1997-99 adalah disebabkan oleh kekurangan rezab antarabangsa untuk menyokong mata wang negara. Semua perkara yang telah disebutkan disebutkan menyumbang kepada kelemahan yang sama. Kita tidak begitu peka dengan masalah ini kerana semua petunjuk ekonomi yang lain seperti kadar faedah dan inflasi yang rendah, kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi, gunatenaga hampir penuh, pembangnan hartanah yang pesat, tidak langsung menunjukkan yang ekonomi negara kita itu lemah. Walau pun kelemahan itu boleh dikatakan satu sahaja, rupa-rupanya kita diserang di tempat yang lemah itu sehingga melumpuhkan kita.
Keempat, kita tidak boleh lagi membiarkan mana-mana aspek ekonomi kita lemah, kerana kita tidak tahu dari manakah serangan itu akan dilakukan. Kita terpaksa berwaspada dan membangunkan dinding yang cukup kuat bagi mempertahankan ekonomi kita.
Ekonomi Islam berasaskan Tauhid kepada Allah (SWT) yang memerlukan penterjemahan konsep tersebut dalam mengamalkan segala kegiatan ekonomi. Tauhid menganjurkan kita menta’ati Allah (SWT) dengan melakukan segala yang ma’aruf dan meninggalkan segala yang mungkar dalam segala aspek hidup. Tauhid juga memaksa kita memakmurkan bumi ini untuk manusia hidup bahagia dan selesa, jauh dari merbahaya kemiskinan, kemelaratan yang dipagari oleh keamanan dan keharmonian. Tujuan ini adalah selaras dengan maqasid syariah yang bertujuan untuk mendorongkan manusia berusaha ke arah kebahagiaan manusia dan menghindarkannya dari segala merbahaya dan kesusahan atau fasad.
Dalam mencapai kepada kemakmuran, keseimbangan dalam pengagihan kekayaan dan harta antara manusia amat perlu sekali. Keseimbangan dan keseksamaan ini hanya boleh dicapai melalu keadilan yang luhur dan suci. Maka selain dari Tauhid, al-‘adl atau keadilan itu adalah menjadi prinsip penting yang harus diamalkan dalam sesebuah ekonomi negara. Keseimbangan ini bukan sahaja terhad kepada soal pengagihan harta dan kekayaan. Ia juga penting dicapai dalam soal keseimbangan antara daya permintaan dan penawaran untuk menghasilkan harga yang adil, mengelakkan inflasi atau harga yang terlalu rendah sehingga menyebabkan kerugian kepada penjual. Keseimbangan juga perlu dicapai antara tabungan dan pelaburan supaya tidak wujud lompang yang terlalu besar antara keduanya, yang boleh menyebabkan hutang yang terlalu besar atau jumlah pelaburan yang terlalu kecil. Keseimbangan juga perlu wujud antara kuantiti penawaran dan permintaan wang dan modal di pasaran wang dan modal bagi mencapai kesetabilan nilai mata wang. Begitu juga dengan keseimbangan antara kuantiti yang dieksport dan diimport bagi memperkukuhkan rezab antarabangsa dan menggalakkan pengeluaran dan teknologi dalam negara.
Sebagai khalifah yang memegang amanah Allah (SWT) atas segala kurniaanNya di muka bumi ini, manusia seharusnya memainkan peranan yang berbeza dari apa yang telah dilakukan oleh mereka yang menolak Tauhid tadi. Medan kita sebagai penganut Islam mempunyai batas-batas tertentu mengikut apa yang ditentukan sebagai haram dan halal atau haram, makruh (tahrimi & tanzihi), harus, sunnat dan wajib. Ketentuan ini amat perlu digunakan dalam membuat keputusan atau pilihan kegiatan ekonomi. Sebenarnya segala yang diharamkan pasti akan membawa keburukkan kepada kita dan yang harus atau halal itu pasti akan membawa kebarkatan kepada kita. Dengan itu, jika kita elakkan dari yang haram, ia bukan bermakna kita telah mengurangkan pilihan kita, bahkan sebaliknya, kita akan menmabahkan kebaikan kepada diri kita.
