Ustaz Hj. Akhil Abdul Rawa
DARI SEORANG ROCKER KEPADA SEORANG PENDAKWAH
Ceramahnya pasti mencuit hati. Sasarannya ialah golongan
muda remaja, yang menjadi tarikan golongan ini ialah kerana setiap ceramahnya
pasti diselitkan dengan lagu dan bacaan al-Quran. Tambahan pula beliau lebih
dikenali sebagai bekas penyanyi rock berirama heavy metal era 80-an dahulu,
mempunyai bakat dalam bidang seni suara.
Beliau adalah bekas penyanyi utama kumpulan D'Riyadh yang
mula mencipta nama pada tahun 1988. Setelah hampir sepuluh tahun, kini beliau
tampil dengan imej seorang pendakwah, jika dahulu berseluar ketat dan berambut
panjang menyanyi di atas pentas, kini beliau lebih senang menyampaikan risalah
Allah sepenuh masa. Beliau ialah USTAZ HJ. AKHIL ABDUL HAI RAWA. Beliau aktif
menyampaikan ceramah dan motivasi pelajar di sekitar Ipoh, Perak. Berasal dari
Gopeng, Perak, selepas menamatkan pelajaran di peringkat menengah, beliau mula
berhijrah ke Kuala Lumpur.
Ikuti pengalaman perjalanan kehidupan yang pernah beliau
lalui sebagai bekas penyanyi rock untuk dikongsi bersama sebagai panduan dan
pengamatan kita sekalian.
"Pembabitan saya di bidang muzik bermula semenjak di
tingkatan tiga lagi. Sebenarnya saya terlalu meminati muzik, umpama kata orang
muzik dan saya tak boleh dipisahkan.
Di kampung saya menjadi penyanyi utama kugiran kenduri
kahwin. Pada tahun 1988 saya menyertai pertandingan Konsert Box Office anjuran
komposer Ali Bakar dan kumpulan kami mendapat tempat pertama mengalahkan 113
buah kumpulan rock di Malaysia. Asalnya memang untuk suka-suka saja, kawan-kawan
yang ajak saya menyertai pertandingan tu. Tak sangka pula boleh menang.
Bermula dari situ saya mula aktif di bidang nyanyian. Dari
tahun 1986 hingga 1990 saya aktif sepenuhnya di persada muzik dan telah
menghasilkan tiga buah album. Masa tu saya memang gila-gila punya rock, rambut
perang, kerinting sampai tak nampak mata, seluar ketat, baju singlet,
terkinja-kinja atas pentas, tak ingat apa lagi. Masa tu mula lupa diri, habuan
datang macam-macam, tapi hati memang tak tenang. Banyak gejala sosial yang kita
sendiri hadapi, night life dan disko itu biasa, persekitaran yang tidak
mengajak kepada Islam.
Dari sembahyang lama kelamaan sembahyang pun dah tak
menentu. Bagaimanapun, iman walaupun ada secalit di dalam hati, InsyaAllah kita
akan kembali ke asal kita. Selama hampir empat tahun aktif menyanyi, akhirnya
pada 1993 tanpa sebarang masalah kumpulan kami mula berpecah. Puncanya ada yang
sakit, yang nak buat kerja sendiri, kami cuba juga ambil ahli lain, tapi masih
tak boleh jalan. Akhirnya saya berhajat buat album solo. Masa nak masuk studio,
rasanya mula datang hidayah. Ada saja halangannya. Dalam pada tu saya berniaga
di KL hampir setahun dan mula tak menyanyi lagi. Saya mula berhijrah semula ke
kampung, rambut masih panjang dan perang lagi. Masa tu mula mendekati masjid
semula. Dari segi hakikatnya keluarga saya memang dalam golongan orang-orang
beragam arwah atuk seorang tuan guru dan arwah ayah saya sendiri seorang
mutawif haji (membawa jamaah haji).
Bapa saya tidak pernah memarahi saya, dia cuma menggunakan
kaedah psikologi. Beliau sering mengingatkan saya dan memberi nasihat. Pada
1995 beliau membawa saya menunaikan haji di Mekah, masa tu kita reda. Sebelum
ke Mekah saya ada ke Indonesia, arwah bapa bawa saya duduk sekejap di
Pasentrian tapi tak sempat memperolehi apa-apa sijil. Lepas daripada tu saya
pulang ke Malaysia, sejak itu timbul minat semula. Alhamdulillah ketika itu
saya mula masuk ke masjid, orang pun bagi ruang kepada saya berdakwah dan
menyampai kuliah, mengajar al-Quran Iqra dan sebagainya di jabatan kerajaan.
Saya mula mengajar di Pusat Pembangunan Keluarga di Ipoh.
