7,000 ORANG KINI BELAJAR DI
UNITAR
KELANA
JAYA : Universiti Tun Abdul Razak
(UNITAR) kini mempunyai lebih 7,000 pelajar, demikian menurut kenyataan Datuk
Prof Dr Syed Othman Al-Habshi, Presiden dan Ketua Eksekutif UNITAR sewaktu
menyampai ucaputamanya di hari pendaftaran para pelajar baru di pusat pembelajaran
UNITAR di sini baru-baru ini.
Jumlah
yang sebegitu ramai meskipun usia UNITAR baru tiga tahun membuktikan keyakinan
dan kepercayaan masyarakat negara ini terhadap kualiti pendidikan yang
diberikan oleh universiti maya pertama di Malaysia ini yang memberikan
penekanan kepada pembangunan kemahiran melalui kaedah teknologi yang
membolehkan pengajaran dan pembelajaran dilakukan walaupun dipisah oleh faktor
jarak dan masa, tambah beliau.
Lebih
daripada 500 orang pelajar baru mendaftar di pusat pembelajaran UNITAR Kelana
Jaya dan beratus-ratus lagi telah mendaftar di beberapa pusat pembelajaran
UNITAR seluruh negara pada 11 Ogos 2001 yang lalu.
UNITAR
menawarkan beberapa program Ijazah Pertama (Undergraduate) seperti Sarjana Muda
Teknologi Maklumat, Sarjana Muda Sistem Maklumat, Sarjana Muda Pentadbiran
Perniagaan, Sarjana Muda Satera, Sarjana Muda Pengurusan dan Sarjana Muda
Sains.
Selain
daripada itu UNITAR juga menawarkan program Ijazah Lanjutan (Post Graduate)
iaitu Sarjana Teknologi Maklumat, Pengurusan Teknologi Maklumat, Pentadbiran
Perniagaan Sains dan Ijazah Sarjana Doktor Falsafah (Ph D).
Para
pelajar UNITAR juga layak untuk mendapat pinjaman pelajaran dari Tabung
Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang bernilai RM10,000 setahun.
Datuk
Prof Dr Syed Othman juga menyatakan bahawa mulai sessi ini para pelajar baru kini sudah boleh
menikmati pinjaman pembiayaan pembelian komputer selain daripada pembiayaan
pengajian dari PTPTN.
Pengumuman
beliau telah disambut baik oleh ibu/bapa para pelajar yang hadir semasa sessi
taklimat tersebut dan UNITAR akan mempastikan bahawa semua pinjaman PTPTN yang
diperolehi tidak akan disalahgunakan oleh para pelajar.
Selain dari mempunyai makmal komputer yang serba lengkap dan canggih, UNITAR juga mempunyai tenaga-tenaga pengajar yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah yang berkelayakan dan berpengalaman bagi mempastikan mutu pendidikan yang diberikan UNITAR bertaraf profesyenal dalam menghadapi era globalisasi.
Di dalam satu perkembangan yang lain, Persatuan Mahasiswa Islam (PERMAI) akan mengadakan Program Majlis Taaruf Bersama Mahasiswa Baru pada 28hb Ogos 2001 ini bertempat di Pusat pengajian UNITAR, Kelana Jaya bagi mengeratkan silatur-rahim di antara para mahasiswa.
Program
tersebut dijangka akan dirasmikan sendiri oleh Prof Datuk Dr Syed Othman
Al-Habshi yang juga adalah Penaung PERMAI.
Satu
sessi Forum bersama dengan Unit Kaunseling dan Mahasiswa Cemerlang juga akan di
adakan semasa progam Majlis Taaruf berkenaan dimana beberapa orang pelajar yang
cemerlang di bidang akademik akan diminta untuk menyampaikan pengalamannya
meraih kejayaan di UNITAR ini.