Satu lagi aspek ajaran Islam yang harus diamalkan ialah akhlaq yang luhur dan terpuji. Misalnya, kesederhanaan, kerjasama, tolong-menolong, berebut-rebut kepada berbuat baik dan menjauhi yang tidak baik, mengamalkan sifat mahmudah dan mengelakkan dari sifat-sifat mazmumah, adalah amat penting dalam memperbaiki lagi kegiatan ekonomi kita.
Berdasarkan kepada tinjauan tentang sebab-sebab boleh berlakunya kegawatan ekonomi 1997-99 misalnya, kita boleh senaraikan beberapa sumbangan yang boleh diberi oleh ajaran Islam dalam mengamalkan ekonomi negara.
Kita dapati melalui sejarah ekonomi dunia, kemelesetan dan kegawatan ekonomi telah berlaku setiap dekad iaitu dari 1929-30 hinggalah 1997-99. Selih epas dari depression pada 1929-30 itu, setiap kemelesetan itu lebih hebat dari yang sebelumnya. Kemelesetan yang terakhir adalah paling hebat sekali iatu selepas kira-kira tujuh puluh tahun. Ini adalah selaras dengan ajaran al-Quran di dalam Surah Yusuf tentang mimpi Raja Mesir yang melihat tujuh ekor lembu kurus memakan tujuh ekor lembu gemuk dan ditakwilkan oleh Nabi Allah Yusuf (AS) sebagai kitaran ekonomi yang pasti berlaku setiap tujuh tahun. Oleh kerana kecekapan pengurusan ekonomi, kitaran ini telah dapat dikawal sedikit sehingga menyebabkan tempoh berlakunya kemelesetan ini meningkat kepada sepuluh tahun lebih kurang. Tetapi yang juga pasti bahawa setiap sepuluh kitaran tujuh tahun atau setiap sepuluh tahun, kemelesetan agak amat hebat dan menggemparkan sekali. Malangnya, ajaran ini tidak begitu dihiraukan sehingga kita meneruskan segala perancangan raksaksa tanpa mengihiraukan sesuatu kepastian mengikut ajaran al-Quran dan juga mengikut fakta sejarah. Kita seharusnya yakin dengan hal ini dan berwaspada supaya kemelesetan itu tidaklah memberi kesan yang sangat besar kepada kita.
Antara yang dilarang dan perlu diusahakan untuk dihapuskan ialah riba. Usaha ke arah ini agak sudah meluas dilakukan dengan penubuhan institusi kewangan Islam seperti bank, syarikat kewangan, takaful, amanah saham (reksa dana), dll. Usaha ini pada peringkat awalnya hanya merupakan kemudahan pembiayaan alternatif bagi ummat Islam. Tetapi, kebelakangan ini, khususnya pada masa kegawatan, kita dapati bahawa institusi kewangan mempunyai kelebihan kerana kadar bayaran yang tetap bagi mereka yang menggunakan pembiayaan secara Islam.
Kelebihan kedua ialah dalam bentuk pengagihan risiko secara bersama antara kedua-dua pihak iaitu pihak institusi kewangan dengan pihak pengguna. Kelebihan ini lebih dirasai jika pembiayaan itu menggunakan kaedah mudharabah. Beberapa institusi kewangan yang saya temui menyatakan bahawa hampir 70% dari pelanggannya adalah terdiri dari orang-orang bukan Islam yang faham tentang kelebihan pembiayaan secara Islam ini.
Kelebihan ketiga ialah dari segi akhlaq Islam yang mengamalkan kesederhanaan dalam menggunakan pembiayaan mengikut kemampuan masing-masing. Jika amalan ini dilaksanakan sudah tentu dapat mengurangkan kesan kemelesetan atau kegawatan ekonomi. Misalnya pinjaman berasaskan riba diberi kepada individu dan organisasi tanpa cagaran yang kukuh. Bukan sahaja ini memudahkan pinjaman secara besar-besaran, tetapi merugikan pihak bank yang terpaksa menundakan pembayaran. Pinjaman yang diberi digunakan untuk pembelian saham yang tidak tentu harga pasarannya dan akhirnya memberi kesan yang sangat negatif kepada bank dan pelanggannya.
