Kelana Jaya Jun 21. Seramai 89 orang mahasiswa / mahasiswi UNITAR telah berjaya menamatkan kursus Bina Negara anjuran Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri di Jugra Banting Selangor yang diadakan pada 15 Mei hingga 19 Mei 2001 yang baru lalu.
Mereka adalah kebanyakannya terdiri daripada penuntut Tahun 2 dan 3 dari Fakulti Teknologi Maklumat dan Pengajian Perniagaan manakala yang selebihnya adalah terdiri dari penuntut Tahun 1. Kursus tersebut diadakan di Akademi Latihan dan Motivasi (ALIM) bertempat di Jugra, Banting, kira-kira 200 km dari kampus Kelana Jaya.
Kami bertolak pada jam 10.00 pagi dari kampus dan tiba di Jugra lebih kurang jam 1.30 petang. Kami disambut oleh beberapa pegawai BTN dan jurulatihnya. Setelah bersolat zohor, kami ditempatkan di asrama yang disediakan khas untuk para peserta kursus.
Acara bermula setelah solat Isya' dimana kami semua diarahkan masuk ke dalam dewan dan kami dipecahkan kedalam 8 kumpulan. Di sini juga kami memilih Penghulu dan jawatankuasa kursus kami.
Esoknya, setelah kuliah subuh, kami telah dibawa bersenam oleh seorang jurulatih yang bernama Pak Jantan. Dan setelah sarapan pagi kami ke Dewan untuk mendengar ceramah-ceramah kenegaraan sehingga ke petang. Ramailah juga yang terlalu "khusyu'" mendengar ceramah sehingga meleleh-leleh air liur ke lantai.....
Sebelah malamnya setiap kumpulan diarahkan untuk mencipta logo, bendera dan lagu kumpulan masing-masing dan keesokannya kami mula diajar untuk berkawad kaki. Pelbagai aksi lucu berlaku, almaklum, acara kawad kaki dikendalikan oleh Pak Aziz yang pandai berjenaka, jadi taklah terasa sangat kepenatannya. Pada hari ketiga dan keempat di mana kami diarahkan untuk berlari setiap petang sejauh kira-kira 3 kilometre...Tegang segala urat kami dan badan dan setiap dari kami mula bermandi peluh.
Acara pertandingan kumpulan dimulakan dengan acara perbahasan dan kemudian diikuti dengan sayembara-sayembara lain yang banyak menguji kesabaran dan ketajaman akal fikiran kami. Bukan kerana soalannya susah tetapi sistem permarkahan yang sengaja disenget sebelahkan supaya beberapa kumpulan kami memberontak...
Suasana menjadi hampir tegang sehinggalah pada sebelah malamnya di mana kami berjaya menyatukan semula kumpulan-kupulan kecil untul membentuk satu barisan UNITAR yang gagah perkasa diketuai oleh Penghulu kami dengan ucapan pembacaan ikrar..... SUMPAH MAHASISWA UNITAR!
Dan pada pagi hari terakhir kursus, acara KEMBARA bermula, kami terpaksa mendaki bukit yang tinggi yang penuh cabaran...alhamdulillah tiada sebarang musibah dan masalah yang menimpa.... semuanya baik lelaki dan perempuan pelbagai bangsa bekerja sama tolong-menolong di antara satu sama lain bagi mempastikan kami semua sampai ke matlamat yang dicitakan...
Kami bertolak pulang jam 3.00 petang hari Sabtu dan Jugra menjadi satu kenangan abadi di dalam hidup seorang mahasiswa!