KEPUTUSAN PEPERIKSAAN PADA 4 JANUARI 2002

 

KELANA JAYA: Setelah bercuti panjang mengambut Hari Raya, pelajar UNITAR kini mula dilanda keresahan. Ini kerana keputusan peperiksaan semester yang lalu akan diumumkan tidak berapa lama lagi.

 

PERMAI ONLINE telah dihujani dengan banyak email yang ingin mengetahui tarikh sebenar keputusan akan dikeluarkan. Percubaan PERMAI ONLINE untuk menyemak mengenai hal tersebut dengan beberapa orang "key personnel"  tidak membuahkan hasil.

 

Ini diperburukkan lagi apabila "log-in" ke Sistem Sokongan Maya Untuk Arahan Dalam Talian (VOISS) yang sudah disekat seminggu sebelum cuti musim perayaan yang lalu dan masih gagal untuk beroperasi sehingga kini. 

 

PERMAI ONLINE telah menghubungi CRM (Customer  Relation centre) untuk mengetahui perkembangan lanjut dan hasilnya, Ketua Bahagian Hal Ehwal Akademik UNITAR,  Encik Abdul Aziz Mohamed telah mengeluarkan satu kenyataan terbaru untuk edaran semua para pelajar UNITAR seluruh negara berhubung tentang pendaftaran untuk semester Januari 2002.

 

Menurut kenyataan tersebut, semester baru akan bermula pada 7hb Januari 2002 dan para pelajar akan mendapat keputusan semester lalu pada 4hb Januari ini setelah ianya melalui proses pengesahan ahli Senate UNITAR terlebih dahulu yang akan bersidang pada 3hb Januari.

 

Encik Abdul Aziz menasihat para pelajar yang menerima "First and Second Probation" agar menemui pensyarah mereka bagi membincangkan bagaimana mereka boleh memperbaiki keputusan di semester akan datang sementara para pelajar yang GAGAL dinasihatkan membuat rayuan secepat mungkin kepada Dekan fakulti masiing-masing untuk dipertimbangkan.

 

"Pendaftaran kursus akan dimulakan pada 7hb Januari 2002 dan anda mempunyai 14 hari untuk menambah dan melepaskan kursus, di mana selepas jam 12.00 tghari pada 21 Januari, sebarang penambahan kursus tidak akan dilayan," tambah kenyataan beliau.

 

Beliau juga memberitahu bahawa mulai semester akan datang ini, pengagihan kerja-kerja kursus dan peperikasaan akhir akan diubah kepada 50 – 50, iaitu 50% kerja kursus dan 50% peperiksaan akhir, tidak seperti yang lazim di mana  UNITAR menggunakan 60% untuk kerja kursus dan 40% untuk peperiksaan akhir.

 

"Para pelajar juga hendaklah mempastikan bahawa mereka memperolehi sekurang-kurang 40% di dalam peperiksaan akhir untuk lulus bagi sesuatu kursus dan tidak lagi 25% seperimana yang diamalkan sebelum ini," katanya lagi.

 

Pihak senate juga telah bercadang untuk melaksanakan pengagihan sistem penggredan yang baru dan para pelajar akan diberitahu mengenainya kemudian.