Zakat sebenarnya merupakan suatu instrumen pengagihan kekayaan dan penyelesaian kepada kemiskinan dan kefaqiran yang harus dilaksanakan secara sepenuhnya. Selain dari ibadat, ia juga memerlukan pihak yang kaya memberi kepada yang memerlukan. Oleh itu, sepatutnyalah ia disatukan atau diselaraskan dengan sistem fiskal negara atau sistem percukaian dan pembiayaan negara. Peranan zakat kelak boleh dikembangkan untuk pembangunan khususnya jika digunakan untuk keperluan pendidikan asas di bawah asnaf fi sabilillah.
Pembangunan menurut kacamata Islam seharusnya dilakukan secara berperingkat-peringkat dan tidak secara besar-besaran tanpa menghiraukan kemampuan ekonomi menanggungnya. Jika dilihat dari apa yang banyak dilakukan, pembangunan prasarana pun dilakukan oleh pihak swasta dengan tujuan yang lebih mirip kepada keuntungan dan bukan untuk pembangunan. Usaha ke arah ini dilakukan secara besar-besaran dengan kadar yang cepat, memerlukan pinjaman yang terlalu besar sehingga tidak mampu membendungnya ketika gawat. Pembangunan menurut Islam juga memberi penekanan kepada keperluan asasi terlebih dahulu, keperluan pihak yang susah terlebih dahulu, pengeluaran barang keperluan (Hajiat) terlebih dahulu sebelum pengeluaran barang-barang mewah atau (Tahsiniat).
Menurut pendapat pemikir Islam, terdapat tiga sektor ekonomi yang terpenting iaitu sektor pemerintah, sektor swasta dan sektor sukarela. Antara tiga sektor ini, sektor sukarela agak kurang mendapat tempat atau disalahgunakan oleh pelopornya. Kerap kali sektor ini ditubuhkan bukan semata-mata untuk membantu masyarakat, tetapi ia juga menjadi pihak yang sentiasa mencari salah atau membangkang pihak kerajaan. Sedangkan dalam sejarah Islam, sektor ini terutama berdasarkan konsep waqaf telah memberi terlalu banyak faedah kepada masyarakat di dunia Islam sendiri. Mereka yang mempunyai kekayaan telah menggunakan kekayaan mereka sama ada untuk diwakafkan bagi faedah masyarakat, atau pun menubuhkan organisasi sukarela seperti yayasan untuk mengatasi masalah tertentu yang berlaku dalam masyarakat. Antara kegiatan yang telah dilakukan pada masa lampau ialah dalam bidang pendidikan, pemeliharaan anak-anak yatim, pembinaan masjid dan surau, dan sebagainya.
Sebenarnya, pengurusan ekonomi secara Islam tidaklah seharusnya dari kacamata yang sempit, tetapi harus dilihat secara terbuka. Kita harus melihat kepada prinsip yang ditentukan oleh Islam dan menggunakannya sepenuhnya untuk mewujudkan sistem ekonomi dengan penyesuaian kepada perubahan yang berlaku di zaman ini.
Pada masa akan datang, kita akan terpaksa melihat dan menggunakan teknologi terkini untuk mengelakkan dari disisih kerana kemiskinan. Sekiranya kita tidak berusaha ke arah pendidikan teknologi canggih, era informasi yang akan kita hadapi tidak akan menyebelahi kita. Kita harus juga memberi penekanan kepada aspek pendidikan canggih ini supaya kita tidak ketinggalan.
Kurangnya keyakinan orang-orang bukan Islam terhadap Islam kini, bukan kerana Islam itu lemah tetapi kerana ummat Islam itu rata-rata miskin, lemah dan berpecah pula. Pada masa yang lampau, orang-orang Barat telah menggunakan segala bidang ilmu yang dipelopori oleh ummat Islam untuk membangunkan diri dan tamadun mereka dan sanggup mempelajari bahasa Arab semata-mata kerana tamadun dan pembangunan negara Islam ketika itu mengkagumkan. Kini nampaknya, seolah-olah kita sendiri yang kurang yakin dengan kemampuan Islam itu sendiri, walau pun kita yakin dengan kebenarannya.
Wallahu a’lam
Kertas kerja pembentangan di Mesyuarat SOM-MABIMS yang dilangsungkan di Yogyakarta, Republik Indonesia pada 28 Oktober hingga 1 November 2000