MINGGU AKTIVITI KEPIMPINAN
KELANA JAYA - Sejak minggu lepas, perkarangan lobby UNITAR sentiasa sibuk. Sibuk menampung aktiviti-aktiviti mahasiswa/i yang kini sedang giat melaksanakan pelbagai projek ko-kurikulum Kepimpinan dan Kemasyarakatan sebagai pra-syarat untuk mendapatkan ijazah mereka.
Diantara aktiviti yang menarik yang dijalankan ialah projek pungutan buku terpakai untuk anak-anak yatim yang telah dilancarkan oleh Prof Madya Syed Omar pada hari Jumaat lalu (5hb April). Projek berkenaan telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari para mahasiswa/i dan seorang jurucakap aktiviti berkenaan menyatakan bahawa objektif untuk mengumpulkan buku-buku terpakai untuk anak-anak yatim tersebut berjaya mencapai sasarannya.
Pada 6 hb April, WANSOL 2002
dianjurkan oleh Persatuan Mahasiswa Islam yang diadakan di Dewan COINS UNITAR
KLJ1. Program ini mendapat sambutan hebat dengan forum dan ceramah dari Dr.
Robiah Khir Hamzah (seorang pakar motivasi dari Institut Bahasa) dan Dr Fatma
Az-Zahra (seorang pendakwah bebas yang kerap muncul di Forum Perdana Hal Ehwal
Islam). Aktiviti ini turut dihadiri oleh YBhg Datin Sharifah Fatimah (isteri YBhg
Presiden UNITAR) dan Puan Sharifah Norasiah (isteri Timbalan Presiden).
Pada 7hb April, di KUB.COM,
sebilangan mahasiswa/i terlibat dengan penganjuran Seminar Islamic Economy
dengan dua forum diadakan. Pada sebelah paginya diadakan forum mengenai AFTA
(ASEAN Free Trade Area) yang dipanelkan oleh seorang eksekutif dari MITI dan
seorang pensyarah Ekonomi Malaysia dari UNITAR iaitu Encik Manjit. Dan pada
sebelah petangnya satu forum yang bertajuk "Leadership In Difficult Time" yang
dipanelkan oleh YBhg Datuk Hassan Harun (Pengerusi KUB.COM) bersama-sama Prof
Datuk Ibrahim Bajunid, Dekan Fakulti Kemanusian & Sosial Sains UNITAR.
Pada 8hb dan 9hb April pula
satu lagi projek dikendalikan oleh sekumpulan mahasiswa/i iaitu Projek Kitar
Semula. Projek ini juga menarik perhatian sebilangan besar mahasiswa/i UNITAR
untuk memberi kesedaran terhadap kepentingan kita untuk mewujudkan suasana
"mesra-persekitaran" dengan membolehkan para pelajar mengasingkan jenis-jenis
bahan buangan seperti kertas, tin, botol dan sebagainya untuk dimasukkan kedalam
tong-tong yang berasingan. Lain-lain aktiviti ialah mencantum puzzle terpantas,
meneka kuantiti kertas kitar semula dan sesat dalam kitaran.
Bermula minggu ini juga, Persatuan Mahasiswa/i Islam sekali lagi melancarkan aktivitinya iaitu Projek Buku Terpakai untuk membolehkan para pelajar menjual dan membeli buku-buku dan nota-nota terpakai dengan harga yang berpatutan. Kaunter khas dibuka pada setiap hari Isnin dan Rabu di perkarangan lobby untuk tujuan berkenaan. Penjilidan "comb" juga disediakan.
Aktiviti melawat Pusat Orang-orang Buta di Setapak juga dianjurkan oleh sekumpulan mahasiswa/i ko-kurikulum kemasyarakatan. Ia bertujuan untuk membina serta membangitkan sebuah masyarakat penyayang di kalangan mahasiswa/i UNITAR terhadap masyarakat istimewa terutama orang-orang buta di negara ini.
Pada setiap Sabtu dan Ahad
pula di padang PKNS, UNITAR Fottball Club (UFC) sedang sibuk menganjurkan
perlawanan liga bolasepak antara kelab-kelab. Piala Liga ini menjadi rebutan
pelbagai kelab yang terdapat di UNITAR. Permai telah bergabung dengan
Dynamic Group di dalam kelab Bolasepak PDFC.
Pada 11 April ini, Kelab Debat UNITAR pula akan menganjurkan satu pertandingan debat persahabatan bersama-sama dengan Kumpulan Debat dari UNITAR cawangan Kolej Taj Trolak. Difahamkan seramai 40 orang pelajar dari Trolak akan ke UNITAR untuk menyokong kumpulan debat mereka.
Minggu keempat April tidak dapat dijalankan apa-apa aktiviti kerana semua mahasiswa/i akan sibuk menghadapi peperiksaan akhir semester.
Ia akan disambung semula pada 3hb Mei - 5hb Mei 2002 dimana pelajar Kursus Kepimpinan II Universiti Tun Abdul Razak akan menganjurkan Kem Kepimpinan & Rakan Kemasyarakatan yang akan diadakan di Tanjung Balau, Kota Tinggi, Johor. Projek Kem Kepimpinan & Rakan Kemasyarakatan ini akan memfokuskan kearah ciri-ciri pemimpin yang berjaya dan berkaliber, meningkatkan daya tahan minda dan fizikal dengan membentuk personaliti yang mantap dan jati diri yang tinggi dari gabungan gerak kerja berkumpulan, aktiviti kemasyarakatan dengan suasana setempat.
Pada 4hb dan 5hb Mei satu Bengkel & Kursus Internet dan Membina Laman Web Untuk Usahawan Industri kecil Sederhana akan dijalankan di Workstation 3. Aktiviti ini merupakan satu aktiviti yang bertjuan untuk membantu para usahawan IKS mengetahui selok-belok internet serta menggunakan lamanweb sebagai satu "channel" pemasaran di era globalisasi kini.
Demikianlah gambaran suasana aktiviti mahasiswa/i UNITAR, sebuah universiti maya pertama di negara ini.
UNITAR BOLEH!