Graduan: Antara Kerjaya Dan Amal Islami
Perancangan merupakan tuntutan Islam yang sangat
dititik beratkan oleh Baginda SAW dan generasi Islam yang awal. Setiap kerja yang
dibuat mestilah berperancangan sejajar dengan seruan Al-Quran :
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang
berjihad di jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka itu suatu
bangunan yang tersusun kukuh” (As-Saff 61 : 4)
Perancangan terbahagi kepada dua iaitu:
Pemilihan tajuk ini di dalam sesi liqa’ graduan,
merupakan suatu tentatif yang tepat bagi mengumpulkan buah fikiran peserta (brainstorming),
menyusun dan mengurus kelangsungan penglibatan kita semua sebagai siswazah
matang di dalam amal Islami yang akan berpindah ke alam baru yang serba
mencabar (alam pekerjaan).
Graduan selaku belia terpilih, merupakan aset
penting di dalam sebuah masyarakat. Mereka mengalami beberapa siri perubahan
peranan dengan berubahnya situasi semasa sekitar. Malaysia telah memperlihatkan
bagaimana golongan siswazah dan seterusnya graduan, di tahun-tahun 70an,
bertindak sebagai agen yang memperkenalkan idea-idea pembangunan dan perubahan
minda masyarakat. Mereka juga berperanan menjadi golongan pendesak yang
bersuara menangani masalah-masalah sosial seperti kemiskinan, ketidak
seimbangan taraf ekonomi dan sebagainya.
Walau bagaimana pun selepas era kebangkitan Islam,
graduan kelihatan bergerak mengembangkan peranan mereka kepada tanggungjawab
yang lebih besar dan penting. Mereka selaku kelompok ‘pengkaji’ dan
‘penghasil’, kelihatan berupaya untuk menunaikan tanggungjawab islah
dan tajdid ad-dien di dalam masyarakat. Kesedaran Islam yang berkembang
pesat di negara kita, banyak disokong dan didokong oleh golongan siswazah dan
seterusnya graduan, di bawah bimbingan tokoh-tokoh masyarakat dari kalangan
ulamak dan cerdik pandai.
Manakala di dalam konteks yang lebih umum,
kelompok ini adalah juzuk masyarakat yang sangat berperanan di dalam menuntut
perubahan. Sama ada di dalam masyarakat bukan Islam seperti di China, Korea dan
negara-negara Eropah Timur, mahu pun masyarakat umat Islam seperti Indonesia,
Turki dan negara-negara Arab Afrika Utara, golongan siswazah sentiasa
berperanan besar mencetuskan desakan perubahan terutamanya di hadapan pihak
berkuasa yang memerintah dengan sistem-sistem zalim yang menekan rakyat.
Graduan adalah kelompok pengkaji, penghasil idea baru,
pendesak dan seterusnya elemen yang menyampaikan mesej-mesej itu kepada
masyarakat dan pemerintah. Dalam erti kata yang lain, mereka adalah nadi
masyarakat.
Matlamat adalah destinasi hidup. Ia ditentukan
oleh kepercayaan yang dipegang oleh seseorang. Seorang siswazah yang berfahaman
sosialis, jika beliau mahu berpatisipasi di dalam kelompok sosialnya, akan
melihat segala kepincangan yang berlaku dari kaca mata sosialisma. Manakala
siswazah yang menganut demokrasi, akan mencari jalan penyelesaian kepada
kegawatan masyarakatnya dari sudut prinsip demokrasi yang dipercayainya sebagai
jalan keluar.
Bagi graduan muslim,
alam siswazah semestinya
sudah cukup untuk menjelaskan kepada kita tentang matlamat yang seharusnya
menjadi destinasi perjuangan. Segulung ijazah yang terhasil adalah bekalan
untuk mengejar matlamat yang semestinya bukan direka cipta sendiri atau oleh
sesiapa, melainkan telah ditetapkan oleh Allah SWT di dalam suatu sistem yang
bernama ‘Ad-Din’.
Firman Allah SWT:
“Adalah tidak wajar umat Islam itu keluar semua
sekali ke medan peperangan. Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di
antara mereka beberapa orang yang memperdalam pengetahuan mereka tentang agama,
supaya dengan itu mereka akan memberikan peringatan kepada kaumnya apabila
mereka telah kembali kepadanya, supaya kaum mereka itu beringat-ingat (dapat
menjaga diri)” (At-Taubah 9 : 122)
Intisari ayat ini:
Oleh yang demikian, jelas kepada kita apakah
sebenarnya peranan, matlamat dan ‘kerjaya’ yang menanti graduan seperti kita.
Sebagai peringatan, ‘kerjaya’ lulusan tafaqquh
fi ad-dien bukanlah sebagaimana kerjaya menurut takrifan umum. Ia bukan
bidang yang dipilih, bergaji, mempunyai cuti tahunan dan cuti sakit. Ia adalah
amanah Allah, tanggungjawab Kalimah Syahadah yang tersimpul di dalam satu
kalimah yang mudah – ibadah!
