BUKHARA - Tempat Warisan Islam
Lokasi Bukhara:
Bandar Bukhara terletak di barat Republik Uzbekistan sekarang ini yang terletak
di Asia Tengah. Nama Bukhara dikatakan berasal dari perkataan Monggol iaitu
(Bukhar) yang bererti ilmu yang banyak kerana terdapat ramai golongan ulama di
sana.
Sejarah Bukhara:
Bandar Bukhara
telah lama didirikan sejak bertahun-tahun Masihi. Bandar ini telah wujud pada
zaman pemerintahan kerajaan Akminiah Iran (553 - 330 Sebelum Masihi). Kemudian
ia dikuasai pula oleh Iskandar Akbar. Setelah itu bandar Bukhara menjadi
sebahagian dari kerajaan Bani Bakhtariyyiin, seterusnya selepas kurun keenam
Masihi ia dikuasai oleh Turki, kemudian dikuasai oleh Cina pada kurun ke tujuh
Masihi.
Pembukaan Islam:
Bandar Bukhara
terus berada di bawah kekuasaan Cina sehinggalah zaman pemerintahan Khalifah Kerajaan
Umawi Al-Walid bin Abdul Malik (68-69 Hijrah / 705-715 Masihi) ketika Al-Hajjaj
bin Yusuf Ath-Thaqafi, menteri khalifah memerintahkan Qutaibah bin Muslim
Al-Bahili supaya membuka negara-negara Transoxiana. Lalu Qutaibah berangkat
menuju ke Bukhara dan berjaya membuka Bukhara pada tahun 90 Hijrah / 709
Masihi. Qutaibah bin Muslim telah berusaha meneguhkan kedudukan umat Islam di
sana dengan membina beberapa buah masjid serta menyeru penduduknya supaya
memeluk Islam. Semenjak ketika itu, bandar Bukhara menjadi sebahagian dari
wilayah yang berada di bawah pemerintahan Khilafah Islamiah.
Mercu tanda Bukhara:
Di Bukhara terdapat
banyak kesan peninggalan ilmu, bangunan dan kesenian sehingga ia menjadi pusat
warisan seni bina yang sangat agung. Apabila kerajaan Saljuk menguasai Bukhara,
mereka turut serta berperanan menjadikan bandar Bukhara semakin berkembang
luas, memiliki tamadun yang sangat gemilang serta melimpah dengan kebudayaan,
ilmu dan kesenian.
Peristiwa-peristiwa sejarah yang dilalui oleh Bukhara:
- Setelah Jenghiz
Khan menguasai Bukhara pada tahun (616 Hijrah / 1219 Masihi) dia banyak
merobohkan dan meruntuhkan mahligai-mahligai ketamadunan serta membakar
perpustakaan yang terdapat di sana. Selepas kekuasaan Bukhara diambil alih oleh
Timur Lank pada tahun (785 Hijrah / 1383 Masihi), bandar Bukhara masih tetap
berada di dalam keadaan tersebut sehinggalah pemerintah Uzbek membinanya
kembali dan menjadikannya sebagai ibu negara kerajaan mereka pada tahun (911
Hijrah / 1505 Masihi).
- Ketika Russia menerapkan sistem komuniis di dalam pemerintahannya pada tahun
(1342 Hijrah / 1923 Masihi), bandar Bukhara terus berada di bawah Persekutuan
Sosialis Soviet Union (USSR) yang lalu sehinggalah sistem tersebut tumbang pada
tahun (1412 Hijrah / 1991 Masihi) menyebabkan Bukhara menjadi salah sebuah
bandar di negara merdeka Republik Uzbekistan.
Tokoh-tokoh Bukhara:
- Selepas berlaku
pembukaan kawasan Islam ke atas Bukhara, ketokohan ramai di kalangan alim
ulama, ahli kesusasteraan dan orang-orang yang memiliki kedudukan di sana yang
diketuai oleh Imam Muhammad bin Ismail Al-Bukhari penyusun Kitab Jamik As-Sahih
yang lebih dikenali dengan nama Sahih Bukhari telah tersebar. Kitab tersebut
merupakan kitab yang paling sahih selepas kitab suci Al-Quran. Di antara mereka
juga ialah Ibnu Sina seorang cendekiawan Bukhara, seorang Doktor Bukhara dan
seorang ahli falsafah Bukhara. Selain darinya juga ialah Abu Hafsin Umar bin
Mansur Al-Bukhari yang dikenali dengan nama Al-Bazzar, Al-Hafiz Abu Zakaria
Abdul Rahim Ibnu Nasr Al-Bukhari dan Abu Al-Abbas Al-Maqdisi Al-Hambali.
- Di samping itu ramai di kalangan sasteerawan dan ahli syair yang terkenal
telah menisbahkan nama mereka kepada Bukhara seperti Ar-Raudaky, Fadhil
Al-Bukhari, Am'aq Al-Bukhari, Al-Khajandi, Lutfullah An-Naisaburi, Ahmad
Al-Karamani dan lain-lain lagi.
Produk Bukhara:
Bandar Bukhara
terkenal dengan hasil pengeluaran buah-buahan terutama Barqouq Bukhara yang
telah terkenal hampir seribu tahun yang lampau. Di samping itu Bukhara juga
terkenal dengan pasar utama tempat pertemuan di antara pedagang-pedagang yang
datang dari Cina dan Asia Barat. Bukhara turut terkenal dengan hasil sutera,
kain kapas, permaidani, barang-barang perak, emas dan lombong tembaga.