PERANG BROWSER MUNCUL SEMULA

 

Perang browser sekali lagi muncul di Internet apabila awal tahun 2002 membuka tirainya. Belum pun beberapa minggu Netscape mengumumkan tentang kehadiran Versi 6.2, Internet Explorer mengekori langkahnya dengan mengeluarkan Internet Explorer 6.0.

 

Pada masa yang sama sebuah browser baru, Opera 6.0 pula muncul dengan temanya yang amat memikat : The Fastest Browser On Earth!  Opera dihasilkan oleh Opera Software ASA dan mempunyai hampir kesemua ciri-ciri web browser Netscape dan Internet Explorer. Buat ketika ini Opera mempunyai versi-versi yang berbeza untuk penggunaan platform yang berlainan seperti Windows, Mac, Linux, OS/2 dan Solaris.

 

Dengan saiz fail setupnya hanya sebesar 3.18 megabait (jika sistem komputer anda telah dilengkapi dengan Java Runtime Environment) dengan keupayaan pelayaran web  yang rencam seperti membolehkan pemaparan lamanweb yang berbingkai dan penggunaan flash, penghantaran dan penerimaan email menjadikan browser ini digemari oleh mereka yang inginkan pelayaran yang cepat.

 

Seawal tahun 1990an dahulu, sewaktu kita diperkenalkan dengan dunia internet, browser-browser hanya menampilkan ciri-ciri pelayaran yang superficial dan ringkas, apa tah lagi pada waktu itu belum wujud apa yang dikatakan Modem berkelajuan 56K yang kini berharga hanya RM60.00! Yang ada pada ketika hanyalah modem 14.4 yang pada masa berharga hampir RM800.00.

 

Browser yang sering digunakan pada masa itu pula ialah Netscape 1.0, Mosaic NCSA, kemudian barulah menyusul Internet Explorer 1.0.

 

Netscape merupakan browser gergasi pada ketika itu yang menjadi pilihan kepada hampir 80% para pelayar web. Namun apabila Microsoft Windows 95 menjadikan Internet Explorer sebagai ciri tambahan kepada sistem operasinya, ia secara mendadak mengenepikan Netscape Navigator sehinggalah pada tahun 1998 apabila Netscape muncul semula dengan versi barunya Netscape Communicator 4.5.

 

Pun begitu ia belum mampu menandingi Internet Explorer yang semakin gagah dengan versi 5.0nya dan ia telah berjaya menumpaskan Netscape sebagai browser terulung pilihan para pelayar.

 

Kini perang browser kembali semula. Cnet Software.com telah mengupas serta membanding kedua-dua browser di dalam 5 kategori yang berasingan iaitu pemasangan, ciri-ciri dan interface, kelajuan dan keupayaan, keselamatan dan pendokongan plug-in bagi kedua-kedua browser utama dunia ini. Rujuk http://www.cnet.com/software/0-3227883-8-7614087-1.html

 

IE 6.0 memenangi 2 kategori pertama sementara Netscape memenangi 2 kategori yang akhir, manakala kedua-duanya seri pada kategori kelajuan dan keupayaan.

 

Yang paling ketara ialah Microsoft menggunakan kedudukannya yang mendominasi sistem operasi iaitu Windows yang telah secara tidak langsung "memaksa" para penggunanya memakai Internet Explorer. Ia sekarang ini menghadapi pertuduhan pemonopolian applikasi komputer di mahkamah yang sedang menjadi perhatian masyarakat dunia.

 

Ia telah tewas di pusingan pertama di tangan Sun Microsystem yang menuduh Microsoft "melanggar Akta Hakcipta" apabila Microsoft memuatkan sistem Java ke dalam sistem operasinya. Akibat darinya, Microsoft terpaksa mengeluarkan Java dari IE 6.0 menjadikan pelayaran menggunakan IE 6.0 tidak secemerlang daripada versi-versi terdahulu.

 

Netscape dengan versi Mozilla kini mendokong penggunaan language pack, ertinya anda boleh memperolehi browser ini di dalam pelbagai bahasa!

 

Seorang pemuda dari Merlimau, Melaka, Hasbullah Pit yang terkenal sebagai pembangun lamanweb ikhlas.com kini telah berjaya dengan projek meksomnya (http://ikhlas.com/meksom/) menghasilkan language pack Mozilla berbahasa Malaysia.

 

Ia memenuhi ciri-ciri yang perlu ada di dalam sesebuah browser dan dengan menggunakan kepakarannya di platform  Linux, beliau telah berjaya menghasilkan language pack berbahasa Malaysia untuk dipasang di sistem-sistem WIndows dan Linux pelbagai versi.

 

Ia merupakan satu kejayaan besar dan amat membanggakan di mana pengguna di Malaysia kini boleh melayari web, menggubah lamanweb dan menggunakan perkhidmatan penghantaran email menggunakan bahasa Malaysia.

 

Pada waktu yang sama pula, sebuah institut komputer di Melaka juga iaitu Institut Merlimau pula berjaya menghasilkan Browser B.MALAYSIA yang menggunakan ciri-ciri interface Internet Explorer. Ia menjadikan pelopor penciptaan browser Bahasa Malaysia di dunia selepas Mozilla yang mendokong languange pack bahasa berkenaan.

 

Browser ini juga memuatkan beberapa lamanweb penting Malaysia di dalam senarai penanda bukunya, untuk memudahkan para pelayar untuk pergi ke sesebuah tapak tapak tanpa perlu lagi menaip alamat URLnya. Ia menjadi pengembaraan di internet lebih pantas dan menyeronokkan.

 

Browser B.MALAYSIA untuk Windows 98/ME buat ketika ini diedarkan secara percuma dan boleh diperolehi di http://zulsystem.tripod.com/bbm.html

 

Kehadiran kedua-dua browser versi berbahasa Malaysia ini meskipun hanya baru di peringkat permulaan adalah satu petanda baik di mana kita percaya selepas ini akan lebih ramai pencipta dan pereka aplikasi berbahasa Malaysia.