Bahan fikir yang sentiasa merunsingkan seorang
graduan ialah tentang pekerjaan. Keberhasilan sebuah pekerjaan yang baik adalah
sama penting dengan kejayaan mendirikan rumah tangga. Dua topik ini merupakan
capaian terdekat yang biasa diusahakan oleh seorang graduan. Bagi menentu dan
menyesuaikan pekerjaan (kerjaya) dengan amal Islami, apakah faktor yang mesti
dipertimbangkan?
Oleh yang demikian, seorang graduan lulusan agama
sebenarnya bebas untuk menentukan apakah kerjaya yang ingin diceburi sebagai
wasilah sumber pendapatan hidup sebagaimana warganegara yang lain. Akan tetapi
ia mestilah tidak bercanggah atau mengabaikan matlamat besar 9:122 (At-Taubah 9
: 122) dan seterusnya memelihara faktor-faktor pertimbangan yang telah
dihuraikan di atas.
Graduan Tafaqquh fi Ad-Dien
dan Bidang Perniagaan
“9/10 rezeki adalah dari hasil perniagaan” sering
menjadi hadith sandaran kepada graduan yang berkeputusan untuk menceburi bidang
perniagaan sama ada selepas menamatkan pengajian atau semenjak di alam
siswazah. Dari beberapa aspek, kemahiran berniaga yang ada pada sesetengah
siswazah merupakan satu skil yang positif, wajar diberikan sokongan dan
diperkembangkan agar mencecah marhalah profesional.
Akan tetapi, pemerhatian yang dibuat
memperlihatkan suatu kenyataan; siswazah dan seterusnya graduan yang aktif di
bidang perniagaan kebanyakannya gagal mengimbangkan aktiviti perniagaan dengan
amal Islam yang tidak lucut kewajipannya dengan apa alasan sekali pun. Ia
merupakan suatu fenomena yang mendukacitakan. Bagi yang menjurus terus ke
bidang perniagaan, mereka menjadi terlalu sibuk dan ‘hilang skil’ berdakwah.
Manakala yang terus berdakwah pula, terpaksa membahagikan tugas bercakap soal
agama dengan sesi menerangkan produk yang dijual. Bahkan ada pula yang
mempamerkan barang jualan di belakang masjid dan kemudian mengumumkannya
sebelum menutup ‘majlis membaca kitab’!
Tegasnya, siswazah dan graduan yang aktif di
bidang perniagaan mesti mengambil serius tentang hal ini. Mereka
bertanggungjawab menyusun dan mengatur agar amal Islam terus berada di priority
teratas.
Firman Allah SWT:
“Dan Kami pasti akan menguji
kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan serta kekurangan harta serta jiwa dan hasil
tanaman. Lantas berikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
(Al-Baraqah 2 : 155)
FirmanNya lagi :
“Dan seandainya matlamat
(kamu) itu dekat dan perjalanan (yang mesti ditempuh) itu pendek, nescaya
mereka akan mengikut kamu. Akan tetapi ia menjadi sesuatu yang jauh bagi mereka
disebabkan oleh kepayahan (yang ada)”. (At-Taubah 9 : 42)
Tribulasi adalah seiringan dengan perjuangan. Amal
Islami adalah tanggungjawab yang Allah SWT taklifkan kepada kita sebagai
pewaris Anbiya’. Oleh yang demikian, persediaan fizikal dan mental adalah suatu
kemestian. Walaupun bentuk tribulasi itu mungkin berbeza dari satu zaman ke
satu zaman yang lain, ia tetap memerlukan bekalan yang sama iaitu iman, sabar
dan istiqamah. Bentuk cabaran yang mungkin perlu diberikan perhatian oleh para
graduan adalah:
Takut adalah fitrah yang Allah tanamkan di dalam
jiwa setiap insan untuk kebaikannya. Takut binasa menjadikan manusia berusaha
mengelak dari mendedahkan diri kepada bahaya. Namun, ketakutan itu jika tidak
disalurkan ke jalan yang benar akan menjurus dari kebinasaan kecil kepada
kebinasaan yang lebih besar. Takut itu terbahagi kepada dua:
Seorang graduan yang meneruskan amal Islami akan
berhadapan dengan ujian ketakutan. Ia mungkin datang dalam bentuk ugutan pihak
berkuasa dengan akta-akta masyhur yang merbahaya. Ia juga mungkin datang dari
keluarga yang menghalang, masyarakat sekeliling yang tidak menyokong dan
sebagainya. Ketakutan ini adalah ketakutan yang diakui oleh Allah SWT di dalam
Al-Quran, surah Al-Baraqah ayat
155. Jalan keluarnya adalah sabar.
Ia adalah ketakutan bayang-bayang yang datang dari
diri graduan itu sendiri. Ia menyangka penglibatannya yang tidak seberapa sudah
mengundang bahaya. Tegahan disangka ugutan, bantahan disangka ancaman. Lantas
akal membayangkan pelbagai kemungkinan yang akhirnya mematahkan perjuangan.
