ALUN DAN GELORA SENTIMEN PEREMPUAN
PAKAR
PSIKOLOGI
PEREMPUAN di dalam segala
peringkat umurnya sentiasa merenangi lautan sentimen dan emosi. Kencang reda
dari gelora lautan ini adalah berlain-lainan mengikut kelainan peringkat umur
yang dilalui mereka. Kita tidak dapat membataskan peringkat-peringkat umur itu
dengan tepat, begitu juga kita tidak dapat pisahkan peringkat-peringkat umur
itu di antara satu dari yang lain.
Kalau
kita anggarkan umur perempuan itu 60 tahun secara hitung panjang dan kita
bahagikan 60 tahun itu kepada 6 peringkat, maka kita akan dapat menyelami
berbagai-bagai perasaan dan suka duka hidup yang bermain dalam jiwa mereka di
dalam tiap-tiap peringkat umur itu.
Peringkat
degil iaitu peringkat pertama yang bermula ketika anak perempuan itu berumur 7
tahun. Kanak-kanak perempuan dalam peringkat ini merupakan seorang anak yang
bersahaja, akan tetapi satu perubahan perangai dan tingkahlaku yang baru mulai
ternampak kepada kita terutama dalam perhubungan dan pergaulannya dengan ibu
bapa, pengasuh, guru dan adik-beradiknya. Perubahan itu bertambah nyata lagi
bila umurnya makin meningkat tinggi ke arah umur baligh dan beberapa tahun
selepas perubahan ini akan sampai kepada kemuncaknya. Tingkahlaku yang baru tumbuh itu ialah tingkahlaku degil, suka
membantah, dan tidak mudah menyahut suruhan dan permintaan orang lain. Sifat
degil yang seperti ini adalah dicetuskan oleh perasaan bangga kepada diri
sendiri atau oleh keinginannya hendak menunjuk-nunjuk dan menonjol-nonjol diri.
Gadis-gadis di dalam peringkat ini sangat rumit; bila disuruh ke timur, dia ke
barat dan bila dilarang dia membuat. Kalau ibu bapa telahpun menginsafi bahawa
tingkahlaku degil yang seperti ini memanglah menjadi watak dari peringkat umur
ini, maka tentulah mereka tidak merasa terlalu risau dan tentulah mereka akan
melayani anak-anak perempuan mereka yang degil itu dengan lemah-lembut dan
bijaksana.
Peringkat
air mata iaitu bila si gadis itu meningkat umur 17 tahun, maka tingkahlaku
degil itu akan bertukar pula kepada tingkahlaku suka menangis. Dia akan
menangis kerana sebab-sebab yang kecil. Pada waktu siang air matanya akan
menguyupi bajunya dan pada waktu malam air mata akan membasahi bantal tidurnya.
Dia menangis bukan kerana ditimpa duka dan bukan pula kerana mendendami
seseorang, tetapi dia menangis kerana memikirkan jejakanya atau heronya. Boleh
jadi jejakanya itu seorang pahlawan dalam impian dan angan-angannya sahaja dan
boleh jadi juga jejakanya benar-benar sudah ada dalam dunia kenyataan iaitu
pemuda yang tinggal berhampiran dengan rumahnya atau pemuda dari anak buahnya
sendiri. Tegasnya air mata gadis yang menitis dalam peringkat ini bukanlah air
mata sedih duka, bahkan air mata harapan dan cita-cita.
Peringkat
sombong iaitu bila dia meningkat umur 27 tahun, maka air matanya akan berhenti
menitis dan dia tidak lagi hidup dalam buaian angan-angan dan khayal yang liar.
