KUALA LUMPUR: UNITAR memahat sejarahnya lagi. Pada 18 Ogos
2001 lalu, di Hotel Istana, Jalan Raja Chulan berlansungnya konvokesyen
sulung UNITAR di mana 28 graduan
menerima ijazah sarjana masing-masing dalam bidang pentadbiran perniagaan,
teknologi maklumat dan multimedia serta pengurusan teknologi maklumat.
Pada konvokosyen itu, Tun Hajah Rahah Mohd Noah, balu
Perdana Menteri kedua Allahyarham Tun Abdul Razak, diisytihar Canselor pertama
Universiti Tun Abdul Razak (Unitar).
Upacara pengisytiharan itu dilakukan oleh Presiden dan
Ketua Pegawai Eksekutif Unitar Datuk Dr Syed Othman Alhabshi.
Dalam ucapannya, beliau berkata pelantikan itu membawa
amanah besar dalam merealisasikan impian suaminya.
Rahah dilahirkan di Muar, Johor pada 11 Jun, 1933 adalah
anak bongsu daripada 10 beradik terdiri tujuh perempuan dan tiga lelaki.
Ketika berusia 19 tahun dan selepas saja meninggalkan
Sekolah Convent of the Holy Infant Jesus, Melaka, beliau berkahwin dengan Abduk
Razak (ketika itu bergelar Datuk) pada 4 September 1952. Abdul Razak ketika itu
berusia 30 tahun dan bertugas sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang.
Antara anak beliau ialah Datuk Seri Najib (Menteri
Pertahanan), Ahmad Johari, Mohamed Nizam, Mohamed Nazim dan Mohamed Nazir.
Unitar adalah sebuah universiti maya yang ditubuhkan pada
1997 dan dimiliki sepenuhnya oleh KUB Malaysia Berhad. Ia kini menawarkan 12
program akademik dalam bidang teknologi maklumat, pentadbiran perniagaan dan
kemanusiaan serta sains sosial.
Universiti itu kini mempunyai 7,000 pelajar yang
ditempatkan di 10 pusat pengajian di seluruh negara.
Sementara itu, Dr Syed Othman menggesa pelajar merebut
peluang menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi menggunakan keadah
pembelajaran terbaru termasuk berkonsep maya sesuai dengan keperluan serta
cabaran ekonomi berasaskan maklumat (e-ekonomi).
Beliau berkata, keseluruhan sistem yang ada kini memerlukan
universiti mentakrif semula serta menstruktur semula kurikulum dan
kokurikulumnya selaras dengan pembangunan pemikiran semasa.
“Organisasi pada masa hadapan akan menjalankan usaha yang
dianggap paling penting baginya, sedangkan perkhidmatan lain akan diperoleh
daripada organisasi lain.
“Oleh itu pelajar untuk masa hadapan perlu
didedahkan kepada cabaran keusahawanan cara baru sebelum mereka tamat mengikuti
pelajaran di universiti,” katanya.