MAJLIS FORUM PERDANA PERMAI 30 JUN 2001 SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR-RASUL

RASULULLAH SEBAGAI IDOLA UMAT ISLAM -Akram
liputan oleh PERMAI ONLINE

KELANA JAYA: Umat Islam tidak perlu mencari idola selain dari Rasulullah, kerana pada diri baginda telah ada contoh tauladan yang terbaik (uswatu hasanah), demikian ditegaskan oleh Dr.Akram Laldin, Timbalan Dekan HEP, Universiti Islam Antarabangsa di Majlis Forum Perdana anjuran Persatuan Mahasiswa Islam (PERMAI) sempena sambutan Maulidur Rasul di sini Sabtu lalu yang bertajuk "Pengajaran Sirah Rasulullah Kepada Mahasiswa Islam".

Umat Islam terutama para mahasiswa perlu mempelajari dan menyelusuri perjalanan sirah Rasulullah untuk menjadi seorang yang berjaya, kata beliau yang memperolehi ijazah doktor falsafahnya dari Universiti Jordan.

Dr. Akram juga menekankan betapa pentingnya seseorang mahasiswa itu berpersatuan agar akan membina keyakinan untuk menghadapi dunia luar.

"Mahasiswa yang aktif berpersatuan akan dapat mempraktikkan bagaimana nak mengendalikan sesuatu program dengan lebih berkesan",   tambah beliau.

Walau bagaimanapun beliau menasihatkan para mahasiswa supaya jangan aktif di dalam terlalu banyak persatuan sehingga boleh menjejaskan akademik yang kelak akan menjadi modal musuh Islam untuk mempelekehkan kredibiliti mahasiswa Islam.

Saranan beliau diperkuatkan oleh ahli Penal yang kedua iaitu Dr Shamsiah Mohamad, Pensyarah di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya yang menyatakan bahawa tarbiyah yang Rasulullah telah lalui perlu dihayati oleh para mahasiswa di mana ia akan menjadi faktor pendorong mahasiswa untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang.

Para mahasiswa perlu meningkatkan iman dan perlu bersabar menghadapi "maksiat". 

"Bersabar menghadapi maksiat iahlah bersabar daripada keinginan melakukan maksiat", kata  beliau sewaktu menjelaskan kenyataannya apa yang dimaksudkan dengan bersabar menghadapi maksiat.

Beliau juga memberi panduan agar mahasiswa menjaga batasan adab pergaulan di antara mahasiswa dan mahasiswi agar kita jangan sampai terikut-ikut dengan gelagat jahiliyah.

Sewaktu menjelaskan tentang konsep "role model", beliau yang  mendapat ijazah Ph Dnya juga dari Universiti Jordan menyatakan bahawa seorang mahasiswa itu akan menjadi role model apabila beliau dapat menyeimbangkan pencapaian akademik dan aktiviti berpersatuan.

Ahli Penal yang ketiga pada Forum Perdana tersebut, Pen. Professor Dr. Rabiatul Adawiyah, Pensyarah di Kuliyyah Undang-undang, UIA telah menngingatkan para mahasiswa tentang lima cabaran perjuangan di dalam berdakwah iaitu orang mukmin yang dengki kepadanya, orang munafik yang benci kepadanya, orang kafir yang memeranginya, syaitan yang menyesatkannya dan nafsu yang sentiasa meransangkannya.

Beliau menegaskan bahawa iman adalah faktor utama yang menjadi benteng pertahanan dari kemaksiatan dan fasad.

"Allah telah menjelaskan di dalam Al-Quran bahawa Rasulullah itu adalah rahmat sekalian alam", tegas beliau lagi.

Rasulullah telah berjaya menekankan aspek amaliah (praktikal) tentang kesabaran di hati para sahabat dan solat merupakan tunjang kekuatan rohani seseorang mukmin.

Dr. Rabiatul Adawiyyah adalah bekas mahasiswi yang pernah mendapat ijazah kelas pertama sewaktu menuntut di Universiti Islam Antarabangsa yang  juga adalah seorang bekas mahasiswi yang aktif berpersatuan sewaktu di universiti dahulu menasihatkan para mahasiswa agar tidak merendah-rendahkan dengan orang yang baru menganut Islam kerana menurut beliau, beliau sendiri telah menemui beberapa orang muallaf yang mempunyai darjat keilmuan Islam yang tinggi berbanding dengan mereka yang dilahirkan di dalam keluarga Islam sendiri.

Beliau menyatakan juga bahawa kewajipan kita sebagai umat Islam ialah sekadar menyampaikan, dan adapun hidayah itu adalah pemberian anugerah Allah s.w.t.