Lepas daripada tu saya sering mengikut ke Mekah secara tidak langsung saya
belajar dan mengingat kembali ilmu agama yang ada sedikit dalam diri saya
.Akhirnya beliau kembali ke rahmatullah pada kali ke - 38 beliau Mekah. Pada
saya doa yang sering beliau panjatkan setiap kali mengunjungi Baitullah itulah
yang mengubah hati saya untuk kembali ke pangkal jalan. Bermula dari situ saya
mula mendapat jemputan berceramah pelusuk daerah. Ada yang menyebut dulu kita
ni penyanyi kumpulan rock, lagi hebatlah sambutannya. Dari segi politik saya
sebenarnya berniat untuk membantu ulamak, seperti yang kita sedia maklum ulamak
hari ini semakin disekat suara mereka.
Bagi saya memang tanggungjawab semua orang yang mengaku
mukmin menyampaikan risalah. Apapun saya bersyukur kerana mendapat kembali
hidayah-Nya. Saya pegang satu perkara sahaja, doa mukmin di multazam ini doa
yang makbul. Apa yang saya nampak dalam keluarga saya, sayalah satu-satunya
anak yang paling susah dibentuk bak kata orang mungkin black sheep of family
Yang buat masalah pun kita, yang menjatuhkan air muka bapa pun kita.
Bayangkanlah bapa kita berceramah di Tabung Haji, kita buat ceramah di Kuala
Lumpur dan merata tempat dengan seluar tengkorak dan rantainya. Masa tu kita
rasa hanya untuk enjoy, tak fikir apa yang orang tua kita rasa.
Selepas berhijrah mula minat balik mengaji dan bangun
bertahajjud tengah malam. Kadang-kadang tak tahu pun macamana boleh tersedar
tengah malam. Kalau dulu waktu malam keluar untuk berfoya-foya tapi selepas itu
berubah. Dalam proses hijrah itu saya berjumpa alim ulamak yang banyak memberi
tunjuk ajar menyumbang ke arah kita beristiqamah ke jalan ini dan InsyaAllah
setakat ini belum ada lagi provokasi dengan apa yang saya lakukan. Saya mula
berzanji semula sebab memang kita berasal dari situ. Bila tinggalkan dunia itu,
memang terasa gian, teringin nak petik gitar semula tapi bagi saya kalau iman
sudah mula bertapak, bila sudah ada roh Islam, secara tidak langsung kita dapat
mengawalnya.
Alhamdulillah, saya bahagia dengan kehidupan saya sekarang.
Puas rasanya dapat menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat seagama. Selain
dorongan arwah bapa dan keluarga, isteri dan anak-anak adalah sumber inspirasi
saya. Saya berkahwin dengan Maizawati Zainal, beliau merupakan seorang peminat
setia saya. Setiap konsert saya beliau pasti turut serta. Alhamdulillah beliau
turut serta dalam penghijrahan saya. Perkahwinan kami dikurniakan tiga orang
cahaya mata iaitu, Diyana Sofea (7), Siti Nur Maisarah (3) dan Muhd Shariff
Hidayatullah, (2). Sekarang peluang untuk menjadi artis berada di depan mata.
Memang tak dinafikan minat seni memang ada dalam setiap jiwa insan biasa
seperti kita. Rasulullah sendiri pun suka mendengar seruling. Muzik tidak salah
yang penting kita tahu meletakkan muzik yang bagaimana dan cara menghayatinya.
Kesedaran sebenarnya melibatkan semua pihak, seterusnya sistern pendidikan dan
pihak pemerintah.
Contohnya, pihak yang buka jalan seperti pertandingan
nyanyian yang tidak dihadkan kategori umur. Berjayanya Yahudi mengubah fikrah
umat Islam hinggakan remaja menengah memikirkan tidak perlu lulus peperiksaan
tidak mengapa kerana ada jalan untuk masa depan dalam kerjaya nyanyian. Pihak
terbabit sibuk menekankan soal pendidikan dan membangun bersama Islam tapi
dalam masa yang sama ada tempat bagi remaja yang tidak lulus periksa terjun ke
dunia seni. Bagi remaja pula tidak ada masalah kerana bidang nyanyian ialah
satu dunia glamor di tambah pula ibu bapa yang bangga apabila anak-anak menjadi
perhatian pujaan ramai. Harapan saya meminta pihak bertanggungjawab beri ruang
sepenuhnya kepada majlis ilmu. Pada saya mengajak anak muda sekarang mudah
kerana minda mereka sekarang sudah terbuka, cuma perlu proses istiqamah sahaja
lagi. Nasihat saya kepada remaja, jangan terlalu lalai dan leka dengan muzik
kerana bahananya sungguh dahsyat. Dunia muzik membuatkan kita lupa siapa diri
kita sebenarnya. Gunalah cara lain untuk memupuk seni dan bakat yang ada dalam
diri kita. Remaja adalah harapan bangsa, agama dan negara untuk masa hadapan.