SKUDAI: Nor Fadzilah Abdullah, graduan cemerlang
yang menerima Anugerah Canselor sempena Konvokesyen Universiti Teknologi
Malaysia (UTM) kali ke 28, mengakui tidak mempunyai rahsia tertentu hingga
membolehkan dia menerima anugerah tertinggi.
Nor Fadzilah, 21, yang
memperolehi Ijazah Kelas Pertama Sarjana Muda Kejuruteraan (Elektrik-Komunikasi) berkata,
kejayaan yang diraih adalah hasil kehidupan hariannya yang tidak pernah
melupakan tanggungjawab kepada Allah dan taat kepada kedua-dua ibu bapa.
Di samping itu, beliau turut
menyifatkan kesungguhan dan disiplin dalam menjalani kehidupan dan pembelajaran
di kampus turut menjadi faktor kejayaan yang diraih itu.
“Saya sentiasa mengingatkan
diri saya, adik beradik dan keluarga bahawa tanggungjawab kepada Allah adalah
faktor utama dan ia menjadi kekuatan dalam melalui suasana kehidupan harian
yang memerlukan kita sentiasa beristighfar dan bersabar.
“Saya bersyukur dengan
pencapaian ini dan berdoa semoga ia akan menjadi titik tolak kepada saya untuk
meraih pencapaian yang lebih baik sama ada di dunia mahu pun akhirat.
“Dalam kesempatan ini, saya
juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kedua-dua ibu bapa yang terus
menjadi pendorong dan sentiasa mendoakan saya dalam menghadapi kehidupan mencabar
ini.
“Berkat doa mereka,
saya melalui kehidupan dengan tenang sekali gus mendisiplinkan diri sehingga
berjaya meraih kejayaan ini,” katanya yang ditemani kedua-dua ibu bapanya,
Abdullah Yusuf dan Zaharah Che Hamad pada konvokesyen kali ke-28 UTM di Dewan
Sultan Iskandar, UTM.
Seramai 3,088 graduan
dikeluarkan pada konvokesyen UTM kali ini. Daripada jumlah itu tujuh dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah, 294
Ijazah Sarjana, 1,888 Ijazah Pertama dan 899 Diploma.
Pada konvokesyen kali ini
UTM turut mengeluarkan 19 graduan kepujian kelas pertama dalam pelbagai bidang. Sultanah Johor, Sultanah Zanariah hadir menyampaikan
ijazah kepada graduan.
Sementara itu, ibu Nor Fadzilah,
Zaharah bersyukur kerana ajaran agama yang diberi kepada anaknya itu tidak
disia-siakan, malah asas agama itu menjadikan dia taat kepada perintah Allah dan
ibu bapa.
“Daripada
ketaatan kepada Allah itu dia menjadi manusia berdisiplin dan bersungguh-sungguh
dalam menjalani kehidupan sama ada sebagai seorang anak dan juga pelajar.
“Saya akan terus berdoa,
sikap sedemikian akan diteruskan apabila dia masuk ke dunia pekerjaan nanti,”
katanya yang kini bertugas sebagai seorang pengetua sekolah di Klang, Selangor.
Bagi pasangan kembar, Iryani dan Izyati Mohd Rawi,
21, dari Kota Bahru, Kelantan, bersyukur kerana mereka berdua berjaya
menamatkan pengajian serentak.
“Sebelum ini, kami agak
bimbang kerana tidak dapat menamatkan pengajian bersama. Bagaimanapun, berkat doa ibu bapa
dan sikap saling bantu membantu nampaknya tidak sia-sia.
“Saya berharap dapat terus
bersama Izyati mengharungi dunia pekerjaan dengan lebih cemerlang,” katanya
selepas menerima ijazah masing-masing, semalam.