Pemikirannya sudah bersifat sungguh-sungguh dan praktik serta kebendaan. Dia
selalu dilambung-lambung oleh perasaan sombong dan besar hati. Dia merasa
dirinya seorang yang sudah cukup masak mengalami asam garam dan pahit getir
hidup dan dia sudah cukup arif dan bijaksana. Kalau dirinya belum bersuami dan
dilamar orang, maka dia akan menggeleng kepala tidak sudi. Si anu itu tidak
layak jadi suaminya kerana tidak tahu jaga kesiapan dirinya. Si anu itu pula
pendek dan pemalu seperti perempuan. Si anu yang satu lagi itu gajinya kecil.
Anak perempuan si anu itu berakhlak lucah, sedangkan anak perempuan si anu itu
cantik, tetapi sayang tidak tahu berhias, dan anak perempuan si anu yang satu
lagi itu pula terlalu gemuk, betis pendek dan tidak berleher. Tegasnya semua
orang lain itu tak ada yang kena, bahkan ada-ada sahaja cacat celanya.
Peringkat
beranak iaitu bila dia sudah meningkat umur 37 tahun maka sekali lagi dia berubah.
Dia tidak lagi sombong dan besar diri. Dia sudah sanggup menerima suaminya
biarpun tidak segak dan tampan, dan biarpun berbeza umur berbelas-belas tahun
lebih tua darinya dan biarpun tidak berharta, pendek dan tidak lulus sekolah
rendah dia sudah bersikap rela dengan apa yang dibahagikan oleh nasib dan
takdir. Hatinya sudah dipenuhi perasaan kasih sayang kepada anak-anaknya. Biar
berbual-bual dengan orang lain dia jarang sekali bercerita tentang keadaan
suami atau rumahtangganya, bahkan segala perbualan dan percakapannya ditumpukan
di sekitar keadaan anak-anaknya sahaja. Si Yusuf dapat nombor satu dalam
kelasnya, si Aisyah pula tak suka minum susu dan si Majdi pula menggigit hidup
sepupunya kerana enggan bermain bersamanya.
Peringkat
serba salah iaitu bila dia sudah meningkat umur 47 tahun, maka musim
kesuburannya untuk beranak-pinak sudah tamat atau hampir-hampir tamat.
Kebiasaan datang haidnya mulai lewat dan perlahan-lahan berkurangan dan
akhirnya putus. Ketika ini meskipun hati kecilnya telah menginsafi bahawa
dirinya sudah sampai di persimpangan jalan hidup dan sedang menuju ke arah umur
tua, tetapi dia masih belum mahu mengakui kenyataan ini, dia kelihatan serba
salah hendak melindungi hakikat umurnya, dia masih mengatakan umurnya 35 tahun.
Kadang-kadang dia berusaha melindungi hakikat umurnya yang sebenar dengan
memperhiaskan diri seperti perempuan muda.
Peringkat
putus harapan apabila perempuan itu sudah sampai umur 57 tahun, maka satu
perubahan baru akan dialami pula. Dia tidak lagi serba salah hendak melindungi
hakikat umurnya, dia sudah sanggup menerima kenyataan. Tetapi dia sekarang ini
sedang dilambung oleh perasaan putus asa kadang-kadang perasaan ini timbul
dengan bentuk perasaan resah-gelisah yang tidak ada sebab dan alasan dan kadang-kadang
pula dengan bentuk perasaan jemu dan bosan. Dia selalu bersungut keseorangan
biarpun dia dikelilingi oleh anak-anak cucunya yang ramai. Dia merasa anak-anak
buahnya tidak lagi perlu kepadanya dan kadang-kadang secara terang-terang dia
merungut bahawa dirinya sudah jadi seolah-olah sampah yang tidak berguna lagi.
Semua perasaan ini adalah semata-mata dihanyutkan oleh sangkaan-sangkaan yang
karut-marut sahaja, sedangkan sebenarnya seseorang perempuan yang sedang dalam
usia peringkat ini masih lagi dapat memberi khidmat baktu yang besar sama ada
untuk masyarakat luar rumahnya atau untuk masyarakat anak buahnya. Dia lebih
dikasihi dan lebih dirasa perlu oleh anak-anak buahnya dari ketika dia berumur
30 tahun.