Istiqomah Dalam Mujahadah
KIRIMAN
: ANIS
e-mail: nur_dini@ArabChat.Org
Ramai yang tahu dam mahu melakukan kebaikan. Sayangnya,
selalu gagal untuk melaksanakannya. Ramai yang tidak mahu melakukan kejahatan
tapi sering terdorong melakukannya. Mengapa?
Kita seolah-olah hilang kuasa untuk mengawal diri kita
sendiri. Semacam ada kuasa yang lebih kuat dalam membentuk dan mengendalikan
diri kita ini. Ya, kita sebenarnya sentiasa diburu malah dibelenggu oleh 2
musuh yang sentiasa mendorong ke arah kejahatan. Musuh itu ialah syaitan dan
hawa nafsu. Bagaimana kita hendak mengalahkan 2 musuh ini demi mengembalikan
pimpinan diri kepada diri sendiri?
Samalah dengan berdepan dengan musuh yang zahir, tidak ada jalan lain melainkan
‘berperang’ dengannya. Cuma berperang dengan musuh batin berbeza dengan musuh
zahir, justeru musuh zahir dapat dilihat dan tipu dayanya dapat dinilai dengan
akal dan mata.
Tegasnya, musuh zahir agak lebih mudah didekati daripada
musuh batin. Perang melawan musuh batin khususnya hawa nafsu dan syaitan ini
dinamakan mujahadah. Ia adalah peperangan yang jauh lebih hebat dari peperangan
zahir. Mengapa dikatakan demikian?
Ini kerana medan peperangan kedua-dua musuh ini berlaku
dalam diri kita. Serangan, tikaman dan ledakannya berlaku dalam diri kita.
Walaupun tidak kedengaran dentumannya tetapi bisanya lebih berkesan. Justeru,
ramai manusia yang mampu mengalahkan musuh zahir tetapi gagal mengalahkan hawa
nafsunya sendiri.
Rasulullah S.A.W pernah bersabda yang maksudnya, mereka yang
gagah bukanlah mereka yang dapat mengalahkan musuh zahirnya, tetapi adalah
mereka yang dapat mengawal kemarahannya.Namun bukan mudah mengawal kemarahan
justeru kemarahan adalah sifat buruk yang didalangi syaitan.
Syaitan adalah makhluk yang paling derhaka dan paling banyak
menipu daya manusia. Bahkan sangat sedikit manusia yang berjaya mengatasi tipu
dayanya. Dalam Al-Quran Allah menjamin orang yang tidak dapat ditipu daya oleh
syaitan ialah mereka yang ikhlas.
Begitu juga dengan hawa nafsu, bukan mudah hendak dilawan
kehendak dan hasutannya. Ini kerana nafsu itu adalah sebahagian daripada diri
kita sendiri.
Bermujahadah melawan nafsu bererti berperang dengan diri
kita sendiri. Apa yang di sukai oleh hawa nafsu akan disukai oleh diri kita
sendiri. Hanya dengan ilmu yang tepat sahaja kita dapat menilai apakah kehendak
itu baik atau jahat. Namun setakat tahu buruk atau baiknya belum cukup untuk
kita mampu melaksanakan atau meninggalkan. Kita perlu bermujahadah dan terus
bermujahadah. Ramai manusia yang tahu tapi tidak mahu.
Dan ramai juga manusia yang mahu tapi tidak mampu.Syaitan
tidak pernah tidur. Begitu juga nafsu, musuh yang tidak pernah tahu erti lesu.
Sedikit sahaja kita terleka, pasti kita di tipu dan dihasutnya.
Bukankah manusia sebaik Nabi Adam pun boleh ditipu oleh iblis
hingga terkeluar dari syurga? Oleh kerana kedua-dua musuh itu tidak pernah
berehat dari menyerang kita, maka kita sewajarnya tidak berehat untuk
mempertahankan diri. Bermujahadah tidak boleh bermusim atau mengikut ‘mood’.
Ia adalah satu perjuangan yang tidak henti-henti hinggal
malaikat maut mencabut nyawa kita. Malah, hingga ke saat nyawa kita hendak
bercerai dari jasad pun, syaitan terus berusaha menipu daya kita. Bahkan pada
saat itu, tipu dayanya lebih dahsyat kerana itulah peluang terakhir untuk
menyesatkan manusia agar mati dalam keadaan tidak beriman.
Setiap dosa yang kita buat kerana termakan hasutan syaitan
adalah umpama titik hitam pada hati. Makin banyak kita berdosa, makin gelaplah
hati. Bayangkan kalau kita bermujahadah sekali sekala…. ia umpama mencuci
pakaian yang sangat kotor sekali sekala.
Sudahlah jarang di cuci, kotoran yang terpalit makin banyak
hari demi hari. Begitulah hati, jika malas ‘dibasuh’ dengan mujahadah, maka
akan bertambah kotorlah ia hingga payah hendak dibersihkan lagi. Oleh itu, satu
prinsip asas dalam bermujahadah ialah istiqamah. Yakni konsisten, terus menerus
dan berkesinambungan dalam ‘peperangan’ dengan syaitan dan hawa nafsu. Jika
kita hanya bermujahadah tapi tidak istiqamah, maka mujahadah itu tidak akan
memberi kesan.Istiqamah adalah sifat terpuji sama seperti mujahadah.
Malah kedua-duanya merupakan gandingan mantap dalam setiap
diri yang ingin menuju Allah.Istiqamah dari segi bahasa adalah tegak lurus.
Yakni berdiri teguh di jalan yang lurus, berpegang pada akidah yang tepat dan
melaksanakan syariat dengan tekun serta berakhlak baik secara konsisiten.Firman
Allah : " Oleh yang demikian, maka ajaklah mereka dan berdirilah dengan
lurus sebagaimana engkau di perintahkan, dan janganlah engkau turutkan kehendak
nafsu mereka." (As-Syura :15)
Untuk beristiqamah dalam mujahadah, kita perlukan keteguhan
keyakinan (iman), penjagaan lisan dan kawalan tindakan. Ingatlah, syaitan yang
kita hadapi adalah makhluk kreatif yang sangat komited dengan azamnya untuk
menyesatkan manusia. Hanya senjata mujahadah dan perisai istiqamah mampu
berdepan dengan mereka.