Takut ini muncul dari iman yang lemah, tawakal yang palsu bahkan sifat nifaq
yang mengotori kepercayaan. Akibat takut seperti ini, cacing mungkin disangka
ular! Ia boleh diatasi dengan membersihkan diri dari sifat-sifat mazmumah itu
tadi dan seterusnya mengukuhkan keikhlasan di dalam perjuangan.
Sabda Nabi SAW:
“Barangsiapa yang berjihad untuk
meninggikan kalimah Allah, maka dia itu fi sabilillah”
Sifat bersederhana dalam hidup adalah kunci yang
membentengi cabaran ini. Ia mesti diterapkan bukan sahaja di dalam diri graduan
itu sendiri malah kepada pasangan dan anak-anak yang ditanggung. Kelaparan itu
mungkin datang akibat ujian yang berikutnya iaitu kekurangan harta dan
kesempitan hidup.
Sejarah salafus soleh memperlihatkan bagaimana
ilmu agama tidak pernah berfungsi mendatangkan kekayaan kepada para duat
(pendakwah), ilmuan dan pejuang. Sifat qanaah adalah bekalan utama yang
membentengi diri dari cabaran ini. Kekurangan harta mungkin berpunca dari
pendapatan yang rendah, dipotong gaji dan infaq perjuangan yang berterusan.
Kesemua ini adalah cabaran kepada jihad harta yang menuntut sabar dan iman yang
benar kepada Allah Ar-Razzaq. Firman Allah SWT:
“Mereka itulah (golongan
munafiq) yang berkata : janganlah kamu memberikan nafkah kepada mereka yang
bersama dengan Rasulullah, supaya (dengan cara itu) mereka akan berpecah belah.
Sedangkan bagi Allah itulah segala khazanah langit dan bumi. Hanya orang-orang
munafiq itu sahaja yang tidak memahami” (Al-Munafiqun 63 : 7)
Kecacatan pengetahuan di kalangan graduan yang mendukung
amal Islami menjadi cabaran besar yang bakal dihadapi olehnya. Jika kecacatan
itu ketara, ia akan menghilangkan kepercayaan masyarakat kepada graduan
berkenaan. Hilang kepercayaan adalah sama dengan kehilangan wujud! Graduan akan
diketepikan dan tersingkir akibat kesalahan diri. Oleh yang demikian, graduan
semasa di alam siswazah sudah sepatutnya selesai melengkapkan diri dengan tsaqafah
sebagaimana yang dituntut. Cadangan para ulama’ seperti Al-Marhum Said Hawwa di
dalam kitabnya Jundullah Tsaqafatan wa Akhlaqan dan Syeikh Yusuf
Al-Qardhawi di dalam kitabnya Tsaqafah Ad-Da’ieyah sewajarnya diberikan
penumpuan sedari awal pengajian.
Suasana Persekitaran
Siswazah yang duduk di alam pengajian mungkin berpeluang untuk membentuk sendiri kehidupan supaya suasana persekitaran menggalakkan diri ke arah komitmen yang padu di dalam amal Islami. Akan tetapi apabila bergelar graduan dan kembali ke pangkuan masyarakat, berkemungkinan suasana yang menanti adalah kontra atau sekurang-kurangnya melesukan. Ia mungkin datang dari masyarakat bahkan mungkin dari suami atau isteri serta anak-anak dan keluarga. Cabaran ini boleh diselesaikan dengan beramal Islami secara jamaie, dan terus saling menghubungi di antara satu sama lain.
Cabaran-cabaran Lain
Terdapat banyak lagi cabaran yang menanti graduan yang terus berpatisipasi di dalam amal Islami. Ia mungkin muncul dari jalan dan bentuk yang tidak disangka-sangka. Alam pekerjaan, perkahwinan dan mungkin semi-pengangguran adalah suasana-suasana baru yang mudah disebut tetapi sukar untuk ditempuh kecuali dengan kelengkapan diri yang mencukupi. Bahkan cabaran yang lebih tinggi adalah kematian. Namun, kita semua menuju kematian, maka anggaplah ia hanya sebagai kemestian yang bakal dihadapi oleh setiap yang hidup. Bezanya, kita menjadikan kematian yang satu itu di jalan Allah. Oleh itu, perlulah kepada para graduan sebelum kembali ke tanah air supaya bersedia dengan tiga kesimpulan cabaran iaitu:
Selepas menamatkan pengajian, graduan mestilah
bertindak kemas dan tegas di dalam menyusun kerjaya dan amal Islami.
Semoga Allah SWT memelihara kita di dalam perjuangan
ini dan seterusnya menetapkan kaki di atas jalan yang dipilih ini. Sesungguhnya
soal istiqamah yang penurunan ayatnya telah memutihkan rambut Baginda SAW
adalah soal besar yang berhajatkan muhasabah dan doa yang berterusan. Wallahu
A’lam bi As-Sawab. Wassalamualaikum WBT.
Hasrizal Abdul Jamil